STAILO

Peragaan busana Islamik dari 10 negara

Peragaan busana Islamik dari 10 negara



TATKALA tirai pentas peragaan dibuka, hayunan langkah model yang menggayakan busana Muslimah kontemporari membuatkan sesiapa sahaja menatap teruja dengan keunikan rekaan pereka-pereka terkenal dari dalam dan luar negara.

Tampil gaya segar dan moden tetapi masih mematuhi syariat Islam membuatkan Asia Islamic Fashion Week 2017 (AIFW) cukup meriah dengan kehadiran pelbagai jenama terkemuka.

Keterujaan tersebut turut dikongsi oleh salah seorang pengunjung, Raja Nurhazati Raja Azham, 46, yang tidak melepaskan peluang melihat kebangkitan fesyen Islamik.

“Saya lihat banyak rekaan terkini dan menarik tetapi masih menutup aurat.

“Ia membuktikan bahawa, baju-baju yang berkonsepkan Islamik mampu memberi sentuhan menarik dan diterima ramai,” katanya ketika ditemui di AIFW yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang itu, pereka bijak menggabungkan unsur moden tetapi masih mengekalkan ciri-ciri Islamik malah mampu menampilkan gaya elegan serta mewah.

Sebagai seorang pembeli peribadi, dia tidak melepaskan peluang mendapatkan busana-busana menarik di AIFW.

“Tugas sebagai pembeli peribadi tidak mudah kerana perlu pergi ke beberapa tempat untuk mendapatkan barangan yang diingini pelanggan.

“Ternyata gerai-gerai di sini banyak menjual pelbagai barangan lantas memudahkan kerja-kerja mencari item menarik,” jelasnya.

Sementara itu, Pengasas AIFW, Fuza Umar, 34, berhasrat untuk memartabatkan fesyen Islamik dan mewujudkan satu platform di Malaysia, Asia dan dunia menerusi penganjuran acara fesyen itu.

“Saya percaya, AIFW akan memberi inspirasi dan membawa pengaruh yang sangat besar dalam pasaran fesyen Islam khususnya di Asia.

“Acara ini menjadi tempat yang mengumpulkan pereka dan jenama fesyen terkemuka untuk berkongsi pengalaman serta ilmu masing-masing,” jelas ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Ledakan

Bertemakan Asia Sebagai Pusat Global Untuk Fesyen Islamik, AIFW yang diadakan buat julung-julung kalinya telah disertai oleh nama-nama besar dari 10 buah negara.


REKAAN Khalif by Erma Fatima menampilkan keunikan busana wanita Asia.


Antara negara yang terlibat ialah Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, India, Jepun, China, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jerman dan Amerika Syarikat.

Di samping itu, terdapat 100 buah gerai untuk pengunjung membeli-belah dan meluangkan masa bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

AIFW turut mendapat sokongan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan SME Corporation Malaysia.

Menurut anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, idea untuk menganjurkan AIFW ini tercetus apabila melihat ledakan dalam fesyen Islamik pada masa kini.

“Fesyen yang bercirikan Islam ini mula mendapat perhatian ramai bahkan diperagakan di pentas-pentas berprestij dunia.

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan tersebut untuk bersama-sama menyebar luas fesyen ini di seluruh dunia dan pada masa sama menampilkan keindahan Islam dalam setiap rekaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, tidak hairanlah AIFW disertai oleh jenama terkemuka tempatan seperti Cosry, Padusi Couture, General Products By Amy Search, Gaya By Adania, Nafyana By Liyana Ghaus.

Acara itu turut dimeriahkan dengan penglibatan jenama dari luar negara seperti Black Swan Couture (UAE), Barjis (United Kingdom), Chenille (United Kingdom), Bulbulia dan Amjaad (Paris, Perancis).

Melihatkan sambutan positif yang diterima, Fuza bakal menganjurkan AIFW sebagai acara tahunan pada masa akan datang.

Ujarnya, masa diambil untuk membuat persiapan bagi acara itu adalah dua tahun. Di samping mengadakan pertunjukan fesyen, AIFW turut menyediakan pelbagai pengisian menarik seperti interaksi fesyen dan sesi perkongsian bersama pereka serta mereka yang terlibat dalam industri tersebut.

Tuturnya, perkara itu penting untuk menghasilkan idea-idea menarik dan mengembangkan lagi fesyen patuh syariah.

Penganjuran AIFW baru-baru ini turut memberi manfaat kepada jenama Nafyana apabila berpeluang memperagaan 10 koleksinya di atas pentas peragaan itu.

Selain itu, Nafyana turut mempunyai gerai jualan sempena penganjuran AIFW bagi membolehkan peminat setia fesyen Muslimah mendapatkan busana-busana menarik di bawah jenama itu.

Pengasas Nafyana, Liyana Ghaus, 35, berkata, platform sebegini sangat penting untuk memperkenalkan jenama dan ia sebahagian daripada strategi pemasaran.

“Saya berpeluang berjumpa dengan ramai orang dan kami bertukar-tukar pandangan.


AMJAAD jenama dari Paris turut tidak melepaskan peluang untuk memperagakan rekaan mereka di pentas AIFW.


“Acara fesyen ini sangat baik untuk meluaskan jaringan pemasaran dan saya dapati jualan juga menunjukkan peningkatan saban hari,” katanya yang mereka sendiri busana di bawah jenama tersebut.

Kukuh

Dia turut berkongsi keterujaan apabila berpeluang melihat rekaan-rekaan unik daripada pelbagai negara.

Ceritanya, koleksi musim bunga/panas yang ditampilkan di pentas peragaan AIFW itu menggunakan warna lembut seperti merah jambu dan hitam serta putih.

Nafyana menyediakan rekaan sedia pakai, tempahan khas dan koleksi hijab.

Kesemua persalinan itu boleh dibeli terus di butiknya yang terletak di Denai Alam, Selangor atau secara online melalui laman web, www.nafyana.com.

Selepas mengikuti AIFW, Nafyana yang ditubuhkan sejak tahun 2013 lalu mengorak langkah ke hadapan dengan menyertai Modest Fashion Week di London baru-baru ini.

Liyana juga merancang untuk mempergiatkan lagi penyertaan acara-acara peragaan fesyen pada masa akan datang bagi mengukuhkan lagi jenama itu dalam industri fesyen di dalam mahupun luar negara.

Process time in ms: 15