VARIA

Nanas MD2 masuk ke pasaran China

Nanas MD2 masuk ke pasaran China

Pemeriksaan kualiti penting sebelum pengeksportan nanas dijalankan supaya syarat-syarat Sanitasi dan Fitosanitasi (SPS) negara pengimport dipatuhi.


Jabatan Pertanian telah memulakan usaha untuk mendapatkan laluan pasaran bagi komoditi tanaman Malaysia ke China seawal tahun 2005.

Sehingga kini, komoditi seperti longan, manggis, laici, kelapa muda, tembikai, betik, rambutan, durian sejuk beku (pulp) dan buah-buahan freeze-dried (durian, rambutan, manggis dan nangka) antara yang sudah diluluskan untuk dieksport ke China manakala rundingan bagi laluan pasaran bagi nangka, durian (whole fruit), belimbing, pisang, lada benggala dan tomato masih berterusan.

Menyedari potensi buah nanas yang popular di pasaran antarabangsa, Jabatan Pertanian selaku agensi bertanggungjawab memperoleh laluan pasaran bagi produk hortikultur tempatan telah memulakan rundingan bilateral untuk komoditi nanas dengan negara-negara membangun khasnya China.

China dilihat sebagai destinasi penting memandangkan populasi penduduk dan permintaan pasaran yang tinggi bagi nanas varieti Golden Sweet. Ia juga lebih dikenali dengan nama MD2.

Nanas MD2 dikenal pasti sebagai varieti premium untuk pasaran eksport berdasarkan karakter buah itu sendiri. Antaranya warna kulit menarik, isi berwarna kuning keemasan dengan rasa yang manis dan kandungan fiber yang tinggi. Selain itu, keasidan nanas ini rendah, bentuk seragam, tahap ketahanan yang tinggi dan jangka hayatnya yang lebih lama iaitu mampu bertahan sehingga lima minggu jika disimpan dalam peti sejuk.

Usaha untuk mendapatkan laluan pasaran nanas ke China telah bermula sejak tahun 2007. Protokol eksport asal mensyaratkan fumigasi gas metil bromida sebagai rawatan kuarantin bagi menghapuskan koya (mealy bugs).

Namun, rawatan ini akan memberi kesan fitotoksin kepada buah lantas menjejaskan nilai estetikanya.

Rawatan alternatif


Jabatan Pertanian komited dalam memastikan nanas yang dieksport bebas dan selamat daripada serangga perosak dan penyakit.


Justeru, rawatan alternatif menggunakan kaedah kombinasi gas Vapormate dan cold treatment telah disyorkan. Kajian demi kajian dijalankan bagi memastikan kaedah ini efektif merawat buah nanas tanpa kesan sampingan yang memudaratkan buah.

Pada masa sama, Jabatan Pertanian turut menjalankan persiapan rapi, termasuklah pengemaskinian dokumen dan rekod ladang serta bancian perosak di peringkat ladang, fasiliti pembungkusan dan rawatan kuarantin untuk tujuan lawatan audit dari China.

Dedikasi dan komitmen selama sedekad membuahkan hasil kerana protokol pengeksportan nanas ke China berjaya ditandatangani oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sempena lawatan Perdana Menteri ke Beijing, China pada 13 Mei lalu.

Berdasarkan statistik Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), tahun 2017 akan menyaksikan peningkatan eksport nanas yang signifikan dengan kejayaan mendapatkan laluan pasaran baharu ini.

Dengan penghasilan sehingga 35 hingga 45 tan metrik/hektar/tahun, Malaysia dijangka mampu membekalkan antara tiga hingga empat kontena nanas seminggu, khas untuk pengeksportan ke China pada peringkat permulaan.

Pada jangka panjang, laluan pasaran ini akan menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan eksport nanas sebanyak 10 peratus dengan nilai RM254 juta menjelang tahun 2020.

Kejayaan ini adalah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana selain memartabatkan Malaysia sebagai pengeluar produk pertanian berkualiti tinggi, ia mampu memenuhi keperluan Sanitasi dan Fitosanitasi (SPS) negara membangun yang ketat seperti China.

Justeru, kerjasama dan jaringan kukuh antara petani di ladang, pengeksport, agensi kerajaan yang bertanggungjawab seperti Jabatan Pertanian, LPNM dan kerajaan Malaysia harus diteruskan agar lebih banyak laluan pasaran nanas dapat diteroka.

Process time in ms: 47