DUNIA

Parlimen Britain lulus usul pilihan raya awal

Parlimen Britain lulus usul pilihan raya awal


AFP - MAY semasa sesi menjawab soalan di Parlimen, London semalam.


LONDON – Parlimen Britain semalam meluluskan rancangan Perdana Menteri, Theresa May untuk mengadakan pilihan raya umum mengejut pada 8 Jun depan.

Ahli Dewan rakyat mengundi dengan 522 menyokong dan 13 menentang usul tersebut sekali gus melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan.

Terdahulu, May meminta Parlimen menyokong keputusannya untuk mengadakan pilihan raya lebih awal berbanding sepatutnya sekitar tahun 2020.

May berkata, keputusan pilihan raya berkenaan akan membantu beliau menyatupadukan ahli Parlimen bagi melancarkan urusan Brexit dan menghalang ketidakstabilan.

Di bawah undang-undang pilihan raya, May memerlukan kemenangan majoriti dua pertiga dalam sesi pe­ngundian yang diadakan di Parlimen lewat semalam sebelum beliau secara rasmi boleh mengadakan pilihan raya awal.

“Saya percaya pada waktu penting ini, perlu ada penyatuan di Westminster (Parlimen) dan bukannya perpecahan.

“Justeru, adalah menjadi perkara yang wajar dan bertanggungjawab untuk kita semua mengundi hari ini (semalam) bagi mengadakan pilihan raya umum,” kata May.

Beliau mengumumkan pilihan raya mengejut itu untuk memperkukuhkan mandat yang diterima ketika memulakan rundingan Brexit.

May mengambil alih jawatan Perdana Menteri tanpa melalui pilihan raya selepas rakyat Britain memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah dalam satu referendum pada Jun 2016.

Beliau membuat pengumuman mengejut untuk mengadakan pilihan raya awal kelmarin.

Pembangkang utama, Parti Buruh menyambut baik pengumuman May.

Dalam pada itu, tinjauan pendapat membayangkan Parti Konservatif yang diterajui oleh May akan memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada 8 Jun depan. – Reuters

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 31