RUANG

Feeka tawar suasana elegan dan urban

Feeka tawar suasana elegan dan urban

RIMBUNAN pohon-pohon menghijau diletakkan di bahagian luar kafe bagi mencipta unsur semula jadi.


TIDAK sukar mencari kafe bagi ruangan dekorasi kali ini memandangkan ia terletak di Bukit Bintang yang merupakan kawasan segi tiga emas kota Kuala Lumpur.

Papan tanda dari rona hitam dan putih tertulis perkataan ‘Feeka’ cukup minimalis, namun tetap berjaya mencuri tumpuan dari bahu Jalan Mesui yang sememangnya cukup terkenal dengan kesibukannya.

Sebaik kereta selesai diparkir di hadapan premis tersebut, tarikan pertama yang ada pada bahagian luar kafe itu ialah sepohon pokok besar yang terletak di bahagian tengah kafe.

Di sekelilingnya pula, pemilik meletakkan rimbunan pohon-pohon hijau bersaiz sederhana besar sekali gus menjadikan kawasan luar itu kelihatan begitu redup dan mendamaikan.

Pemilik Feeka, Alex yang sudah pun menunggu di sebuah bangku yang terletak di bahagian kiri kafe, mula membuka bicara tentang kafe yang memasuki tahun keempat beroperasi itu.


RONA hitam pada meja makan dilihat sesuai dengan konsep elegan dan urban yang diterapkan pemilik.


Rajin ubah suai

“Perkataan Feeka berasal daripada perkataan Sweden yang membawa maksud berehat dan bersantai.

“Saya dan rakan saya, Jennifer memilih perkataan ini supaya pengunjung kafe yang lazimnya terdiri daripada pekerja profesional di ibu kota datang ke sini untuk bersantai sambil menikmati secawan kopi,” ujar jejaka berusia 37 tahun itu.

Udara nyaman dengan hidangan kopi yang enak cukup untuk membuatkan pengunjung terus melekat dan tidak mahu berganjak dari kerusi kafe.

“Ya, memang ramai pengunjung yang gemar bersantai agak lama di Feeka, kadangkala sehingga empat atau lima jam, mungkin kerana suasananya mendamaikan,” jelas Alex.

Melihat kepada sudut pencahayaan ruang, beberapa unit lampu malap daripada rona jingga diletakkan di segenap ­ruang tersebut dah hasilnya, ia tampak tenang, sesuai buat mereka yang mahukan suasana santai saat mele­paskan lelah setelah seharian bekerja.

Kerusi jenis besi dan kayu digunakan Alex pada ruangan luar Feeka bagi mewujudkan suasana moden, namun tetap menjadikan pengunjung berasa seolah-olah sedang bersantai di dalam sebuah hutan.

Pokok-pokok yang ditanam juga disusun kemas bagi memastikan ­ruang luar yang mempunyai keluasan agak terhad tidak kelihatan terlalu sarat.

Menjengah bahagian dalam kafe pula, ia kelihatan sama seperti kebanyakan kafe-kafe lain, namun Feeka masih mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Alex memilih kemasan kayu bagi lantai ruangan itu dan ia kelihatan bersesuaian dengan konsep elegan dan urban pada Feeka.

Meja makan jenis segi empat sama berona hitam digunakan pada kese­luruhan ruang itu yang kemudiannya dipadankan dengan beberapa jenis kerusi rona sama bagi menyuntik kesenadaan.


PEMILIK menyusun cawan dan gelas di atas mesin espreso supaya ia tidak kelihatan terlalu kosong.


Lampu ringkas

Menurut Alex, sepanjang empat tahun beroperasi, dia sudah melakukan beberapa pengubahsuaian pada Feeka bagi mengelak pengunjung bosan de­ngan dekorasi yang sama.

“Pengubahsuaian yang dilakukan bukanlah besar atau keterlaluan, biasanya ia hanya melibatkan pengu­bahsuaian jenis kerusi atau warna pada dinding kafe.

“Kerusi pada bahagian dalam kafe sudah beberapa kali diganti dengan kerusi lain yang lebih sesuai dengan peredaran semasa,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Mempunyai keluasan sekitar 157.9 meter persegi, Feeka menggunakan siling yang sedikit tinggi bagi menjadikan keseluruhan ruangan tampak lebih luas.

Dinding pada bahagian dalam pula dilimpahi rona kelabu cair, berpada­nan apabila digabungkan dengan cahaya kekuningan pada bahagian kaunter minuman.

Biarpun sedikit malap, ruang dalam juga memberikan suasana tenang dan tetap tampil mempersona.

Bagi kawasan kaunter yang menyediakan minuman pula, ia dihias ringkas tanpa sebarang dekorasi sarat, namun tetap kelihatan menarik memandangkan bahagian atas mesin espresso diserikan dengan susunan cawan kopi berona kuning terang.

Bagi ruang menjamu selera pula, Alex memilih untuk meletakkan mentol bercahaya jingga sebagai penyeri.

Berkongsi tentang kos, Alex memberitahu, harga mengubah suai serta membaik pulih Feeka menelan belanja hampir setengah juta ringgit.

“Memandangkan bangunan ini sudah berusia beberapa puluh tahun, proses membaik pulihnya menelan belanja yang agak besar.

“Selain itu, sebagai sebuah kafe yang menyajikan minuman kopi, pembelian sebuah mesin kopi adalah satu pelaburan dan oleh itu, kami mem­belanjakan sejumlah wang yang besar untuk membeli mesin kopi yang berkualiti tinggi,” ujarnya.

Feeka menawarkan pilihan menu ala Barat dan bersempena sambutan Hari Ibu pada 14 Mei depan, kafe itu akan menyajikan set menu yang terdiri daripada Vietnamese Summer Rolls, Pan Seared Seabass bersama sos tomato salsa serta Chocolate Mousse sebagai pencuci mulut pada harga RM45 seorang.

Process time in ms: 63