INFINITI

Pemburuan besar-besaran ular orok-orok di Texas

Pemburuan besar-besaran ular orok-orok di Texas


Petugas mengumpulkan ular orok-orok di dalam ruang tertutup untuk tontonan penonton dari jarak dekat.


BERDIRI di lembah tanah merah jauh dari pinggir bandar Sweetwater yang terletak di barat Texas, Eddie Gomez, 53, dan dua anak lelakinya, Drake dan Max kelihatan berwaspada memerhatikan keadaan sekeliling.

Trio tersebut sedang mengumpulkan sebanyak mungkin ular orok-orok sempena Himpunan Ular Orok-Orok Terbanyak di Dunia yang disambut di Texas baru-baru ini.

Reptilia beracun terbesar dan terberat di benua Amerika itu mendiami lubang-lubang di celah kawasan berbukit dan berada di sarangnya pada waktu siang.

“Saya nampak ekornya,” jerit Drake tanpa berlengah menyembur minyak petrol yang dimasukkan ke dalam botol penyembur dengan muncung tiub aluminium sepanjang tiga meter. Ia memaksa dua ekor ular orok-orok keluar dari lubang itu akibat udara yang melemaskan.

Seekor daripada ular tersebut yang bersaiz lebih kecil kelihatan masih lincah dan cuba melarikan diri. Begitupun, Gomez pantas menyepit kepala haiwan itu. Ia tidak dapat bergerak. Hanya ekornya mengeluarkan bunyi desiran kuat. Pakar mengatakan ia reaksi ketakutan.

Bagi mereka yang dibesarkan di Sweetwater, festival anjuran Sweetwater Jaycees itu ditunggu-tunggu dan berlangsung antara bulan Mac hingga Mei saban tahun.

Jumlah ular tidak dikira satu persatu sebaliknya ditimbang. Bulan lalu, sebanyak 2,700 kilogram ular orok-orok dikumpulkan dari Abilene yang terletak kira-kira 64 kilometer dari Sweetwater.

Pendidikan


Pesta pembunuhan ular orok-orok bermula di Texas sejak 1939 dan dikaitkan dengan populasinya yang terlalu banyak sehingga mengancam keselamatan.


Ular-ular itu dikumpulkan untuk satu perayaan bebas yang berkembang di Texas sejak tahun 1939. Ia bermaksud orang ramai boleh melakukan apa sahaja dengan haiwan berkenaan termasuk membunuhnya. Pastinya, ia tidak akan dihantar pulang ke tempat asalnya dengan selamat.

“Tiada yang tidak elok mengenai acara itu. Kami mengawal populasi ular ini yang terlalu banyak dan menggunakannya untuk pendidikan,” kata Dennis Cumbie yang terlibat secara langsung sebagai penganjur.

Bau ular, campuran tanah, aroma najis tikus memenuhi ruang sambutan yang diadakan di tempat tertutup. Orang ramai bebas melawat dari satu gerai ke satu gerai melihat proses mengeluarkan bisa ular untuk dijadikan vaksin.

Bagi Grady Ragland aktiviti penangkapan ular orok-orok menjana ekonomi penduduk setempat. Ketika masih muda, dia keluar memburu haiwan itu bersendirian. Kini, dia masih bergiat serius dalam bidang tersebut.

“Kami menawarkan peralatan memburu dan menjual cenderamata berkaitan ular. Ini normal. Jika pergi ke Lousiana, anda akan mendapat buaya. Di sini kami mempunyai orok-orok,” tegasnya.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar dan Taman Texas, John Davis berkata, pihaknya telah mengawal selia habitat haiwan tersebut sejak tahun 2008 dan bimbang dengan trend pembunuhan ular secara besar-besaran itu.

“Kajian saintifik turut menunjukkan penggunaan petrol untuk mengumpan ular keluar bukan sekadar mengundang petaka kepada haiwan sasaran malah spesies lain terutama invertebrata yang tinggal di habitat sama dengan ular.

Himpunan alternatif


FINALIS ratu cantik ular, Sabra Sanderson (dua dari kiri) dan Riley Dodd (dua dari kanan) menyiat kulit ular pada pesta himpunan ular orok-orok di Kompleks Nolan Coliseum, Sweetwater, Taxes baru-baru ini.


“Haiwan seperti musang, burung hantu, kucing liar seperti spesies Lynx rufus dan kura-kura juga mengorek lubang untuk dijadikan tempat perlindungan.

“Dalam hal ini, menyedut atau berada dalam lingkungan udara dicemari petrol gas beracun seperti benzena toluena dan lain-lain adalah berbahaya,” jelasnya.

Di sebalik kisah pembunuhan orok-orok, ahli-ahli herpetologis (pengkaji amfibia dan reptilia) di Texas mengadakan himpunan alternatif di Round Rock iaitu satu daripada kota metropolitan negara itu.

Pengunjung berpeluang melihat ular orok-orok lebih dekat, melihat demonstrasi mengendalikan reptilia, forum dalam suasana selamat tanpa mencederakan haiwan itu.

“Ia diadakan sejak tahun lalu untuk meningkatkan kesedaran orang awam. Kami tidak meminta anda menyukai ular orok-orok. Kami cuma mahu anda supaya berhenti menyeksanya,” kata penganjur, Tim Cole.

Process time in ms: 47