HORIZON

Kejernihan air Rekahan Silfra umpama kristal

Kejernihan air Rekahan Silfra umpama kristal


Rekahan Silfra terletak di dalam kawasan Taman Negara Thingvellir.


kira-kira 70 peratus daripada muka bumi ini berada di bawah paras air. Justeru, saya mengambil keputusan untuk menyelam bagi melihat khazanah berharga di dalamnya.

Sejak memperoleh sijil skuba, saya menjadi semakin obses dengan aktiviti kembara ke seluruh dunia bagi mencari lokasi menyelam yang dikelaskan sebagai terbaik.

Salah satunya ialah Rekahan Silfra yang terletak di Iceland. Ia merupakan salah satu daripada lokasi selaman yang luar biasa.

Saya sangat kagum dengan pengalaman bersnokel di Rekahan Silfra buat kali pertama pada 2014. Begitupun, saya percaya bahawa saya perlu pergi lebih dalam terutama selepas menamatkan sijil lanjutan di bawah Persatuan Profesional Jurulatih Selam Skuba (PADI) di Playa Del Carmen, Mexico awal tahun baru-baru ini.

Rekahan Silfra terletak di antara Amerika Utara dengan benua Eurasian di Eropah. Ia juga merupakan satu-satunya tempat di dunia yang membolehkan anda berenang di antara dua benua.

Ia memiliki keadaan geografi yang luar biasa dan air yang sangat jernih umpama kristal. Kadar kejernihan air di Rekahan Silfra membolehkan jarak pandangan di dalam air sangat jelas iaitu sejauh kira-kira 100 meter.

Fenomena air yang terlalu jernih di situ adalah disebabkan tapisan oleh lava bawah tanah yang telah berlaku sejak 100 tahun lalu.

Malah, kejernihan air yang terdapat di situ mungkin lebih baik daripada air yang terdapat di dalam botol.

Kedalaman kawasan selaman di situ pula dianggarkan mencecah kira-kira 330 meter.

Bagaimanapun, aktiviti selaman di Rekahan Silfra tidak boleh dilakukan secara sendirian. Anda perlu menempah tiket dengan salah satu daripada syarikat yang menawarkan aktiviti selaman tersebut.

Sebaik tempahan dibuat, pengiring akan membawa anda ke lokasi tersebut.

Saya telah melakukan selaman di situ dengan syarikat Arctic Adventures dan saya sangat menyukainya. Mereka sememangnya sangat mahir tentang aktiviti ekopelancongan dan mesra alam termasuk bagi semua trip pengembaraan di seluruh Iceland.

Ilmu pengetahuan


Penulis (kiri) bersama seorang rakan memakai sut khas sebelum memulakan selaman.


Mereka juga memiliki ilmu pengetahuan yang sangat tinggi tentang sesebuah lokasi selain turut ramah terhadap pelancong.

Trip selaman di Rekahan Silfra mengambil masa antara empat hingga lima jam termasuk waktu bertolak ke lokasi tersebut dari tempat penginapan. Aktiviti menyelam di situ sendiri dianggarkan memakan masa sekitar dua jam.

Apabila anda menempah slot selaman di Rekahan Silfra dengan Arctic Adventure, termasuk juga beberapa syarikat lain, penyelam berkelayakan daripada PADI atau juruselam bertauliah akan mengiringi anda sepanjang aktiviti selaman.

Mereka juga akan membawa anda ke lokasi-lokasi unik dan menarik yang terdapat di sekitar kawasan selaman.

Syarikat itu juga akan menyediakan semua kelengkapan untuk menyelam termasuk sut kering khas yang diperbuat khusus untuk selaman di kawasan air glasier yang sejuk.

Sut khas tersebut akan membuatkan anda kekal kering dan selesa sepanjang menyelam.

Harus diingat bahawa anda harus memiliki sijil selaman skuba terlebih dahulu sebelum dibenarkan menyelami skuba di Rekahan Silfra.

Sekiranya ada baru sahaja memiliki sijil tersebut dan berasa tidak yakin untuk berada di dalam air lagi, ia bakal memberikan kesulitan.

Malah, anda juga akan berhadapan dengan ketidakselesaan dan mungkin ketakutan jika ia merupakan pengalaman pertama memakai sut kering untuk menyelam.

Selepas saya menyertai trip menyelam di Rekahan Silfra pada Oktober 2016, terdapat beberapa keperluan tambahan yang dikenakan untuk menyelam di situ yang terletak di dalam kawasan Taman Negara Thingvellir.

Kini, para penyelam juga dikehendaki memiliki sijil sut kering atau bukti bahawa pernah memakai sut berkenaan dalam 10 kali selaman sebelum ini menerusi buku log selaman.

Ini kerana sut kering tersebut akan membuatkan segalanya terasa berlainan. Kadar keterapungan apabila anda menyelam dengan sut kering di Rekahan Silfra adalah berbeza daripada menyelam di laut terbuka dengan memakai sut basah.

Takat beku


Penyelam berpeluang menyelam di antara dua dinding batu yang memisahkan benua Amerika Utara dan Eurasian, Eropah.


Secara jujurnya, ia kadang-kadang membuatkan anda sedikit keliru ketika menyelam dengan sut tersebut. Malah, penyelam yang berpengalaman juga turut merasai perkara yang sama untuk melaraskan kadar keterapungan ketika berada di Rekahan Silfra.

Namun, ada berita baik bahawa aktiviti selaman di situ tidaklah melibatkan selaman yang dalam. Jadi, hentian keselamatan tidak diperlukan.

Jika anda terapung sedikit di atas, jangan berasa takut kerana anda masih boleh menikmati keindahan Rekahan Silfra tidak kira di mana kedalaman anda berada.

Harus diingat bahawa air di Rekahan Silfra sememangnya terlalu sejuk. Ia menghampiri takat beku iaitu sekitar 2 hingga 4 darjah Celsius, bergantung kepada waktu tertentu.

Walaupun pemakaian sut kering sangat membantu, namun ia sangat tidak selesa. Namun, jangan biarkan masalah itu menyekat impian anda kerana peluang menyelam di Rekahan Silfra sangat mengujakan dan memberi pengalaman yang sangat berharga.

Rencana Utama!»

Jual lebih 300 pinggan mi sotong sehari

Trak makanan digunakan untuk mengangkut barangan dari rumah ke restoran dan menghantar tempahan makanan kepada pelanggan.

Stailo!»

Elemen fesyen dalam bidang hiasan dalaman

Delicado (tiga dari kanan) ketika melancarkan koleksi Baia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Varia!»

Peka perubahan sikap anak-anak elak dibuli

KAUNSELING perlu dilakukan untuk memulihkan semangat mangsa buli agar mereka lebih berkeyakinan. – Gambar hiasan

Process time in ms: 31