PESONA

Enam dekad penganjuran tilawah al-Quran

Enam dekad penganjuran tilawah al-Quran


WAN FAKHRUL RAZI (kiri) dan Normalina bergambar bersama kenderaan Proton Exora yang dimenangi mereka selepas muncul juara Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan 2017.


SUATU ketika dahulu, pada malam-malam bulan Ramadan, alunan merdu ayat suci al-Quran qari dan qariah akan berkumandang di rumah-rumah masyarakat Islam di negara ini.

Siaran langsung tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan menjadi peneman setia ibu-ibu yang mungkin sedang membakar kuih bagi persiapan Aidilfitri dan para bapa yang melepaskan lelah sebaik pulang menunaikan solat tarawih.

Meskipun tidak dianjurkan pada bulan Ramadan, pertandingan berprestij dan penuh bersejarah itu masih mempunyai peminat serta meraih tempat istimewa di hati ramai umat Islam di Malaysia.

Menjangkau 60 tahun usia penganjurannya, musabaqah menjadi agenda untuk meningkatkan kesedaran terhadap penghayatan Islam secara menyeluruh, selain meninggikan syiar Islam dan mendaulatkan al-Quran.

Bagi pengunjung, Masturah Shaifuddin, 30, tujuan kedatangannya ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan 2017 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini hanyalah satu, iaitu untuk mempelajari dan menghayati al-Quran berkenaan.

Katanya, al-Quran merupakan mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat Islam sebagai panduan hidup di dunia dan di akhirat.

Pertama kali


Barisan jemaah hakim yang mengadili para qari dan qariah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.


“Pengetahuan yang terkandung dalam al-Quran bukan sahaja diterjemahkan melalui hukum syarak tetapi di dalamnya menyentuh ilmu pengurusan diri seperti sains, matematik, perubatan dan sebagainya.

“Oleh demikian, setiap umat Islam wajib menghayati setiap patah ayat al-Quran dengan cara membaca, mendengar atau mempelajarinya bagi mencari khazanah mukjizat yang terdapat dalam kitab suci itu,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! pada musabaqah berkenaan di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.

Seorang lagi pengunjung, Ahmad Dhiya’ Ul Hafizh Muhammad Muchtar, 21, berkata, ini merupakan kali pertama dia datang ke musabaqah itu kerana sebelum ini sekadar menontonnya di rumah.

“Saya amat teruja kerana penganjuran kali ini dibuat berdekatan dengan tempat tinggal saya.

“Malah, suasana menonton secara langsung di musabaqah ini juga berbeza berbanding di rumah sendiri.

“Kemudahan yang disediakan pula selesa. Pengunjung boleh memilih sama ada duduk di dalam dewan ataupun di luar dewan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Dhiya’ memberitahu, al-Quran bukan sahaja perlu dipelajari dan dihayati tetapi mendengarnya juga kita akan mendapat pahala.

“Oleh itu, pada masa terluang sebegini apa salahnya saya datang bersama kawan-kawan untuk mendengarkan bacaan al-Quran daripada para qari dan qariah seluruh Malaysia di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perhubungan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Fauziah Razap berkata, buat julung-julung kalinya Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan 2017 diadakan serentak.

“Seramai 106 peserta dari 14 buah negeri telah berhimpun dan memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang tujuh hari acara ini berlangsung.

“Daripada jumlah itu, seramai 28 qari dan qariah terlibat dalam kategori tilawah yang terdiri daripada dua orang wakil bagi setiap negeri.

“Kemudian, seramai 78 hafiz dan hafizah pula adalah peserta kategori hafazan iaitu 42 orang hafiz dan 36 orang hafizah.

“Selain itu, terdapat tiga orang peserta dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU), yang terdiri daripada dua orang qari kategori tilawah dan seorang hafiz kategori hafazan. Malah, persembahan mereka juga telah mencetus fenomena di seluruh negara, bahkan merentas ke luar negara,” katanya.

Pengunjung


Penglibatan wanita dalam pertandingan Tilawah al-Quran turut membuktikan penguasaan bacaan dan taranum yang tidak kurang hebat.


Tambah Fauziah, pada masa sama, beberapa program menarik juga telah diatur bagi menarik lebih ramai pengunjung seperti tayangan televisyen LED skrin besar di Dataran Seri Negeri, tapak pameran serta lebih daripada 10 buah trak makanan menjual pelbagai produk makanan dan minuman.

“Lebih 40,000 orang pengunjung telah hadir pada musabaqah kali ini dan kami berharap mereka akan terus menyokong program seumpamanya pada masa akan datang,” kongsinya.

Wakil qari Wilayah Persekutuan, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dan qariah Negeri Sembilan, Normalina Alias dinobatkan juara Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan 2017.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM15,000, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, piala iringan dan sebuah kenderaan Proton Exora.

Kedua-duanya juga akan mewakili negara pada Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa yang bakal berlangsung pada 15 hingga 20 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Rencana Utama!»

Ukiran kayu cerminan kisah nenek moyang

Samri mengambil masa antara tiga minggu hingga dua bulan untuk menyiapkan sesebuah karya.

GenK»

Pelajari kemahiran ikhtiar hidup

AKTIVITI penjelajahan hutan memberi peluang kepada peserta beriadah sambil melihat keindahan alam semula jadi yang terdapat di sekitar Hutan Lipur Sungai Tua.

Varia!»

Getaran simbolik karya Mad Anuar

MAD ANUAR mengambil masa hampir empat tahun untuk menyiapkan arca Perentas Ribut No. 18.

Process time in ms: 47