VARIA

Dua generasi pengumpul produk Coca-Cola

Dua generasi pengumpul produk Coca-Cola

Choon CHIEK (kanan) bersama Jian Wen yang berkongsi minat mengumpul barangan keluaran Coca-Cola.


Menjengah bilik khas yang terdapat di tingkat atas rumah kedai milik Lee Choon Chiek yang hiasannya didominasi palitan warna rasmi tanda Coca-Cola menjadi saksi kepada hobi luar biasa lelaki yang fasih berbahasa Melayu ini.

“Inilah syurga kecil saya di dunia ini. Bermula daripada sebotol dan setin air Coca-Cola yang saya dapat pada tahun 1976, sedar-sedar ia sudah mencecah 50,000 koleksi,” kata lelaki berusia 57 tahun ini.

Membelek botol model keluaran pertama Coca-Cola pada tahun 1899 yang diperbuat daripada kaca, anak jati Pumpong, Jalan Anak Bukit, Alor Setar itu mengakui koleksi yang dimilikinya seumpama mesin merentas masa.

Ungkap Choon Chiek, setiap botol, tin, hiasan atau permainan yang berada di dalam bilik khas itu mempunyai cerita yang tersendiri, sekali gus menjadikannya sesuatu yang tidak dapat ditukar ganti dengan wang.

Bercerita lanjut, antara koleksi paling bernilai ialah sebotol Coca-Cola keluaran khas sempena perkahwinan mendiang Puteri Diana dan Putera Charles yang berlangsung pada 29 Julai 1981 di St. Pau’s Cathedral, London.

“Ia dihadiahkan oleh kawan saya yang kebetulan bercuti ke bandar itu sewaktu perkahwinan diraja tersebut berlangsung.

“Terdapat banyak cenderamata perkahwinan diraja yang dijual merata-rata di London ketika itu tetapi sebaik saja melihat botol Coke ini, dia terus teringatkan saya.

“Dia beli lalu mengeposnya kepada saya sebagai kejutan,” jelasnya yang kini memiliki lebih 5,000 botol Coca-Cola pelbagai rekaan dan bentuk.

Cenderamata istimewa

Perjalanan lelaki yang tidak minum air minuman bergas dalam mengumpul barangan jenama antarabangsa itu juga menemukannya dengan beberapa nama hebat dalam industri tersebut.

“Pada 2012, saya mendapat jemputan ke majlis perkahwinan anak lelaki Ketua Pegawai Eksekutif Coke Thailand. Pada majlis itu, tetamu menerima cenderamata istimewa iaitu tin Coke berwarna perak yang mempunyai cetakan nama dan tarikh perkahwinan berkenaan.

Apa yang menarik, bekas minuman itu hanya dikeluarkan sebanyak 100 tin. Akui Choon Chiek, rak yang dibina sendiri hingga ke siling itu juga menyaksikan koleksi botol dan tin minuman tajaan Coca-Cola yang dikeluarkan saat berlangsungnya temasya sukan di pelbagai peringkat di serata dunia.


Bilik khas di rumah Choon Chiek yang menempatkan 50,000 koleksi Coca-Cola.


“Namakan saja. Piala Dunia, Sukan SEA, Commonwealth hinggalah Olimpik yang menampilkan cetakan, bentuk, material tin dari aluminium atau botol kaca yang pelbagai, semuanya berada di rak ini.

“Lebih istimewa, bagi Sukan SEA dan Olimpik, saya mempunyai koleksi lengkap acara yang dipertandingkan malah gambar atlet yang terpilih bagi cetakan khas pada tin bagi kejohanan tersebut,” katanya.

Anak tunggalnya, Jian Wen, 25, turut terkena tempias ‘kegilaan’ ayahnya terhadap Coca-Cola membuatkan dia istimewa dalam kalangan rakan sekolah kenalannya.

Sejak dilahirkan, benda pertama dilihat dan kenal ialah warna merah dan putih yang melambangkan Coca-Cola. Di sebalik kegilaan ini, perkara penting yang diajar oleh bapanya melalui hobi ini adalah sikap menghargai sesuatu.

Ujarnya, sikap menghargai itu membuatkan dia dan ayahnya tidak memilih barangan Coca-Cola yang diterima oleh rakan atau yang dijumpai walaupun di tempat kitar semula asalkan ia berada di dalam keadaan baik.

Koleksi bernilai tinggi

Bagi mereka, jika pada masa sekarang nilainya mungkin tidak sampai RM1 pun, mungkin pada masa akan datang, nilainya mampu mencecah hingga ratusan malah ribuan ringgit terutama yang masih mempunyai isi airnya.

Disebabkan nilai itulah, mereka sering dipujuk oleh pengumpul Coca-Cola yang lain untuk menjualkan beberapa koleksi kepada mereka. Untuk jualan, ia bergantung kepada jumlah barangan dan siapa yang memintanya.

Jika ada lebih dan orang yang meminta itu adalah kenalan rapat, dia akan menjualnya dengan cara sistem barter.

Berkongsi cerita mengenai penjagaan dan pengurusan koleksi yang mencecah puluhan ribu itu, Jian Wen menjelaskan, bilik khas itu perlu sejuk bagi mengelakkan air yang terdapat di dalam setiap tin dan botol tidak mengeluwap dan meletup.

Sudah beberapa kali insiden letupan berlaku disebabkan keadaan panas yang disebabkan cuaca. Jadi, mereka akan membuka pendingin hawa mudah alih di dalam bilik itu selama beberapa jam pada setiap hari.

“Tipu jika kata tidak sedih melihat tin kemek atau botol yang sumbing tetapi kami anggap itu sebagai cabaran,” katanya.

Jian Wen yang mempunyai perniagaan sendiri turut berazam untuk membuka muzium koleksi barangan Coca-Cola terbesar yang pertama di Kedah malah di Malaysia.

Dia dalam proses mengumpul duit untuk membeli rumah bagi membuka muzium yang diimpikan. Pada masa sama, dia juga mengkaji cara terbaik untuk memastikan muzium tersebut mampu menarik kunjungan orang ramai.

– Bernama

Rencana Utama!»

Jual lebih 300 pinggan mi sotong sehari

Trak makanan digunakan untuk mengangkut barangan dari rumah ke restoran dan menghantar tempahan makanan kepada pelanggan.

Stailo!»

Elemen fesyen dalam bidang hiasan dalaman

Delicado (tiga dari kanan) ketika melancarkan koleksi Baia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Varia!»

Peka perubahan sikap anak-anak elak dibuli

KAUNSELING perlu dilakukan untuk memulihkan semangat mangsa buli agar mereka lebih berkeyakinan. – Gambar hiasan

Process time in ms: 31