RENCANA UTAMA

Dilema pemandu beca bermotor wanita Mumbai

Dilema pemandu beca bermotor wanita Mumbai


KERJAYA sebagai pemandu beca bermotor semakin popular dalam kalangan wanita di India.


CHAYA MOHITE menarik pendikit beca bermotor yang dipandunya perlahan-lahan sebelum kenderaan tiga roda itu meluncur ke hadapan.

Riak wajah wanita berusia 45 tahun itu nampak tenang tatkala kenderaan tersebut membelah aliran trafik yang sesak di Mumbai, India.

Mohite merupakan antara 19 wanita di negara itu yang memilih untuk menjadi pemandu beca bermotor di bawah skim yang disediakan kerajaan bagi memperkasakan golongan wanita.

“Kerja ini lebih mudah daripada kerja-kerja yang dilakukan oleh suri rumah. Saya boleh mencari wang demi menjamin masa depan keluarga,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu menghabiskan masa selama dua bulan untuk memandu beca bermotor di pusat latihan di pinggir bandar Mumbai dan sangat teruja dengan kemahiran baharu yang menawarkan prospek kewangan tersebut.

“Saya tidak pernah memandu kenderaan sebelum ini walaupun sebuah basikal tetapi hari ini saya mampu membawa beca bermotor.

“Saya boleh berdikari mencari pendapatan dan gembira dengan perubahan hidup yang dilalui,” katanya yang mampu memperoleh 1,000 rupee (RM66) sehari.

Mohite mendapat faedah daripada skim yang diperkenalkan oleh kerajaan Maharashtra yang menawarkan permit beca bermotor sebanyak lima peratus kepada golongan wanita di Mumbai yang merupakan ibu negeri tersebut.

Lesen

Skim yang diumumkan pada awal tahun 2016 itu mendedahkan, sebanyak 465 lesen akan diperuntukkan kepada golongan wanita di Mumbai dan daerah jirannya, Thane.

Berbeza dengan skim di New Delhi dan Ranchi yang mengkhaskan perkhidmatan pemandu beca bermotor wanita khusus bagi penumpang wanita atas faktor keselamatan, pemandu beca bermotor wanita di Maharashtra bebas mengambil penumpang kedua-dua jantina.


Golongan wanita di India kini boleh berdikari dan menjana pendapatan sebagai pemandu beca bermotor.


Perkhidmatan itu dimulakan di Thane tahun lalu tetapi Mohite dan rakan-rakan sekerjanya merupakan kelompok pemandu beca bermotor wanita pertama yang berpeluang berulang-alik di kota metropolitan di India itu.

“Saya mengajar mereka daripada awal hingga akhir mengenai teknik memandu beca bermotor. Mereka kini semakin mahir dan lulus ujian rasmi yang disediakan RTO (Regional Transport Office),” kata salah seorang guru memandu beca bermotor, Sudhir Dhoipode.

Menurut Dhoipode, dia sudah melatih seramai 40 pemandu beca bermotor wanita manakala seramai 500 lagi menunjukkan minat untuk belajar di negara yang terkenal dengan masyarakat agak konservatif itu.

“Orang ramai mengeji kami kerana memilih untuk bekerja sebagai pemandu beca bermotor. Kami berharap ia dapat memberi inspirasi kepada wanita lain di negara ini untuk tampil ke hadapan dan mengambil peluang serta mendapat insentif yang ditawarkan,” kata seorang lagi pemandu beca bermotor wanita, Anita Kardak.

Permit beca bermotor sukar diperoleh di Mumbai dan ia merupakan satu perniagaan menguntungkan terutamanya dalam kalangan pemilik yang lazimnya menyewa permit atau menyerahkan ia kepada orang lain sebaik sahaja syif mereka berakhir.

Warna berbeza

Sumber rasmi kementerian pengangkutan mendedahkan sebelum ini, bahawa kerajaan bercadang untuk menyediakan beca bermotor yang mempunyai warna berbeza bagi mengelak penumpang lelaki daripada menaikinya.

Ia disebabkan wujud kebimbangan dan risiko dalam kalangan pemandu berkenaan kerana persekitaran kerja yang terbuka, namun Mohite pula tidak beranggapan sedemikian.

“Saya tidak rasa tidak timbul isu keselamatan kerana kami mampu menjaga diri sendiri.

“Memandu beca bermotor merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan dan saya bersedia untuk di mana-mana lokasi di Mumbai,” katanya.

– AFP

Process time in ms: 31