RENCANA UTAMA

Muslihat sindiket ‘rompak’ wang mangsa

Muslihat sindiket ‘rompak’ wang mangsa

Suri rumah, Siti Zuraida Awang, 36, (tengah) dan dua saudaranya hidup dalam tekanan selepas mendakwa diperdaya satu skim pelaburan saham yang ditawarkan sebuah syarikat yang menjanjikan keuntungan sehingga RM3.5 juta melalui pelaburannya bernilai RM175,000.


SEJAK beberapa bulan lalu, tidur seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Lan terganggu. Pertanyaan yang bertali arus daripada ahli keluarga dan rakan-rakan rapat tentang keuntungan yang bakal mereka terima hasil pelaburan sebelum ini benar-benar mengganggu perasaannya.

“Saya tertekan kerana sering diajukan soalan itu kerana saya pun tidak pasti bilakah pihak terbabit akan memberi pulangannya,” jelas Lan.

Lan sendiri tidak menyangka bahawa niatnya mahu membantu ahli keluarga dan rakan-rakan untuk memperoleh sedikit keuntungan daripada skim pelaburan telah menjerat dirinya.

Kini selepas hampir setahun melabur, dia masih belum mendapat sebarang khabar berita.

“Saya menyertai skim pelaburan ini sejak Oktober 2015 selepas diperkenalkan oleh seorang rakan.

“Peringkat awal saya membeli beberapa pelan yang ditawarkan sebagai percubaan dan berjaya mendapat pulangan selepas beberapa minggu,” jelasnya.

Keuntungan


SINDIKET pelaburan mengaburi mangsa dengan membayar keuntungan pada peringkat awal pelaburan sebelum menghilangkan diri. – Gambar hiasan


Dek terlalu yakin selepas mendapat sedikit pulangan daripada beberapa pelan yang dibelinya itu, tanpa berfikir panjang Lan membuat pinjaman peribadi. Tujuannya, mahu melabur dalam jumlah yang banyak. Malah, dia juga mengajak ahli keluarga dan rakan terdekat untuk turut serta dalam pelaburan tersebut.

Menurut Lan, duit yang mereka laburkan itu akan digunakan oleh pihak pelabur untuk mengambil alih beberapa perniagaan dan keuntungan daripada perniagaan tersebut. Keuntungannya pula akan diagih-agihkan kepada mereka yang menyertai skim tersebut.

Pihak pelabur juga akan menggunakan wang tersebut untuk pelaburan hartanah dan tukaran wang asing.

“Saya yakin dengan skim pelaburan tersebut dan telah melabur lebih RM100,000 yang dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan untuk membeli beberapa pelan pelaburan yang ditawarkan. Mengikut perjanjian, kos dan keuntungan pelaburan akan dibayar selepas 60 hari pembayaran dibuat.

“Namun selepas 60 hari, saya dan pelabur yang lain tidak mendapat apa-apa keuntungan. Pihak terbabit pula mula memberi beberapa alasan dan meminta tempoh untuk membayar kembali modal pusingan dan juga keuntungan kepada pelabur.

“Kini hampir setahun kami menunggu dan masih tiada respons daripada pihak yang bertanggungjawab,” jelasnya.

Pada masa sama, dia juga terpaksa membayar pinjaman pihak bank yang telah dibuatnya bagi menyertai pelaburan tersebut.

Selain Lan, Kosmo! juga pernah melaporkan, empat ahli perniagaan termasuk seorang individu bergelar Datuk berputih mata apabila mengalami kerugian kira-kira RM3 juta selepas dipercayai ditipu oleh seorang broker saham yang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pelaburan saham sejak Disember 2015.

Seorang mangsa mendakwa dia mengalami kerugian berjumlah RM1.23 juta dan hanya menyedari ditipu selepas pemeriksaan mendapati tiada pelaburan saham direkodkan melalui syarikat yang dilaburkan.

Kini berita-berita mengenai penipuan skim pelaburan semakin banyak terpampang di dada-dada akhbar.

Jika dihitung nilai keseluruhan penipuan skim pelaburan itu, ia bukan sedikit malahan ada yang mencecah jutaan ringgit.

Pelbagai modus operandi digunakan oleh sindiket itu. Antaranya pelaburan emas, saham, mata wang dan lain-lain lagi dengan menjanjikan pulangan berlipat kali ganda dalam tempoh yang singkat.

Semakan


Kereta mewah digunakan oleh sindiket pelaburan bagi memancing mangsa untuk melabur.


Dalam pada itu, menggunakan penglibatan orang yang berpengaruh selain mendakwa mempunyai gelaran orang kenamaan sebagai modus operandi memperdayakan orang ramai agar menyertai skim pelaburan haram yang menjadi trend utama jenayah komersial.

Perkara itu terbukti selepas penipuan membabitkan pelaburan mencatatkan jumlah kerugian sebanyak RM205.9 juta bagi tahun 2016 berbanding 2015 iaitu sebanyak RM70.1 juta.

Pada tahun 2017, sebanyak RM91.8 juta kerugian dicatatkan sejak Januari.

Antara skim pelaburan yang diperdayakan ialah pelaburan mata wang asing (forex), emas, projek, hartanah, saham, pertanian, ternakan dan perniagaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mendedahkan, statistik pada tahun 2015 berkaitan penipuan pelaburan sebanyak 409 kes berbanding tahun 2016 iaitu sebanyak 1,111 kes sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 702 kes.

“Ini merupakan jumlah mereka (mangsa) yang membuat laporan kepada pihak polis dan kita percaya masih ramai mangsa yang malu untuk tampil membuat laporan. Pihak polis berharap mangsa-mangsa itu tampil agar siasatan dan tindakan boleh diambil terhadap sindiket yang terlibat,” katanya selepas melawat Pameran Jenayah Komersial yang diadakan pihak JSJK Bukit Aman Sempena Hari Polis ke-210 di Menara 238, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acryl Sani turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memastikan kesahihan pelaburan sebelum bersetuju untuk melabur.

“Sekiranya ditawarkan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa mengetahui kesahihan pelaburan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bagi mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan,” ujarnya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berpendapat, sindiket pelaburan ini semakin merebak dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna yang terpedaya dengan sindiket tersebut.

“Sindiket ini menggunakan beberapa modus operandi bagi menarik lebih ramai pelabur dalam skim mereka sebelum menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kebanyakan dalang sindiket ini akan menabur janji-janji manis tentang pulangan pelaburan yang berlipat kali ganda.

“Tukaran mata wang antara bentuk pelaburan yang banyak berlaku penipuan. Ada mangsa mendakwa dengan pelaburan sebanyak RM10,000, mereka akan memperoleh keuntungan bulanan lebih RM1,000 sebulan.

“Sindiket ini akan membayar keuntungan pada tiga bulan pertama bagi meyakinkan pelabur. Kemudian, mereka akan meminta pelabur melabur lebih banyak dan mengajak kawan atau saudara-mara dalam skim tersebut sebelum menghilangkan diri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pendakwah Bebas, Ustaz Md. Ghazali Ibrahim berkata, masyarakat di luar sana perlu meluaskan konsep dan makna rezeki.

Menurutnya, rezeki Allah sangat luas dan ia bukan sahaja kekayaan dalam bentuk wang ringgit semata-mata sebaliknya ia boleh datang dalam pelbagai bentuk.

“Bila faham akan makna dan erti rezeki ini, dada serta pemikiran kita akan sentiasa lapang. Dalam masa yang sama kita akan berasa rezeki yang diberi Allah sentiasa mencukupi untuk meneruskan hidup.

“Bagi mereka yang menganggap duit semata-mata punca rezeki maka tidak hairanlah ada segelintir masyarakat kita sanggup mengambil risiko melabur dalam skim-skim tertentu yang tidak pasti akan kesahihannya dan akhirnya mereka ditipu,” jelasnya.

Sementara itu, Ghazali berkata, dalam al-Quran ada menyebut keutamaan umat Islam adalah akhirat namun dalam masa yang sama tidak salah untuk mengambil bahagian di dunia mencari kekayaan.

“Namun dalam mencari kekayaan itu biarlah ia berlandaskan agama dan selari dengan tuntutan syariah,” katanya.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 47