RENCANA UTAMA

Pembinaan Pangsapuri Bandaraya perlu diperluas

Pembinaan Pangsapuri Bandaraya perlu diperluas


Projek perumahan baharu yang berharga ratusan ribu menyukarkan golongan belia di ibu kota untuk memiliki rumah sendiri. – Gambar hiasan


MAJLIS pecah tanah projek perumahan Pangsapuri [email protected] Udang, Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin lalu sememangnya memberi makna yang besar.

Projek perumahan bernilai RM345 juta yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dikatakan bakal memberi wajah baharu terhadap konsep perumahan di bandar raya yang berbeza berbanding Projek Perumahan Rakyat sedia ada.

Menurut Perdana Menteri, konsep perumahan yang julung-julung kali diperkenalkan kepada warga kota itu merupakan inisiatif kerajaan bagi memudahkan rakyat khususnya golongan keluarga muda untuk tinggal di kediaman yang lebih selesa.

Selain projek perumahan yang dilaksanakan oleh DBKL itu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memperkenalkan projek Pangsapuri Studio Transit Belia yang disasarkan untuk membantu golongan belia.

Projek tersebut melibatkan pembinaan 4,800 unit pangsapuri studio di atas tanah milik KPKT di Mukim Batu, Kuala Lumpur dan dijangka bermula Julai depan.

Apa yang menarik ialah, kedua-dua projek perumahan berkonsep baharu itu menawarkan kadar sewa bulanan sebanyak RM800 dengan RM300 daripadanya akan disimpan oleh kerajaan sehingga tempoh sewaan maksimum lima tahun berakhir.

Ini bermakna, kadar sewa sebenarnya hanyalah RM500 sebulan dan jika penyewa mematuhi syarat-syarat perjanjian termasuklah membayar sewa setiap bulan secara konsisten, mereka bakal memperoleh semula wang tabungan tersebut berjumlah RM18,000.

Melalui sistem tersebut, kerajaan mengharapkan wang tabungan itu boleh dijadikan deposit oleh golongan belia membeli rumah baharu selepas tamat tempoh sewaan di kedua-dua jenis pangsapuri tersebut.

Mengulas mengenai projek perumahan tersebut, Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Baayah Baba ketika dihubungi berkata, beliau melihat projek berkenaan sebagai satu perkembangan positif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membantu warga kota khususnya golongan belia dan mereka yang baru berkahwin mendapat kediaman yang lebih selesa.

“Kehidupan di ibu kota besar terutamanya Kuala Lumpur sememangnya sangat mencabar.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, ramai warga kota yang terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan yang terhimpit, lebih-lebih lagi apabila kos hidup menjadi semakin meningkat.

Kehidupan lebih baik

“Justeru, pelaksanaan kedua-dua projek pangsapuri tersebut sangat bertepatan dengan keperluan masa kini bagi membantu golongan sasar menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Menurut beliau lagi, sistem tabungan yang diperkenalkan menerusi bayaran sewa bulanan itu juga mampu menyelesaikan masalah simpanan wang dalam kalangan golongan muda.

Katanya lagi, memandangkan projek tersebut dilihat mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan bandar besar, ia seharusnya diperluaskan ke bandar-bandar lain di seluruh negara termasuk di Johor Bahru, Johor dan George Town, Pulau Pinang.

“Saya percaya, projek perumahan seperti ini sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dalam membantu mereka mengukuhkan kedudukan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad pula berpendapat, pelaksanaan projek Pangsapuri Bandaraya dan Pangsapuri Studio Transit Belia itu mampu mengurangkan tekanan hidup yang dialami oleh penduduk di bandar-bandar besar.

Katanya, pada masa kini, kadar sewa sebuah unit rumah pangsa yang mempunyai keluasan kurang daripada 65 meter persegi mencecah sehingga RM1,000 sebulan, manakala sewaan bagi unit rumah pangsapuri, kondominium dan rumah teres lebih tinggi iaitu melebihi RM2,000 sebulan.

Kadar sewa yang tinggi itu katanya, menyebabkan ramai warga kota terpaksa membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka untuk membayar sewa bulanan rumah, manakala perbelanjaan untuk keperluan lain terpaksa dikurangkan.

Justeru jelas beliau, sekiranya penduduk di bandar mampu memperoleh kediaman yang selesa tanpa membebankan kewangan mereka, ia sudah pasti akan menyumbangkan kepada kualiti hidup yang lebih baik.

“Kualiti hidup yang baik pula akan membuatkan seseorang individu menjadi lebih produktif.

“Kitaran tersebut bukan sahaja akan menguntungkan sebelah pihak, tetapi pulangannya tetap akan dinikmati oleh negara kerana individu yang produktif mampu membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 47