VARIA

Merencana kelestarian cita rasa pasaran digital

Merencana kelestarian cita rasa pasaran digital

SYARIKAT yang beroperasi dalam satu pasaran berteraskan ekonomi digital perlu sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi baharu. – Gambar hiasan


PERKATAAN kelestarian sering kali kedengaran dan digunakan pada masa ini. Namun, sejauh manakah penghayatan kita terhadap konsep kelestarian itu? Apakah yang dimaksudkan dengan kelestarian?

Bagaimanakah kelestarian dapat membantu mengimbangi ekosistem alam sekitar dan memastikan kesejahteraan hidup manusia?

Berdasarkan prinsip yang mudah, kelestarian ialah semua keperluan untuk hidup dan kesejahteraan hidup bergantung sama ada secara langsung ataupun tidak langsung terhadap alam semula jadi.

Kelestarian mencipta dan mengekalkan syarat-syarat ke atas manusia serta alam sekitar bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan produktif.

Ia membenarkan dan memenuhi keperluan sosial serta ekonomi untuk generasi akan datang.

Kelestarian penting untuk menjamin kualiti air, bahan-bahan dan sumber lain bagi kesihatan manusia serta alam sekitar pada masa hadapan.

Dalam erti kata lain, kelestarian juga boleh ditakrifkan sebagai kebolehan atau keupayaan sesuatu produk untuk dikekalkan mahupun pengekalan sendiri.

Ia perlu mengambil kira apa yang diperlukan pasaran untuk menjalani kehidupan pada masa ini tanpa menjejaskan potensi bakal pengguna pada masa hadapan, sekali gus memenuhi dan menerokai keperluan sejagat.

Kefahaman ini sangat penting bagi sesebuah organisasi yang ingin mengeluarkan produk yang melangkaui zaman dan boleh di bawa ke peringkat antarabangsa serta global.

Kepentingan ini juga adalah bagi memudahkan penghayatan ke atas ‘Konsep Kelestarian’ yang selalu disebut-sebut pada masa ini.

Generasi hari ini sudah sedar dan faham tentang kepentingan konsep tersebut serta kebaikan untuk barangan tempatan pada masa hadapan.

Komponen utama


KELESTARIAN penting untuk menjamin kualiti air, bahan-bahan dan sumber lain bagi kesihatan manusia serta alam sekitar pada masa hadapan. – Gambar hiasan


Empat komponen utama dikenal pasti sebagai elemen terpenting untuk pembangunan dan kelestarian sesebuah ekosistem syarikat dalam ekonomi digital meliputi model perniagaan yang baik.

Dengan mewujudkan model perniagaan yang berimpak tinggi, sesebuah organisasi atau firma itu dapat memberikan nilai perkhidmatan atau barangan terbaik kepada masyarakat, sekali gus terarah kepada membentuk sebuah syarikat lebih lestari.

Apabila keadaan ini tercapai, maka produk, perkhidmatan, peluang dan apa juga yang ditawarkan oleh sesebuah organisasi atau firma dalam sistem ekonomi digital akan tertumpu kepada sesuatu yang diperlukan orang ramai atau pasaran dan memenuhi kehendak pelanggan.

Bagi syarikat dan firma yang berjaya menawarkan produk atau perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat untuk jangka masa yang panjang, secara tidak langsung ia mempunyai prestasi yang cemerlang di samping akan terus wujud dan berkembang.

Komponen kedua dalam mengekalkan kelestarian cita rasa pasaran adalah menerusi kewujudan satu perancangan penjenamaan syarikat yang baik bagi mendapatkan kepercayaan orang ramai.

Ini kerana jenama merupakan ‘anggapan’ atau ‘perasaan’ pasaran terhadap produk, perkhidmatan, pekerja, pemimpin, aset, aktiviti dan apa juga yang berkaitan dengan prestasi sesebuah syarikat tersebut.

Selain itu, penglibatan langsung sesebuah syarikat dalam pembangunan masyarakat menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) juga merupakan satu lagi langkah penting sesebuah syarikat atau firma itu.

Ia bertujuan untuk mengekalkan kelestarian cita rasa pasaran, selain dapat memastikan komuniti dan masyarakat terus menyokong sesebuah syarikat atau firma itu.

Keinginan untuk terus maju dan berinovasi juga merupakan satu lagi faktor yang tidak kurang pentingnya dalam merencana kelestarian cita rasa sesuatu pasaran.

Syarikat atau firma yang beroperasi dalam satu pasaran yang berteraskan ekonomi digital perlu sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi baharu dan cuba berinovasi agar dapat kekal relevan, terus berada di hati pengguna serta meneruskan persaingan pada masa akan datang.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai pendekatan dan kaedah yang berlainan bagi sesebuah syarikat untuk mengekalkan kelestarian cita rasa sesuatu pasaran dalam perlaksanaan ekonomi digital ini untuk mencapai masa depan yang positif dan lestari.

Kempen

Kemampuan sesebuah syarikat atau firma tempatan merencana satu pasaran yang lebih lestari untuk beroperasi bergantung pada cara mereka mengekalkan kemakmuran ekonomi dan alam sekitar, menggalakkan ekuiti sosial dan memupuk penyertaan masyarakat.

Contohnya seperti perlaksanaan kempen tanpa plastik yang hangat dibincangkan sejak akhir-akhir ini.

Komuniti atau ekosistem yang melibatkan rakyat dan organisasi atau firma perlu saling memahami antara satu sama lain untuk membangunkan prinsip-prinsip pasaran yang lestari.

Ia bertujuan mencapai visi yang bersifat kolektif untuk masa depan yang gemilang melalui pendekatan yang integratif meliputi matlamat alam sekitar, ekonomi dan sosial secara umumnya memungkinkan keberkesanan yang lebih tinggi dalam mengekalkan kelestarian cita rasa pasaran.

Process time in ms: 47