DUNIA

Analisis rumus MH370 berada di lokasi baharu

Analisis rumus MH370 berada di lokasi baharu

SYDNEY – Analisis baharu serpihan hanyut menunjukkan penerba­ngan Malaysia Airlines MH370 berkemungkinan besar berada di kawasan pencarian tambahan yang diusulkan tetapi ditolak oleh Australia dan Malaysia, kata agensi saintifik kerajaan Australia semalam.

Operasi mencari MH370 yang menelan belanja AS$150.54 juta (RM662 juta) ditamatkan apabila Kuala Lumpur dan Canberra menolak cadangan pencarian di utara kawasan yang telah di­selidiki seluas 120,000 kilometer persegi pada Januari lalu. Australia dan Malaysia menganggap cadangan itu terlalu umum dan tidak spesifik.

Berdasarkan analisis baharu, pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai berada di kawasan lebih kecil seluas 25,000 kilo­meter persegi di utara zon pencarian terdahulu.

“Analisis baharu ini menjadikan kami lebih yakin dengan penemuan kami,” kata penyelidik utama Pertubuhan Kajian Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO), Dr. David Griffin dalam satu kenyataan.

Laporan CSIRO menampilkan data dan analisis sirip sayap atau flaperon Boeing 777 sebenar yang diuji di lautan. Flaperon itu dipotong mengikut bentuk dan ukuran serpihan MH370 yang ditemui di Pulau Reunion, luar perairan Afrika pada tahun 2015.

Kajian sebelum ini menggunakan replika flaperon yang diperbuat daripada kayu dan besi.

“Kami mendapati flaperon sebenar hanyut pada sudut 20 darjah ke kiri dan lebih cepat berbanding replika, seperti yang kami andaikan.

“Ketibaan serpihan MH370 di Pulau Reunion pada 2015 bertepatan dengan teori ini,” kata Griffin.

Lokasi MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, menjadi antara misteri aviasi pa­ling besar di dunia.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Australia, Darren Chester berkata, beliau menyambut baik laporan CSIRO, namun ia gagal memberikan bukti baharu lokasi spesifik MH370.

Katanya, salinan laporan itu telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia untuk pertimba­ngan. Penerba­ngan MH370 hilang bersama 239 penumpang dan kru pada tahun 2014. – Reuters

Rencana Utama!»

Sultan Muhammad V raja berjiwa rakyat

PELANTIKAN Sultan Muhammad V (depan kanan) sebagai Yang di-Pertuan Agong merupakan keputusan sebulat suara Majlis Raja-Raja.

Process time in ms: 31