PESONA

Hidup lebih positif selepas menjalani rawatan

Hidup lebih positif selepas menjalani rawatan

SELAIN sedih, penghidap kemurungan juga berasa putus asa dan tidak boleh berfikir secara positif. – Gambar hiasan


TUTUR katanya penuh sopan. Suaranya agak perlahan dan apabila bercakap, kepalanya sedikit tertunduk.

“Saya mempunyai masalah dalam memulakan perbualan. Apabila hendak berbual dengan pesakit, saya akan kaku dan payah buka mulut.

“Jadi, setiap kali perlu melakukan tugasan, perasaan tertekan dan stres sering menghantui diri,” ujar Dr. Nursyahirah Mohd. Nazir, 35, yang merupakan survival penyakit kemurungan major. Dia didiagnosis mengalami kemurungan yang teruk pada 2003 semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pelajar kedoktoran.

Penyakit itu timbul akibat terbeban dengan pelajaran dan pada masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai ibu serta isteri.

Sedar yang dirinya mengalami masalah tekanan, Nursyahirah terpaksa mendapatkan rawatan di Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selama sembilan tahun dengan menghadiri rawatan bersama psikiatri dan mengambil ubat antikemurungan.

Ditanya mengapa dia memilih kerjaya sebagai doktor sedangkan mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali, dia yang berasal dari Bidor, Perak memberitahu, dirinya terlalu meminati bidang sains.

“Disebabkan masalah tersebut saya tidak dapat melengkapkan latihan untuk merawat pesakit. Saya hanya dapat menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran,” jelasnya.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, kemurungan membawa maksud keadaan seseorang apabila mengalami rasa kecewa dan putus asa yang diiringi dengan gejala seperti sukar tidur, lembab berfikir dan rasa bersalah yang keterlaluan serta tidak setimpal dengan kesilapan yang dilakukan.

Mengimbas tragedi yang menimpa diri wanita itu, ada sesuatu yang memilukan berlaku pada tahun 2009 ketika mengandungkan anak kedua, Ahmad Emir Aqeel Ahmad Azan yang kini berusia tujuh tahun. Ketika itu, dia mengalami pendarahan teruk.

“Saya semakin tertekan apabila doktor memberitahu peluang anak saya boleh hidup 50-50. Saya mengalami pendarahan dan tidak cukup rehat.

“Selepas bersalin, memang betul anak saya dilahirkan seberat 1.9 kilogram (kg) sahaja dan disahkan menghidap autistik serta beberapa penyakit lain,” katanya semasa ditemui pada majlis pelancaran Kempen Kemurungan: Mari Bincang di PPUKM di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Psikiatri PPUKM, Prof. Dr. Marhani Midin dan wakil Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr. Hazli Zakaria.

Tambah Nursyahirah lagi, penyakit kemurungan yang dialami bertambah teruk semasa dia diberikan cuti sakit.

Berhenti kerja


SOKONGAN ahli keluarga dan rakan-rakan amat penting buat pesakit. – Gambar hiasan


Wanita itu menjadi bertambah tertekan sehingga berniat bunuh diri malah, sering terdengar suara-suara halus. Berat badannya juga menurun drastik dari 52kg ke 44kg dalam tempoh dua bulan.

Selain itu, Nursyahirah enggan berjumpa dengan sesiapa, dia juga hanya tidur sejam sehari dan sering menangis tanpa tujuan.

Melihat kepada perubahan diri yang semakin tidak terurus, dia mengambil keputusan berhenti kerja pada tahun 2012 kerana ingin fokus kepada anak dan keluarga.

Kini, anak sulung daripada enam beradik itu sudah empat tahun pulih daripada penyakit berkenaan. Dia bahagia menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Selepas bebas daripada penyakit ini, hidup saya lebih positif. Jika difikirkan semula, saya suka fikirkan sesuatu sehingga ke tahap kritikal walhal tiada apa pun yang berlaku.

“Anak-anak adalah sumber kekuatan saya, mereka banyak memberi sokongan agar saya lebih kuat,” tuturnya sambil memberitahu suami dan keluarga adalah insan penting yang banyak membantunya memulihkan diri daripada penyakit berkenaan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan menjejaskan kira-kira 300 juta penduduk di seluruh dunia. Kemurungan adalah punca utama kecacatan seperti yang diukur oleh Years Lived with Disability dan penyumbang keempat yang membawa kepada beban penyakit di dunia.

Statistik

Di Malaysia, empat daripada 10 orang dianggarkan mengalami masalah kemurungan dan angka itu dijangka terus meningkat. Situasi yang membimbangkan ini menjadi ancaman yang wujud di persekitaran kehidupan setiap orang saban hari.

Ia juga menjadi cabaran getir yang perlu ditangani dalam sektor penjagaan kesihatan secara lokal atau global.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Permai merangkap mantan Presiden MPA, Abdul Kadir Abu Bakar berkata, diagnosis yang tepat dan rawatan awal adalah penting untuk menjamin penyembuhan dan menghalang daripada penyakit kembali berulang.

“Simptom seperti risau yang keterlaluan, tidak berminat untuk mendampingi anak, suami atau keluarga, paranoid atau mempunyai perasaan untuk mencederakan diri sendiri adalah petanda awal seseorang itu menghidap kemurungan.

“Sesetengah individu menganggap masalah kesihatan berkaitan mental bukan perkara serius seperti penyakit lain. Ini ­menyebabkan mereka lambat mendapatkan rawatan malahan ada di antaranya tidak mendapatkan rawatan langsung. Akhirnya, permasalahan ini kian meruncing kerana tidak dirawat secara menyeluruh,” jelasnya.

Abdul Kadir turut memaklumkan, bagi masyarakat Islam, tekanan hidup harus diatasi dengan cara rasional dan sabar, bukannya dengan jalan singkat seperti membunuh diri.

“Walaupun begitu, tidak kira apa juga nasihat dan sokongan yang diberikan kepada pesakit, diri mereka sendiri harus berusaha untuk pulih. Pesakit tidak boleh putus asa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pelancaran Kempen Kemurungan: Mari Bincang, Dr. Tuti Eryani Mohd. Daud berkata, kemurungan boleh dirawat melalui ubat-ubatan, psikoterapi atau psikososial tetapi ia harus disertakan dengan komitmen pesakit untuk pulih.

“Jika dirawat dengan betul, peratusan untuk pulih atau mudah dikawal agak tinggi. Pesakit juga perlu mengambil ubat-ubat seperti ubat antikemurungan dalam jangka masa yang ditetapkan. Orang sekeliling juga perlu memberi sokongan.

“Pesakit juga perlu sedar yang mereka mengalami gangguan tekanan kerana ramai yang tidak perasan mereka mengalami masalah itu melainkan berjumpa doktor untuk didiagnosis,” ujarnya.

Process time in ms: 78