INFINITI

Merungkai misteri mamalia terbesar di Antartika

Merungkai misteri mamalia terbesar di Antartika


KAMERA yang dipasang pada badan ikan paus Humpback membolehkan pengkaji mengenali kehidupannya dengan lebih dekat.


MEMILIKI landskap yang tandus dan suhu sejuk sehingga mencecah -89 darjah Celsius, Antartika yang merupakan benua di Kutub Selatan terus kekal dengan misterinya yang tersendiri.

Biarpun mempunyai saiz menyamai negara Australia, namun ia mempunyai populasi sekitar 1,000 hingga 5,000 orang terdiri dalam kalangan saintis dari seluruh dunia yang melakukan kajian untuk tempoh tertentu di situ.

Biarpun begitu, Antartika kaya dengan pelbagai organisma seperti fungi, alga, bakteria dan protista selain haiwan seperti penguin, anjing laut dan ikan paus.

Sebagai permulaan, pengkaji kini giat melakukan kajian terhadap ikan paus dengan memasang kamera pada haiwan tersebut bertujuan mengetahui kehidupan sosial dan bagaimana ia menjalani kehidupan dalam suasana ekstrem.

Selain untuk memahami lebih lanjut kehidupan di dasar laut ikan paus daripada spesies Humpback itu, kajian itu juga penting untuk mengkaji sejauh mana impak pemanasan global terhadap air laut dan kehidupan di sekelilingnya.

“Apabila kita mengetahui di mana ikan paus makan, pergi dan berehat, kami dapat menggunakan data tersebut kepada pihak pentadbir dan penggubal polisi untuk melindungi ikan paus dan ekosistem,” kata seorang saintis, Ari Friedlaender.

Dia yang mengetuai kajian yang dilakukan Pasukan Antartika Australia itu berkata, maklumat tersebut dapat membantu mengenal pasti jumlah kril, makanan utama ikan paus.

Friedlaender memberitahu, ia juga membolehkan pengkaji mengetahui sejauh mana pemanasan global menjejaskan jumlah kril, penangkapan ikan komersial atau keasidan air laut mampu menjejaskan populasi haiwan berkenaan pada masa hadapan.

“Menerusi kamera yang dipasang, kami berpeluang mengetahui apa yang dilakukan ikan paus ketika mencari makanan sama ada ketika menyelam di dasar laut atau pada permulaan laut.

Isyarat


LANDSKAP Antartika yang penuh misteri menyebabkan ia sering menjadi tumpuan saintis dari seluruh dunia.


“Hasil daripada data-data berkenaan, kami berupaya menunjukkan bagaimana ikan paus menghabiskan sebahagian besar masanya dengan bersosial atau berehat dan kemudian mencari makanan dalam jumlah yang banyak pada waktu petang hingga malam,”ujarnya.

Kamera tahan lasak itu dilekatkan pada bahagian badan ikan paus sekitar 24 hingga 48 jam sebelum ia tercabut dan terapung pada permukaan air.

Alat pengesan yang diletakkan akan memberi isyarat kepada pasukan pengkaji untuk mengesan kedudukannya sebelum proses pencarian dilakukan bagi mendapatkan semua video yang dirakam.

Pasukan Antartika Australia bagaimanapun tidak bersendirian kerana turut dibantu Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Australia yang membiayai kos kamera yang digunakan dalam kajian berkenaan.

Pengurus Sains Lautan WWF Australia, Chris Johnson berkata, usaha yang dilakukan itu membolehkan pengkaji mengenal pasti habitat haiwan berkenaan di samping melindunginya daripada sebarang ancaman yang boleh menjejaskan populasinya.

“Impak aktiviti manusia seperti pemanasan global dan penangkapan kril secara besar-besaran perlu dipantau bagi memastikan rantaian makanan ikan paus tidak terjejas,” katanya.

Di sebalik semua usaha tersebut, Antartika merupakan benua liar paling akhir dan merupakan antara ekosistem terakhir yang mungkin tinggal dunia.

Disebabkan itu, kajian demi kajian terus-menerus dilakukan oleh saintis dari seluruh dunia bagi mengesan impak kehidupan di benua itu akibat pemanasan global

Ikan paus Minke

Seorang penyelidik, Elanor Bell berkata, para penyelidik digesa melakukan kajian sama terhadap ikan paus Minke yang bersaiz sederhana dan mudah didapati di Antartika.

Ia boleh dilakukan dengan memasang penanda elektronik jangka panjang bertujuan mengesan tabiat pemakanan haiwan berkenaan.

“Pergerakan ikan paus Minke lebih laju dan sukar difahami berbanding ikan paus Humpback dan lazim mencari makanan di kawasan berais.

“Ia sekali gus menyukarkan pencariannya apatah lagi untuk mendekatinya bagi memasang alat pengesan. Ia merupakan sesuatu yang menarik sekiranya dapat memasang penanda pada badannya dan mengekori perjalanan yang dilalui haiwan ini.

“Alat pengesan itu akan memancarkan lokasi dan data kedalaman selaman yang dipancar terus ke satelit dan boleh bertahan sehingga dua bulan,” katanya.

Kajian yang disokong Suruhanjaya Penangkapan Ikan Paus Antarabangsa itu turut menyatakan minat untuk mengetahui data terkini mengenai ikan paus, populasinya serta peranannya terhadap ekosistem

di Antartika.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 46