VARIA

Adat istiadat gemilang pertabalan Agong ke-15

Adat istiadat gemilang pertabalan Agong ke-15

ISTIADAT pertabalan Yang di-Pertuan Agong diwarisi daripada adat Raja-Raja Melayu itu membuktikan bahawa Malaysia mempunyai teras tamadun dan peradaban yang tinggi.


PADA 24 April ini, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan adat istiadat penuh gilang-gemilang pertabalan Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Adat istiadat pertabalan Agong yang berlaku setiap lima tahun sekali itu sejak pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama Tuanku Abdul Rahman pada September 1957 tidak pernah diubah dari segi aturan mahupun peralatan kebesaran yang terlibat.

Menurut ahli akademik, Datuk Dr. Zainal Kling, istiadat pertabalan itu merupakan gabungan adat sedia ada yang diguna pakai untuk negara.

Beliau menjelaskan, upacara pertabalan adalah satu proses biasa yang diadakan oleh kebanyakan institusi raja di seluruh dunia untuk mengangkat seseorang itu menjadi raja secara rasmi, dengan disaksikan seluruh rakyat.

“Pada umum, prinsipnya adalah sama di mana-mana. Malah, untuk melantik Presiden atau Perdana Menteri negara pun ada upacara khas.

“Pada zaman moden ini, dalam keadaan apapun, kebanyakan masyarakat masih lagi melaksanakan adat dan upacara tertentu kerana itu adalah satu tanda pengiktirafan apabila kita letakkan seseorang pada kedudukan yang istimewa sebagai pemimpin paling tinggi dalam negara.

“Keperluannya bagi kita ialah upacara (adat istiadat pertabalan Agong) itu sebagai satu kelangsungan pada sistem kerajaan Melayu dan adat istiadat kerajaan Melayu,” jelasnya.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam menggariskan sebab-musabab mengapa adat istiadat ini sangat penting dipelihara.

Pemerintah tertinggi

Menurut beliau, selain memenuhi peruntukan Perlembagaan, prosedur pertabalan itu adalah lambang kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi negara.

Istiadat khas yang diguna pakai sejak merdeka itu tidak diaplikasikan kepada pemimpin lain iaitu raja-raja negeri atau gabenor.

“Sebagai kedudukan yang tertinggi seperti yang tertera dalam perlembagaan, maka mestilah ada adat istiadat yang bersesuaian dengan kedudukan itu untuk membezakan baginda dengan raja (negeri) dan jawatan yang lain,” katanya

Menurut Ramlah, istiadat pertabalan yang diwarisi daripada adat Raja-Raja Melayu itu membuktikan bahawa Malaysia mempunyai teras tamadun tersendiri dan peradaban yang tinggi.

Jelas beliau, kewujudan Yang di-Pertuan Agong sendiri menunjukkan bahawa negeri-negeri Melayu yang membentuk Malaysia mempunyai sistem kerajaan yang mengangkat Sultan sebagai ketua dan tradisi ini diamalkan sejak dahulu lagi.


SULTAN Kelantan Sultan Muhammad V (dua kanan) akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Isnin ini.


“Yang di-Pertuan Agong, maksudnya Seri Paduka datang daripada raja-raja Melayu yang memerintah negeri-negeri Melayu.

“Ia tidak sama dengan konsep khalifah yang lebih menyerupai Perdana Menteri.

“Konsep raja, Seri Paduka mesti memiliki kawasan tanah, ada rakyat yang mengangkat Seri Paduka, patuh dan setia kepada kepimpinan Seri Paduka, itulah konsep ke-raja-an kita sejak dahulu.

“Inilah teras tamadun kita,” hurai beliau.

Adat istiadat itu menunjukkan bahawa bangsa Malaysia bukanlah suatu bangsa yang melakukan kerja secara cincai atau lebih kurang sahaja.

Aturan yang penuh tertib, santun dan sarat dengan pengertian tertentu itu menonjolkan imej positif buat negara di mata dunia.

“Ia menunjukkan apabila kita buat sesuatu, ada tertib, prosedur dan langkah yang wajar diikuti setiap zaman. Maknanya kita bukan manusia lekeh. “Ini adalah imej kita sebagai bangsa yang bertamadun tetapi ini bukan berkenaan imej Melayu atau Malaysia sahaja ia juga melibatkan imej Islam,” tegas beliau.

Dengan mengambil konsep kemanusiaan yang lebih luas, Ramlah berkata, ketertiban adat yang dipelihara sejak zaman-berzaman itu menjadi satu petunjuk bahawa masih ada satu kelompok manusia yang mempertahankan peraturan serta nilai yang baik.

Mengambil contoh keadaan semasa, khususnya di Syria yang disifatkan sebagai medan pertembungan ego

kuasa-kuasa besar, Ramlah berkata, masyarakat dunia seperti sudah tidak menghormati ketertiban dan nilai kemanusiaan.

Kemanusiaan

Pada zaman ini, banyak pihak yang meletakkan nilai kewangan dan ego pada tempat yang lebih tinggi daripada kemanusiaan.

Mereka menghalalkan kehendak sendiri dengan pelbagai alasan sehingga mengakibatkan banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban.

Ramlah berkata, di Malaysia masih ada pihak yang mempunyai sistem tertinggi yang mahu mengamalkan satu prosedur dengan nilai murni dan dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Apabila Yang di-Pertuan Agong mengangkat dan mencium al-Quran, itu menunjukkan baginda bertanggungjawab kepada Allah dan rakyat untuk melaksanakan perkara yang betul mengikut Islam.

“Ini menunjukkan masih ada lagi manusia di dunia yang mahu mengekalkan peraturan yang baik, mengamalkan nilai-nilai murni dan kemanusiaan serta tanggungjawab itu diambil oleh ketua negara kita,” katanya.– Bernama

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47