HORIZON

Aroma teh tanah tinggi disukai ramai

Aroma teh tanah tinggi disukai ramai

Cameron Valley Tea House bukan sahaja menawarkan minuman teh yang sedap malah, menyajikan panorama indah ladang teh.


MENEMPUH perjalanan sejauh 400 kilometer dari Johor Bahru, Johor ke Cameron Highlands, Pahang, dengan memandu kereta pastinya memenatkan.

Tambah meletihkan, apabila terpaksa memandu kenderaan di laluan berliku sejauh 60 kilometer dari Tapah, Perak ke kawasan tanah tinggi itu.

Sebaik tiba di Cameron Highlands, Muhammad Ariff Asyraf Yaccob mengambil keputusan untuk singgah di Cameron Valley Tea House, Tanah Rata.

Kedai teh tersebut adalah salah sebuah lokasi popular di Cameron Highlands untuk menikmati hidangan itu selain Boh Tea House.

Ia dimiliki oleh Kumpulan Bharat.

Perasaan lelah yang membelenggu pemuda berusia 28 tahun itu hilang selepas dia menghidu aroma dan menikmati minuman teh di situ.

Mata Muhammad Ariff bertambah segar selepas melihat keindahan pemandangan ladang teh di tepi kedai itu sambil menghirup udara nyaman tanah tinggi.

“Ini kali ketiga saya ke sini untuk bercuti bersama keluarga. Dalam perjalanan lagi, saya sudah berhajat untuk datang ke di sini.

“Kedai teh ini adalah lokasi wajib kami sekeluarga setiap kali sampai ke Cameron Highlands untuk menikmati minuman teh panas,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu memberitahu, nikmat menghirup minuman teh di kedai tersebut berbeza sama sekali di tempat-tempat lain.

Jelas Muhammad Ariff, suasana kedai tersebut yang nyaman dan sejuk menambahkan lagi keenakan rasa minuman teh.

“Pada saya, perkara paling menarik di sini adalah menikmati minuman teh sambil melihat pemandangan hijau ladang teh yang luas.

“Minuman teh yang ditawarkan juga berlainan dan unik. Ia hanya boleh diperoleh di sini,” jelasnya yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

Menurut Muhammad Ariff yang menyukai teh berperisa strawberi memberitahu, gabungan teh dan strawberi memberikan rasa yang enak serta haruman memikat.

Teh strawberi


Teh masala dan scones merupakan kombinasi pilihan para pelanggan di Cameron Valley Tea House.


“Selalunya, saya membeli satu teko minuman teh strawberi. Saya suka teh ini kerana rasanya sedap. Lagipun kita tahu Cameron Highlands terkenal dengan teh dan strawberi,” katanya.

Kumpulan Bharat adalah sebuah perniagaan global yang berakar umbi di Malaysia. Ia merupakan pengeluar teh berjenama Cameron Valley.

Mula ditubuhkan pada tahun 1933 di Cameron Hihglands oleh wakil empayar British, Shuparshad Bansal Agarwal, syarikat terbabit terus bertahan sehingga hari ini.

Ketua Divisyen dan Kilang Kumpulan Bharat, Francis Xavier berkata, Cameron Valley Tea House yang pertama dibuka pada tahun 2002 di Tanah Rata.

Katanya, selepas kejayaan kedai pertama itu, dua buah kedai teh lagi dibuka di Cameron Highlands iaitu Tanah Rata dan Brinchang.

“Kedai ini diwujudkan untuk memudahkan para penggemar teh jenama Cameron Valley menikmati minuman itu secara terus.

“Selepas 15 tahun beroperasi, kedai teh tersebut telah berjaya menggembirakan lebih 10 juta pelanggan,” katanya.

Xavier memaklumkan, kedai tersebut menawarkan lebih 15 jenis minuman teh kepada para pelanggan setiap hari.

Ujarnya, kesemua pilihan minuman teh tersebut boleh diperoleh dengan harga antara RM4 hingga RM8 secawan.

“Kami menawarkan pelbagai minuman teh seperti teh tarik, teh hijau, teh lemon, teh halia, teh madu, teh coklat dan teh tarik cham.

“Bagi pelanggan yang ingin merasai rasa teh yang lain daripada lain, mereka boleh mencuba teh masala, teh pelaga dan teh berperisa seperti strawberi, oren atau anggur.

Tradisional


PELANGGAN juga boleh membeli pelbagai produk teh untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.


“Menariknya, kesemua pilihan teh yang itu dihasilkan secara tradisional di kilang kami di sini,” jelasnya.

Selain teh, kedai teh itu turut menawarkan aneka pilihan kek, scone, sosej gulung, mufin, donat dan karipap. Hidangan tersebut boleh dinikmati dengan harga serendah RM5.

Xavier menambah, kedudukan kedai teh tersebut yang strategik merupakan salah satu faktor penarik kepada kedatangan pengunjung.

Katanya, kesemua Cameron Valley Tea House terletak di kawasan tebing bukit yang menawarkan panorama hijau kepada pelanggan.

“Pelanggan bukan sahaja boleh menikmati minuman teh, mereka juga boleh melihat pemandangan indah ladang teh sambil menghirup udara nyaman. Pelanggan juga boleh turun ke ladang untuk bergambar.

“Selain itu, kedudukan kedai kami di tepi jalan utama juga memudahkan para pelanggan untuk singgah ke sini,” terangnya.

Xavier memberitahu, setiap hari dianggarkan lebih 1,000 orang pengunjung singgah di semua kedainya.

Tambahnya, jumlah tersebut akan meningkat pada hujung minggu dan cuti sekolah. Waktu terbaik untuk menikmati teh di situ adalah pada waktu pagi dan petang.

“Majoriti pelanggan kami terdiri daripada pelawat tempatan. Kami juga menerima kunjungan pelancong dari luar negara seperti Eropah, Jepun dan China.

“Kebanyakan pelanggan datang secara berkumpulan sama ada bersama ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya sambil memaklumkan Cameron Valley Tea House terletak pada kedudukan 1,250 meter dari aras laut.

Salah seorang pengunjung dan penggemar teh, Shahrul Ambri Samsuddin, 30, memberitahu, dia memilih untuk menikmati minuman teh masala kerana rasanya yang eksotik.

Ujar lelaki berasal dari Temerloh itu, campuran teh dan bahan-bahan seperti rempah-ratus India dan susu memberi kelainan kepada rasa minuman.

“Teh masala ini merupakan minuman kegemaran saya sejak pertama kali saya kenal kedai ini. Teh ini dapat memanaskan badan kerana ada campuran rempah-ratus.

“Rasa teh masala di sini sangat sedap kerana disediakan dengan resipi terbaik,” katanya yang sering singgah di situ sewaktu pulang ke Kedah.

Terang anggota keselamatan itu, selain minuman teh, dia juga tidak pernah ketinggalan menikmati hidangan scone bersama krim, jem strawberi dan mentega.

Mengulas mengenai harga, Shahrul Ambri memberitahu, harga teh yang ditawarkan di kedai tersebut lebih mahal berbanding minuman teh di kedai biasa, namun ia sangat berbaloi.

Process time in ms: 62