INFINITI

Modul latihan kecergasan melalui video

Modul latihan kecergasan melalui video

Barisan tenaga pengajar dari kiri Dhiya, Nana, Murad, Ais dan Hanif yang terlibat dalam penyediaan modul latihan kecergasan mengikut bidang masing-masing.


ALUNAN lagu Can’t Hold Us lontaran duo bintang rap, Macklemore dan Ryan Lewis berduet dengan penyanyi, Ray Dalton memenuhi ruang Blokke Cafe di Citta Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Seiring kemeriahan muzik hip hop gabungan R&B itu, jurulatih kecergasan, Hanif Shawn, bagaikan tenggelam dalam dunianya sendiri saat menari zumba dengan gerak langkah penuh bertenaga. Raut wajahnya yang ceria langsung tidak memperlihatkan riak keletihan.

Sesetengah orang mungkin berasa kekok melakukan pergerakan sedemikian di khalayak ramai. Tidak kurang juga ada yang berasa malu menjejak kaki ke gimnasium atau menghadapi kekangan masa untuk mengikuti kelas bimbingan jurulatih profesional.

Dek kerana itu, Media Prima Digital menerusi inkubatornya, Media Prima Labs membangunkan aplikasi Wanita yang merupakan platform mudah alih bagi memudahkan kaum Hawa mendapat akses untuk mempelajari pelbagai jenis senaman sesuai dengan minat dan keupayaan mereka.

Selain Hanif, aplikasi Wanita membariskan gabungan personaliti kecergasan tanah air daripada bidang berbeza seperti yoga, latihan selang intensiti tinggi (HIIT) melibatkan Atilia Haron, Nana Al Haleq, Murad Zaidi, Ruzaiyati Ahmad, Ais Rashid dan Dhiya Aizat.

“Tidak semua orang berpeluang turun padang dan mempelajari tarian zumba biarpun mereka berminat untuk mengetahui selok belok pergerakan rutin senaman jenis ini.

“Bagi sesetengah orang, pergerakan zumba agak mengelirukan dan sukar diadaptasikan. Justeru, pada peringkat permulaan saya menyediakan 10 video tutorial dan demonstrasi zumba dari tahap yang paling asas sehinggalah melibatkan pergerakan yang lebih kompleks.

“Kita tidak semestinya perlu pandai menari sebelum berzumba. Cuba lakukan pergerakan mudah sambil mengikut rentak muzik untuk membiasakan diri dengan senaman itu,” ujar Hanif kepada Kosmo! pada pelancaran aplikasi Wanita di Petaling Jaya baru-baru ini.

Sementara itu, jurulatih yoga, Ais Rashid berkata, kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan wanita di negara ini kian meningkat. Justeru, aplikasi tersebut membolehkan golongan itu menjalani aktiviti kecergasan di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu.

Pemilik nama Noraishah Abdul Rashid itu menambah, kandungan video yang lebih akrab dengan demografik rakyat Malaysia di samping penerangan secara langkah demi langkah dapat membantu pengguna beriadah dengan cara yang betul.

Hamil


Sebahagian kru dan jurulatih yang terlibat dalam pembikinan aplikasi Wanita bergambar bersama plak pelancaran di Blokke Cafe, Citta Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Beliau yang mengeluarkan 20 siri video untuk yoga turut menyediakan modul latihan yoga untuk ibu mengandung dengan durasi setiap video sekitar lima minit.

“Video yang saya sediakan juga memberi saranan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan pengguna sesuai dengan matlamat aplikasi ini dalam menjadi medium rujukan dan panduan kepada golongan sasar,” tutur Ais sambil tersenyum.

Ais turut menyediakan video edisi eksklusif untuk langganan premium yang antaranya berkaitan rutin penggunaan kayu yoga, terapi pengguling belakang dan rutin yoga bagi mereka yang mengalami gelinciran cakera tulang belakang atau slip disc.

“Memandangkan keadaan tubuh setiap individu tidak sama adalah penting mendapatkan khidmat rundingan doktor sebelum melakukan sesuatu aktiviti kecergasan sebagai langkah awal bagi mengelakkan komplikasi tidak diingini,” tegasnya.

Aktif mengendalikan kelas yoga persendirian, beliau turut berpendapat adalah lebih baik pengguna turut menghadiri sesi bersemuka dengan jurulatih untuk meningkatkan kefahaman sebelum mempraktikkan senaman itu dengan belajar sendiri menerusi video.

Bagi model kecerdasan Nana Al Haleq, pendekatan yang diambil dalam pembikinan videonya adalah dengan memberi penekanan kepada aktiviti kardio yang efektif membakar lemak berbanding menurunkan berat badan.

Menurutnya, kehilangan lemak dan penurunan berat badan adalah dua perkara berbeza. Dalam hal ini, pengiraan peratusan kehilangan berat badan adalah lebih tepat dalam mengukur keberkesanan aktiviti kecergasan yang diamalkan.

“Dalam hal ini, saya menunjukkan langkah-langkah aktiviti senaman untuk membakar lemak berlebihan pada bahagian seperti kaki dan perut yang sering menghantui kaum wanita.

“Modul latihan saya turut memberi tumpuan kepada aspek senaman regangan yang sering dipandang remeh sementelah ia perlu dilakukan dengan cara dan turutan yang betul bagi mengelakkan kecederaan,” ujar ikon jurulatih Jom Kurus 1Malaysia yang popular dengan gelaran Kakak Sado itu.

Soal selidik

Dalam pada itu, Pengurus Produk Aplikasi Wanita, Nurul Faradilla Afandi berkata, buat masa ini pihaknya menyediakan 30 video untuk tatapan pengguna dengan video baharu akan dimuat naik secara berkala dari semasa ke semasa.

“Sebelum memulakan projek ini yang mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk dibangunkan, kami telah menjalankan kajian soal selidik melibatkan 100 responden wanita di seluruh Malaysia dan aplikasi ini direka berdasarkan keperluan dan ciri-ciri yang dikehendaki audien.

“Ia tidak mengandungi ‘ceramah’ meleret-leret dan lebih memfokuskan kepada aktiviti senaman dengan penerangan ringkas untuk kemudahan pengguna,” jelasnya.

Menurutnya, aplikasi Wanita juga membawakan tip dan artikel berkaitan gaya hidup sebagai bacaan santai meliputi fesyen, kecantikan, isu kesihatan di samping tutorial solekan yang akan ditawarkan dalam masa terdekat.

“Aplikasi ini merupakan pusat sehenti buat wanita yang mencintai gaya hidup sihat dan boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store atau Google Play Store masing-masing untuk pengguna iOS dan Android.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan kandungan premium Wanita pada harga RM7.90 menerusi pembelian in app untuk langganan bulanan,” tutur Nurul Faradilla.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 16