SUKAN

Aksi Azizulhasni diiktiraf MBR

Aksi Azizulhasni diiktiraf MBR


DANNY (dua dari kiri) menyampaikan dua sijil MBR kepada Azizulhasni (tengah) sambil diperhatikan oleh Abu Samah (dua dari kanan) di pejabat MBR di Kuala Lumpur semalam.


KEJAYAAN jaguh pecut dunia, Azizulhasni Awang meraih emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017 serta gangsa pada temasya Olimpik 2016 telah memboleh­kan dia memahat nama dalam dua kategori The Malaysia Book of Records (MBR) semalam.

Menurut pengasas MBR, Tan Sri Danny Ooi, penganugerahan sijil tersebut kepada jaguh berusia 29 tahun itu diharap mampu mencetuskan inspirasi kepada pelumba pelapis sukan lumba basikal negara.

“Tahniah diucapkan kepada Azizulhasni kerana berjaya mencipta rekod untuk Malaysia yang telah diiktiraf oleh MBR.

“Sebelum ini, dia turut men­ca­tatkan nama dalam MBR kerana kejayaannya menjadi pelumba basikal negara pertama meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2016.

“Kejayaan terbaharunya meraih emas dalam acara keirin pada kejohanan dunia membolehkan dia sekali lagi mencatatkan nama dalam MBR sebagai pelumba negara pertama yang meraih emas pada kejohanan berprestij tersebut menerusi catatan masa 10.253 saat,” kata­nya pada Majlis Penyerahan Sijil MBR di pejabat MBR Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, dua MBR yang diterima semalam menyaksikan anak kelahiran Dungun, Terengganu itu sudah menca­tatkan tiga rekod yang diiktiraf oleh MBR.

Kali pertama namanya direkodkan dalam MBR selepas muncul sebagai pelumba pertama negara meraih pingat perak pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2009 di Pruzskow, Poland.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Abd. Wahab.

Dalam perkembangan sama, jaguh yang diberi jolokan The Pocket Rocketman itu turut berharap namanya akan tercatat dalam MBR buat kali keempat selepas ini iaitu sebagai pelumba berbasikal pertama yang meraih emas pada Sukan Olimpik.

“Saya sangat bangga kerana nama saya dicatatkan dalam MBR. Sudah tentu ia satu sejarah buat negara dan diri saya.

“Saya berharap rakyat Malaysia dapat melihat catatan rekod ini dan menjadikan ia sebagai semangat dan pendorong kepada atlet lain untuk mencapai sesuatu kejayaan sama.

“Saya ada satu lagi perkara penting mahu dicapai iaitu untuk meraih emas pada Sukan Olim­pik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Saya percaya perkara ini adalah satu permulaan yang baik untuk merealisasikan misi pada Sukan Olimpik nanti.

“Saya berharap dapat me­raih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik, sekali gus berjaya mencatatkan rekod keempat pe­­ribadi dalam MBR,” katanya.

Process time in ms: 31