RENCANA UTAMA

Mahu betulkan mitos kisah Israk dan Mikraj

Mahu betulkan mitos kisah Israk dan Mikraj

Ahmad ADNAN sentiasa merujuk kepada hadis sahih sebagai panduan sebelum menulis buku.


PERTEMUAN dengan penulis buku bertajuk Kisah Israk & Mikraj di pejabat urusan syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd., (Telaga Biru) di Taman Perindustrian Sri Damansara, Kuala Lumpur pada Khamis lalu berjalan lancar.

Seperti yang dijanjikan, kelibat Ahmad Adnan Fadzil atau lebih mesra dengan sapaan Ustaz Adnan muncul di pintu masuk butik Buku Telaga Biru yang terletak di tingkat bawah pejabat itu setelah beberapa ketika menunggu.

Ahmad Adnan, 44, merupakan lepasan ijazah Universiti Al-Azhar di Mesir dalam bidang Syariah dan Undang-Undang Bahagian Perundangan Islam.

Beliau juga pernah melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Insainah, Kedah di peringkat diploma dalam bidang Disarah ‘Ulya Pengajian Peringkat Tertinggi dalam pengkhususan Fiqh.

Kini, beliau bertugas sebagai Imam 1 di Masjid Nurus Salam, Taman Tambun Tulang, Perlis sejak dua tahun lalu.

Berpengalaman dalam bidang penulisan sejak dua dekad lalu, beliau telah menulis lebih 50 buah buku pelbagai tajuk termasuk tiga daripadanya diterbitkan di Mesir.

Menurut beliau, walaupun buku itu bersaiz kecil dan hanya mengandungi 84 muka surat, ia memberi makna yang besar. Ahmad Adnan memberitahu, dia menulis buku itu atas dasar untuk berkongsi kisah sebenar berkaitan Israk dan Mikraj iaitu peristiwa besar yang berlaku ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Masyarakat Islam khususnya orang Melayu di negara ini sudah tahu tentang peristiwa Israk dan Mikraj kerana mereka telah diberi pendedahan tentang kisah tersebut sejak kecil.

“Cuma, apa yang menyedihkan ialah ada antara fakta yang diterima itu kurang tepat dan ditokok tambah sehingga terpesong daripada cerita sebenar. Cerita itulah yang menjadi kepercayaan mereka sehingga ke hari ini tanpa ada usaha untuk mengkaji kesahihannya.

“Justeru, atas dasar tanggungjawab, saya mengambil inisiatif untuk menulis sebuah buku yang mengandungi ringkasan berkaitan peristiwa besar ini sebagai rujukan kepada semua umat Islam di negara ini dalam usaha kita memahami kisah sebenar yang berlaku dalam Israk dan Mikraj itu,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Rujukan


Setiap kali tiba 27 Rejab, kuliah dan ceramah agama yang diadakan di masjid dan surau pasti akan menyentuh peristiwa Israk dan Mikraj. – Gambar hiasan


Ahmad Adnan memberitahu, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk mengumpul bahan bacaan dengan menjadikan tafsir tulisan Ibnu Kathir selain kitab-kitab syarah hadis berkaitan Israk dan Mikraj untuk mendapatkan hujah yang tepat berkaitan peristiwa itu sebelum menulis buku berkenaan pada tahun 2010. Buku itu siap sepenuhnya setahun selepas itu.

Kesemua bahan rujukannya berdasarkan riwayat daripada Sahih Bukhari dan Muslim yang merupakan sandaran utama ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mengulas mengenai beberapa fakta yang dianggap tidak tepat yang kerap menjadi kepercayaan dan kefahaman kebanyakan orang Melayu sehingga kini, beliau memberitahu, antaranya ialah berkaitan buraq. Buraq merupakan kenderaan atau haiwan tunggangan Rasulullah yang digambarkan sebagai memiliki sayap.

Katanya, tiada hadis atau hujah tepat yang menggambarkan buraq memiliki sayap seperti yang difahami oleh masyarakat Melayu selama ini.

Mukjizat


Naskhah bertajuk Kisah Israk & Mikraj karangan Ahmad Adnan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.


Begitu juga dengan isu penerimaan tahiyat yang dianggap sebagai dialog antara Rasulullah dengan Allah, sedangkan tiada riwayat sahih yang membuktikannya.

Menurut beliau, walaupun peristiwa Israk dan Mijkaj yang berlaku pada 27 Rejab tahun ke-12 kenabian Baginda itu merupakan perkara ghaib, namun sebagai umat Islam, kita wajib mempercayainya. Ia adalah mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah kepada Baginda.

Justeru katanya, pada bab satu buku itu, dia telah memberi penekanan bahawa seluruh umat Islam wajib mempercayai peristiwa itu termasuk semua perkara yang terjadi sepanjang perjalanan Baginda dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin sebelum diangkat ke langit untuk bertemu Allah.

Selain mempercayai kebenaran peristiwa itu, umat Islam juga seharusnya menjadikan setiap perkara yang berlaku sepanjang tempoh Baginda diisrak dan dimikrajkan itu untuk diadaptasi dalam kehidupan seharian.

Misalnya, kejadian Rasulullah bertemu malaikat Jibrail sebelum memulakan Israk, Baginda membawa maksud bahawa sebagai seorang hamba di dunia yang sedang dalam perjalanan menuju Allah, kita harus ditemani oleh guru yang mursyid sebagai pembimbing. Mengupas mengenai perjalanan Baginda yang bermula dari Mekah ke Palestin yang merupakan perjalanan darat ke darat sebelum diangkat bertemu Allah (perjalanan darat ke langit) pula, beliau menjelaskan, ia boleh diterjemahkan sebagai dua peringkat kehidupan manusia.

Peringkat pertama ialah hubungan manusia dengan manusia dan peringkat kedua ialah hubungan manusia dengan Pencipta. Kedua-dua peringkat itu perlu dilakukan dengan niat yang ikhlas semata-mata mencari keredaan Allah.

“Berkaitan perintah melaksanakan solat, ia menjelaskan bahawa Allah sangat mengasihi kita dengan menganugerahkan satu ibadah yang merangkumi kesemua bentuk ibadah.

“Dengan mendirikan solat, kita sebenarnya telah melakukan banyak ibadah dalam satu perkara.

Anugerah


Masjid al-Aqsa di Palestin ini menjadi lokasi persinggahan Rasulullah sebelum Baginda dimikrajkan untuk bertemu Allah.


“Allah telah menggandakan setiap satu waktu solat 10 kali ganda, sama seperti 50 waktu solat yang diperintahkan pada awalnya,” jelas beliau. Perbuatan Rasulullah berulang-alik bertemu Allah memohon supaya dikurangkan jumlah waktu solat itu juga mempunyai mesej tersendiri. Kita seharusnya tidak jemu-jemu untuk terus meminta bantuan daripada Allah untuk memperoleh apa yang dihajati.

Bagaimanapun, dalam membincangkan tentang Israk dan Mikraj, kebanyakan masyarakat Islam di negara ini hanya menganggap perintah mengerjakan solat lima waktu itu merupakan perkara pokok peristiwa tersebut.

Sedangkan kata Ahmad Adnan, terdapat dua lagi perkara besar yang dianugerahkan oleh Allah kepada seluruh umat Nabi Muhammad yang kurang diberi penekanan iaitu ayat-ayat pada hujung surah al-Baqarah dan keampunan terhadap dosa-dosa besar selagi tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun.

“Dua anugerah Allah itu jarang dibincangkan sehinggakan perintah solat sahaja yang diingati sedangkan ketiga-tiganya merupakan anugerah terbesar yang diberikan kepada umat Baginda berbanding umat-umat terdahulu,” katanya.

Jika seluruh umat Islam dapat memahami setiap peringkat yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu, ia mampu menjadi panduan yang terbaik dalam mendidik kita untuk terus bersandar kepada Allah dan memohon bantuan-Nya dalam segala perkara.

Terdapat banyak ibrah yang dapat dicedok daripada peristiwa bersejarah itu dan boleh diadaptasi dalam kehidupan manusia.

Lebih-lebih lagi dalam usaha mendapat keredaan Allah dan bertemu dengan-Nya kelak.

Process time in ms: 46