TERKINI

Hotel Dash Box tarikan baharu Cyberjaya

Hotel Dash Box tarikan baharu Cyberjaya

21/04/2017 6:02pm


Hotel Dash Box Cyberjaya


CYBERJAYA - Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah merasmikan hotel berkonsep hostel yang pertama di sini, Hotel Dash Box Cyberjaya malam tadi.

Beliau berkata, pelancaran hotel tersebut bakal menjadi tarikan baharu pelancong tempatan dan luar negara ke bandar pintar itu.

“Dalam kita mengekalkan budaya Malaysia, kita juga tidak harus ketinggalan dalam arus kemodenan kerana masa depan bermula dari Cyberjaya.

“Hotel Dash Box Cyberjaya ini menjadi model tempat penginapan yang berpatutan dengan reka bentuk yang inovatif,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis pembukaan hotel tersebut di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Cyberview Sdn. Bhd., Datuk Faris Yahaya dan Pengarah Urusan Kumpulan Hotel Ri-Yaz dan Resort selaku pemilik Hotel Dash Box Cyberjaya, Datuk Mohammed Shaheen Shah Mohd Sidek.

Sementara itu, Mohammed Shaheen Shah pula berkata, hotel tersebut mula beroperasi pada tahun lalu dengan beberapa unit penginapan yang dibina menggunakan kontena terpakai.

“Selain bilik yang diperbuat daripada kontena, kita juga menawarkan bilik yang diinspirasikan daripada reka bentuk rumah tradisional masyarakat Lombok untuk memberikan kelainan kepada tetamu.

“Rekaan bilik adalah refleksi terhadap inovasi dan teknologi tinggi yang menjadi identiti Cyberjaya,” katanya.

Kini, hotel berkenaan sudah disediakan dengan kemudahan yang lengkap seperti restoran, kolam renang, gimnasium, butik jualan, dewan utama, bilik mesyuarat, tempat letak kenderaan dan Internet percuma serta ruang bilik jenis studio dan mewah.

Hotel Dash Box Cyberjaya yang terletak dalam kawasan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) itu memiliki sebanyak 87 bilik yang ditawarkan pada harga permulaan RM198 semalam. - K! ONLINE

Process time in ms: 15