RENCANA UTAMA

Ketagihan telefon pintar jejas keupayaan mental

Ketagihan telefon pintar jejas keupayaan mental


KETAGIHAN telefon pintar menyebabkan individu sukar bergaul dengan orang sekeliling. – Gambar hiasan


TELEFON pintar merupakan salah satu bukti kecanggihan teknologi masa kini yang menyediakan pelbagai aplikasi dan digunakan secara meluas dalam kehidupan manusia.

Bagaikan sahabat baik yang sentiasa berdampingan, begitu juga akrabnya telefon dengan manusia dan tanpanya kehidupan yang dilalui terasa sukar.

Sehubungan itu, tidak hairanlah akhbar Kosmo! pada 10 April lalu melaporkan ketagihan rakyat Malaysia terhadap penggunaan telefon bimbit semakin membimbangkan apabila kira-kira 60 peratus golongan muda mengalami simptom dipanggil nomofobia.

Nomofobia ialah sindrom seseorang itu merasakan dirinya tidak boleh hidup atau fobia tanpa telefon.

Kaji selidik dijalankan oleh Portal Gerakan Belia Teknologi Informasi melalui 1,200 responden berusia 15 hingga 30 tahun di internet juga mendapati, 70 peratus golongan muda akan memeriksa telefon pintar sekiranya terjaga daripada tidur pada waktu malam.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib, telefon pada masa kini bukan hanya berfungsi sebagai alat komunikasi tetapi mempunyai peranan yang meluas.

“Kini, telefon turut berperanan sebagai alat hiburan, berkongsi info berita, alat mengajar dan urus niaga online.

Kesan buruk

“Pendek kata, dunia di hujung jari ini menyebabkan ketagihan telefon pintar tidak dapat dielakkan apatah lagi ia sentiasa diperbaharui dengan fungsi dan aplikasi yang dipertingkatkan bagi memudahkan urusan seharian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Walaupun kewujudan telefon pintar banyak memudahkan urusan tetapi jika ia dibiarkan tanpa sebarang kawalan dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Justeru, Kartini berpesan agar ibu bapa memainkan peranan dalam membentuk persekitaran yang sihat kepada anak-anak dengan membawa mereka beriadah atau melakukan aktiviti luar serta mengehadkan penggunaan telefon pintar.


AKTIVITI riadah dapat menyihatkan badan dan mengurangkan ketagihan kepada gajet. – Gambar hiasan


Ujarnya, pemberian alat itu sebagai hadiah kepada kanak-kanak juga perlu dipertimbangkan bagi mengekang ketagihan ini agar tidak berleluasa.

Selain itu, nasihat mengenai kesan kesihatan penggunaan telefon pintar secara berlebihan juga perlu diuar-uarkan seperti bahaya gelombang magnetik yang menjejaskan kesihatan serta mencetus kejadian berbahaya jika leka seperti kebakaran ketika mengecas berlebihan.

Tambah Kartini, ketagihan ini akan mengurangkan interaksi sosial sesama manusia dan mereka akan menjadi individualistik yang hanya memikirkan jaringan maya.

“Mereka juga tidak dapat mempraktikkan adab yang baik antara golongan muda dan tua ekoran kurang berkomunikasi dan bergaul dengan orang sekeliling.

“Di Jepun, penggunaan telefon pintar hanya dibenarkan dalam ruang privasi. Alat itu tidak dibenarkan ketika bermesyuarat, berada dalam kereta api, ketika makan atau pada majlis keramaian.

“Maka, adab yang baik ini perlulah dipraktikkan di Malaysia bersesuaian dengan dasar pandang ke timur yang diamalkan oleh negara ini,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia Sarawak, Prof. Madya Dr. Zaiton Hassan berkata, ketagihan telefon pintar boleh mengganggu mental seseorang.

“Mereka akan merasa resah serta kerisauan melampau jika berjauhan dengan alat itu sehinggakan ia sentiasa dibawa bersama ke mana sahaja dan sukar dipisahkan.

“Ketagihan ini menyebabkan individu tersebut hilang fokus yang akhirnya mengganggu tugasan seharian serta menjalani hidup yang kurang berkualiti,” tuturnya.

Mengulas lanjut kesan ketagihan itu, Zaiton berkata, mereka juga lebih suka menjadi individu yang mempunyai pelbagai identiti dan berpura-pura tetapi tidak berani berhadapan dengan khalayak umum.

Jika keadaan ini berada pada tahap serius, Zaiton menyarankan agar mereka mendapatkan bantuan kaunseling untuk merawat ketagihan tersebut.

Process time in ms: 46