HIBURAN

Paris Jackson, pasca pemergian Michael

Paris Jackson, pasca pemergian Michael



“PERASAAN sedih tidak akan terhapus oleh waktu,” tutur Paris Jackson sambil mengenang kembali episod lara yang terpaksa dilalui sewaktu bapa tercinta, mendiang Michael Jackson menghembuskan nafas terakhir sekitar lapan tahun lalu.

Masih segar dalam kotak fikiran Paris yang ketika itu baru sahaja berusia 11 tahun, menyifatkan pemergian Michael sebagai sebuah kehilangan paling besar dalam hidupnya.

“Apabila kehilangan satu-satunya figura yang membawa pengaruh paling penting dalam hidup, perasaan saya menjadi tawar.

“Saya yakin, jika ada berlaku perkara yang paling menyakitkan selepas ini, ia tidak akan setanding dengan apa telah saya lalui sewaktu bapa pergi meninggalkan kami,” tutur Paris, 19, dalam sebuah wawancara yang dikelolakan oleh majalah hiburan Rolling Stone baru-baru ini.

Terus memutarkan memori indah bersama bapanya, pemilik nama lengkap Paris-Michael Katherine Jackson itu mengimbau saat manis ketika membesar di Neverland, taman tema persendirian yang suatu ketika dahulu pernah menjadi milik Michael.

“Sejujurnya, kehidupan kami adik-beradik tidak jauh berbeza berbanding individu lain.

“Jika kami berkelakuan baik dan tidak nakal, kami boleh memilih untuk melakukan aktiviti yang kami suka seperti melihat haiwan atau menonton filem di Neverland,” katanya.

Menurut Paris, membesar dan menjalani kehidupan sebagai anak kepada legenda pop dunia ketika itu tidak memberi kesan terhadap rutin hariannya.

“Saya tidak mengenali Michael Jackson sebagai seorang lelaki yang dipuja kerana bakat nyanyiannya tetapi saya mengenalinya sebagai seorang bapa dan dia merupakan dunia saya,” katanya lagi.

Kebapaan

Dalam memoir berjudul You Are Not Alone Michael tulisan Jermaine Jackson yang juga abang Michael, pelantun lagu Man In The Mirror itu digambarkan sebagai seorang bapa yang sangat bertanggungjawab sepanjang menggalas tugasnya.

Justeru, tidak hairan jika Michael memberikan pilihan buat Paris dan dua anaknya yang lain, Michael Joseph Jackson Jr., 20, dan Prince Michael Jackson II, 15, untuk keluar melihat dunia dan belajar di sekolah awam sewaktu kecil.




Tiga beradik tersebut bagaimanapun menolak dan memilih untuk meneruskan proses pembelajaran secara persendirian di rumah.

“Perkara paling menyenangkan apabila bapa singgah ke dalam bilik yang dijadikan kelas untuk menjenguk perkembangan pembelajaran kami.

“Lebih menggembirakan, bapa akan menamatkan kelas serta-merta jika dia mahu menghabiskan masa bersama. Kami tidak perlukan kawan, kami ada bapa dan saluran Disney!” ujar Paris sambil tersenyum.

Pembelajaran di rumah tidak terhenti setakat itu sahaja. Menurut Paris, Michael gemar mengajarnya masak.

“Bapa saya sangat pandai memasak. Ayam goreng hasil air tangannya merupakan hidangan paling menyelerakan yang pernah saya rasa,” ujar Paris yang turut mempelajari cara membuat pai keledek daripada bapanya.

Selain menguruskan rumah, Michael turut mendedahkan Paris mengenai dunia muzik.

“Saya masih ingat, ketika bapa bekerja dengan Van Halen, secara tiba-tiba saya juga mendengar dan meminati karya-karya band tersebut.

“Apabila dia bekerjasama dengan Slash, saya terus menjadi peminat Gun N’ Roses. Bapa juga memperkenalkan saya terhadap karya-karya hebat milik Tchaikovsky and Debussy, Earth, Wind and Fire, The Temptations, Tupac dan Run-DMC,” katanya.

Spekulasi

Menggalas status sebagai anak kepada Michael Jackson bukan satu perkara yang mudah. Di sebalik puluhan khabar angin dan gosip yang melibatkan bapanya, Paris juga tidak terkecuali dihimpit kontroversi.

Warna kulitnya yang cerah dengan tekstur rambut lurus telah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan khalayak mengenai status Paris sebagai anak kandung Michael.


KERJAYA Bagi menyambung legasi seni keluarga bapanya, Paris berhasrat untuk mencuba nasib dalam bidang peragaan dan lakonan sebagai karier.


Kesahihan Paris sebagai anak Micheal menjadi lebih mencurigakan kerana ibunya, Debbie Rowie yang mengahwini Michael pada 1996 selama tiga tahun pernah membuat pengakuan bahawa mereka tidak tinggal sebumbung walaupun selepas mendirikan rumah tangga.

Lebih memburukkan keadaan, khalayak mula membuat spekulasi bahawa Michael tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan anaknya, Paris.

Sebaliknya, bekas majikan Rowie, iaitu doktor pakar kulit Arnold Klein dan pelakon Mark Lester dinamakan sebagai dua lelaki yang berkemungkinan bergelar bapa kandung kepada Paris.

Sedar tentang isu tersebut masih hangat diperkatakan, Paris mengambil jalan mudah untuk tidak terlalu memikirkannya.

“Dia ialah bapa saya dan selamanya akan menjadi bapa saya,” respons Paris dalam nada yang agak tegas.

Bercakap mengenai warna kulit, Paris tetap meletakkan dirinya dalam kelompok kulit hitam.

“Bapa saya sentiasa membuatkan kami berasa bangga untuk bergelar orang kulit hitam.

“Sejujurnya, kami percaya apa yang dikatakan olehnya. Dia bapa kami, mengapa pula dia mahu menipu? Tambahan pula, dia tidak pernah menipu,” katanya lagi.

Menangis

Menyambung perbualan, Paris mendedahkan bahawa ayahnya merupakan seorang lelaki berjiwa rapuh.

“Sewaktu berusia sembilan tahun, bapa kerap datang dan menangis di hadapan saya. Bayangkan ibu atau bapa anda menangis di hadapan anda disebabkan rasa benci khalayak terhadap perkara yang tidak pernah dilakukannya.

“Melihat bapa disakiti sebegitu, saya mula membenci dunia luar. Saya juga mula mempersoalkan erti kemanusiaan dan kesanggupan orang awam untuk melakukan perkara-perkara yang sangat kejam,” katanya sambil mengesat air mata yang tumpah di pipi.

Pada tahun 1993, Michael dituduh mencabul kanak-kanak berusia 13 tahun bernama Jordan Chandler. Kes tersebut bagaimanapun berakhir pada tahun 2005 dengan pembayaran wang pampasan kepada Jordan sebanyak AS$15.3 juta (RM67.2 juta).

Dari bola mata Paris, bapanya seorang lelaki budiman dan tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk sebagaimana yang diperkatakan ramai.

“Jika mereka pernah dipelihara oleh Michael Jackson sebagai anak, tanggapan mereka terhadap bapa saya akan berubah selama-lamanya,” ujar Paris.

Di sebalik gelora yang membadai keluarganya, tersemat satu pesanan oleh Michael yang akan diingati Paris sampai bila-bila.

“Bapa pernah berpesan, saya boleh menceburi bidang seni dan menjadi lebih besar daripadanya.

“Dia juga tidak kisah jika saya mahu menjalani kehidupan harian seperti individu lain. Kata bapa, dia hanya ingin melihat saya bahagia,” tutup Paris.

Process time in ms: 31