RENCANA UTAMA

Sarkas bantu kanak-kanak pelarian Syria

Sarkas bantu kanak-kanak pelarian Syria


Kawasan bumbung sebuah rumah di Mardin dijadikan lokasi kanak-kanak pelarian Syria berlatih sarkas.


Hilai tawa sekumpulan kanak-kanak memenuhi ruang kecil di bahagian bumbung sebuah rumah di Mardin, Turki.

Sebahagian daripada mereka bertenggek di tiang manakala yang lainnya memutar kepingan plastik umpama pinggan dengan cukup seronok.

Ia bukanlah persembahan sarkas seperti yang kerap berlangsung di bandar-bandar besar, tetapi hanyalah persembahan kecil yang diadakan di sebuah rumah di tenggara Turki.

Rumah tersebut menjadi tempat kanak-kanak pelarian Syria mempelajari helah sarkas menerusi sebuah program inovatif bagi membantu mereka serasi dengan suasana negara baharu.

Persatuan Her Yerde Sanat atau dalam bahasa Turki bermaksud seni di mana-mana sahaja itu sebenarnya sedang melayani kira-kira 120 kanak-kanak dan golongan belia yang berusia antara tiga hingga 20 tahun.

Rumah yang terletak di wilayah Mardin, tidak jauh dari sempadan di utara Syria itu menjadi rumah kedua bagi kira-kira 80 golongan belia Syria dan selain 40 lagi belia warga Turki.

Di tingkat bawah, kira-kira 15 kanak-kanak dilihat sedang berlatih tarian menggunakan riben manakala satu kumpulan lain sedang bermain alatan genderang dengan pengamatan yang tinggi.

Di tingkat atas, seorang warga Turki sedang mengajar kanak-kanak Syria dalam beberapa perkara supaya mereka dapat dimasukkan ke sekolah di situ.

Kemahiran

Bagi yang tidak berpeluang untuk ke sekolah, mereka akan menghadiri sesi mempelajari sarkas setiap hari. Namun, aktiviti itu turut disertai kanak-kanak lain pada hujung minggu.

Hasil daripada pembelajaran di situ, ada antara mereka yang sudah memiliki kemahiran yang baik dan mampu membuat persembahan di hadapan orang awam atau festival yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Seorang remaja, Eyad Haj Mahmoud, 15, yang berasal dari Aleppo di utara Syria percaya kelas tersebut banyak membantu dirinya.

“Saya belajar banyak perkara di sini dan ia telah menjadikan saya individu yang lebih baik.

“Sebenarnya, apa yang dilakukan di sini telah memberi peluang kepada kami untuk melupakan masa lampau buat seketika,” katanya dengan memberitahu, kelas sarkas tersebut dikendalikan oleh tenaga pengajar yang profesional dan amatur di dalam bidang tersebut.

Malah kata remaja itu, mereka tidak pernah bertanya kesemua kanak-kanak di situ berasal dari mana.

Seorang daripada pengasas persatuan tersebut yang telah ditubuhkan sejak tahun 2012, Pinar Demiral memberitahu, mereka telah menggunakan sarkas sebagai alat untuk memecahkan benteng pemisah yang disebabkan oleh berlainan bahasa pertuturan.

Di dalam bengkel yang berlangsung sepanjang hari itu, para jurulatih akan menggunakan pelbagai bahasa dari satu bahasa ke bahasa lain dengan dibantu oleh pelajar yang turut menyertai kelas muzik dan hip-hop.


Melalui aktiviti sarkas, kanak-kanak pelarian Syria mampu melupakan seketika kejadian perang yang berlaku di negara mereka.


Golongan dewasa kebanyakannya merupakan sukarelawan dari luar Turki yang datang ke situ bagi tempoh sekitar tiga bulan dengan sebahagian daripada mereka bercakap dalam bahasa Turki dan Arab selain Inggeris.

Konflik yang berlaku di Syria telah membunuh lebih 310,000 orang selain lima juta rakyat negara itu berhijrah ke negara lain sejak enam tahun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Turki bulan lalu, negara itu kini menjadi rumah kedua kepada kira-kira 2.9 juta pelarian Syria.

Kira-kira 300,000 daripada mereka tinggal di kem selain kawasan penempatan penduduk tempatan.

Disebabkan itulah ia diwujudkan bagi membantu kumpulan pelarian tersebut agar berpeluang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik melalui aktiviti sarkas.

Ia juga sebagai salah satu projek seni yang ditaja oleh pertubuhan bukan kerajaan International Medical Corps bersama-sama dengan kerajaan Switzerland.

Impian

Penyelaras aktiviti, Muhammed Kheir Kassim datang ke Turki dari Damascus sejak empat tahun lalu dan memberitahu, dia mengetahui mengenai kewujudan persatuan itu melalui anaknya.

Dia yang pernah menjadi guru besar di sebuah sekolah di Syria kemudiannya mengambil langkah untuk menyertai persatuan itu.

“Saya menghantar anak saya ke persatuan itu untuk menghalangnya daripada berpeleseran di jalanan. Sebagai pelarian, dia berisiko tinggi untuk dianggap sebagai masalah oleh penduduk setempat,” katanya.

Dia yang dianggap sebagai bapa mempunyai hubungan yang istimewa dengan kanak-kanak di situ.

“Apabila kami marah, kami akan bertelagah dan berdamai. Akhirnya, kami sedar bahawa kami mempunyai perasaan dan impian yang sama,” tambahnya.

Golongan remaja yang telah dilatih akan menjadi mentor kepada kanak-kanak yang lebih muda apabila persatuan itu kekurangan tenaga sukarelawan atau semasa memerlukan bantuan tambahan.

“Mereka banyak belajar perkara baharu dan saling membantu antara satu sama lain,” kata Demiral yang menyasarkan untuk memberi ruang kepada kanak-kanak pelarian di situ untuk mencari keselesaan hidup secara berdikari.

Aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan itu turut memberi faedah kepada golongan kanak-kanak Turki.

Seorang daripada mereka, Nursena yang merupakan kanak-kanak perempuan berasal dari Mardin turut mengambil bahagian di dalam kelas sarkas tersebut sejak setahun lalu.

Ibunya, Tuba Akburak memberitahu, Nursena mula memperoleh keyakinan diri selepas menghadiri kelas tersebut, malah dia sudah boleh bergaul dengan kanak-kanak lain dengan baik.

Begitupun, berurusan dengan kanak-kanak yang pernah menyaksikan peperangan, mengalami trauma dan meninggalkan kampung halaman bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan.

“Kadang-kadang berlaku juga konflik antara kanak-kanak Turki dan Syria sehingga membawa kepada pergaduhan.

“Bagaimanapun, dari hari ke hari apabila mereka mula bergaul dan menyertai persatuan, kami akan memberitahu mereka bahawa satu-satunya peraturan yang ada di situ ialah ‘kita tidak boleh bergaduh’,” kata Demiral. – AFP

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47