RUANG

Adunan cita rasa moden klasik

Adunan cita rasa moden klasik

PASANGAN suami isteri ini memperoleh inspirasi dengan merujuk majalah dekorasi.


SENTUHAN teliti pemilik dalam menata rias kediaman dapat dilihat sebaik melangkah masuk ke pintu pagar banglo tiga tingkat milik pasangan suami isteri, Datuk Seri Mohd. Suparadi Md. Noor dan Datin Seri Siti Noor Asikin Muhammad yang terletak di Ampang Jaya, Selangor.

Kreativiti pasangan suami isteri itu dalam mengubah suai dan menyusun atur perabot di kediaman mereka menerusi penataan dekorasi berkonsepkan moden klasik berjaya menyerlahkan keluasan dan nilai eksklusiviti di setiap penjuru ruang.

Melangkah masuk ke ruang tamu utama, mata kru Jurnal dijamu dengan hiasan dekorasi klasik melalui penataan sofa klasik kulit dalam nuansa coklat mahogani gelap yang secara tidak langsung menyuntik elemen mewah.

Penataan perabot terus di­seimbangkan dengan padanan meja televisyen dan meja kopi daripada kayu dalam rona sedondon. Bantal-bantal kecil berwarna kuning keemasan yang diletakkan sebagai aksesori tambahan pula menyerlahkan kesenadaan kepada pilihan dekorasi.

Bagi menyuntik aura segar, jambangan bunga lili di dalam pasu kaca silinder diletakkan di atas meja kopi sebagai hiasan tengah meja.

Rona-rona tanah yang mendominasi ruang kemudiannya dilembutkan dengan penataan langsir biru cair yang mencipta kontradiksi kepada dekorasi tanpa kelihatan keterlaluan.

Malar segar

Menurut Siti Noor Asikin yang juga pengasas rangkaian produk penjagaan kulit jenama Sweedskin, konsep moden klasik yang diketengahkan pada rumahnya diilhamkan daripada cita rasa dia dan suami.


PENATAAN perabot berlainan reka bentuk dan warna memberi segmen berbeza di bahagian ruang tamu.


Katanya, kebanyakan idea dan inspirasi diperoleh melalui rujukan majalah dekorasi dan konsep suai padan.

“Sebenarnya suami dan anak-anak yang banyak membantu dalam mewujudkan dekorasi menarik ini. Seperti saya dan suami, kami tidak mahu terikat dengan konsep moden kerana ia agak ringkas.

“Justeru, kami memasukkan elemen klasik memandangkan ia tidak lapuk ditelan zaman selain menjadikan keseluruhan dekorasi tampak lebih malar segar,” katanya tersenyum.

Ruang tamu yang luas tidak dihadkan kepada satu-satu pera­bot sahaja tetapi dibezakan de­ngan penataan kerusi dan meja berlainan reka bentuk serta warna untuk mencipta segmen berbeza kepada ruang.

Di bahagian itu, dua buah sofa satu tempat duduk berwarna biru cair diletakkan bersama sofa rona perak. Kemasan kertas dinding yang membaluti segenap penjuru dinding pula menonjolkan keunikan tersendiri selain menyerlahkan nilai eks­klusif.

Hiasan tiga cermin berbingkai bulat diletakkan di bahagian dinding itu untuk memberi ilusi luas selain bertindak sebagai ornamen dekorasi.

“Dari segi perhiasan juga, saya suka item dekorasi yang antik dan unik. Antara koleksi kesayangan termasuklah set teko antik emas dan perak yang dibeli di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dan Turki,” katanya.

Fabrik baldu

Beralih ke ruang makan, ­ruang kediaman yang diduduki sejak Mei tahun lalu itu diberi sentuhan warna hitam melalui penataan kerusi dan meja makan untuk terus menyerlahkan kemewahan dekorasi.


ELEMEN air menerusi kolam renang menyuntik aura segar.


Fabrik baldu yang membalut kusyen kerusi menambahkan sisi elegan, manakala langsir jarang berona kelabu melembutkan suasana di ruang ber­kenaan.

Di satu sudut, piano diletakkan sebagai dekorasi dan bahagian dinding turut diwarnai kemasan kertas dinding berco­rak geometri yang secara tidak langsung bertindak sebagai feature wall.

Menjengah ke bahagian dapur, ruang tersebut dipisahkan dengan ruang makan menerusi binaan meja marmar terus daripada sambungan kabinet dan penataan kerusi kayu berkaki tinggi.

Binaan kabinet berwarna putih pula memberi ilusi ruang yang lebih luas selain membuatkan ia tidak kelihatan sarat.

Melangkah ke bahagian laman, bahagian itu dilestarikan dengan tanaman pokok-pokok palma yang secara tidak langsung memayungi kawasan kolam renang daripada terik sinaran matahari. Tanaman hiasan dalam pasu pula te­rus menyuntik aura segar.

Ruang santai pula ditatarias dengan penataan pera­bot kayu, manakala bantal-bantal kecil beraneka warna disusun untuk menambah kese­lesaan.

Di satu sudut, kerusi jenis buaian daripada material rotan diletakkan bagi melengkapkan dekorasi ringkas ruang berkenaan.

Bidai tingkap pula digantung pada setiap penjuru ruang bagi memberi suasana redup.

Kata Siti Noor Asikin, dekorasi sesebuah rumah sangat penting kerana ia membentuk kesempurnaan dan keselesaan untuk dihuni seisi keluarga.

“Saya amat menitikbe­ratkan dekorasi kediaman kerana saya mahu setiap ahli keluarga berasa selesa dan tenang apabila berada di rumah,” ujarnya.

Process time in ms: 63