RENCANA UTAMA

Elak butang memanggil daripada berbunyi

Elak butang memanggil daripada berbunyi



JAM tangannya sudah menginjak ke pukul 9.15 malam. Dua jam lagi, dia akan terbang ke London, England menaiki penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH002.

Tidak seperti kapal terbang yang pernah dinaikinya sebelum ini, perjalanan kali ini pasti memberikan keterujaan yang memuncak kerana Mohd. Sofian Hilmi, 31, akan menaiki penerbangan kelas pertama MAB.

Walaupun sudah beberapa kali menjadi penumpang kelas pertama, adrenalin Mohd. Sofian tetap memuncak kerana baginya, bukan mudah untuk mengumpul wang dan terbang menggunakan perkhidmatan itu.

Sementara menunggu nama dipanggil untuk menaiki pesawat, dia berehat sambil menikmati suasana persekitaran Golden Lounge yang terletak di terminal satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.

Dia ingin memastikan tubuhnya sentiasa segar sebelum menempuh penerbangan selama 13 jam 40 minit untuk ke London menggunakan pesawat jenis Airbus A380-800.

Golden Lounge merupakan kawasan istirehat yang disediakan khas untuk penumpang-penumpang kelas pertama, kelas perniagaan dan pemegang kad Enrich Miles Malaysia Airlines jenis emas serta platinum.

“Ini merupakan kali keempat saya menaiki pesawat MAB kelas pertama. Kali pertama adalah pada tahun 2014 semasa ke Paris selebihnya pada 2015, 2016 dan tahun ini yang semuanya menuju ke London.

“Saya memilih MAB kerana gemarkan layanan mesra kakitangannya, hospitaliti dan makanan yang disediakan menepati selera saya,” ujar Pegawai Hal Ehwal Media Prasarana Malaysia Bhd., itu.

Tambah lelaki yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu, sebelum ini dia pernah menggunakan perkhidmatan penerbangan lain seperti Emirates, Qatar Airways, British Airways dan KLM tetapi MAB tetap di hati.

“Mungkin saya sudah terbiasa dan selesa dengan persekitaran di dalam pesawat MAB terutamanya bersama kru dan juruterbang yang mesra penumpang serta mudah didekati.

“Saya juga bebas bercakap loghat Utara kerana kakitangan MAB terdiri daripada orang tempatan,” tutur anak bongsu daripada lima adik-beradik yang sebelum ini pernah menggunakan penerbangan MAB ke Beijing, China; Tokyo, Jepun; New Delhi, India dan Jeddah, Arab Saudi.

Perkhidmatan dan layanan yang baik serta memuaskan hati daripada kakitangan pasti melekap dalam ingatan mana-mana pengguna yang menaiki penerbangan itu.

Rahsia

Menyingkap rahsia menjadi seorang pramugara kelas pertama, Dzulhelmey Khalil, 38, ada cerita yang mahu dikongsi bersama.

Mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam bidang itu, Dzulhelmey meletakkan seluruh jiwa dan tanggungjawabnya pada jawatan yang digalas sejak tahun 2002 itu.

Sebelum melangkah masuk ke MAB, dia pernah bekerja selama lebih setahun dalam bidang perhotelan di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor.


KAREN (kanan) memberikan ucapan selamat datang kepada seorang penumpang cilik.


Bapa kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu, untuk melayakkan pramugari atau pramugara berkhidmat di kelas pertama, mereka harus memiliki perwatakan yang kemas dan menarik, tidak mempunyai reputasi buruk seperti sering cuti sakit atau menerima apa-apa aduan daripada penumpang lain.

“Sebenarnya, semasa melakukan latihan, semua kru perlu belajar dan menghadiri kelas yang sama tidak kira untuk menjalankan tugas di kelas ekonomi, kelas perniagaan atau kelas pertama.

“Pembahagian tugas mengikut kelas kabin akan ditentukan oleh ketua penyelia anak-anak kapal (IFS) ketika sesi taklimat kru kabin.

“Sesi taklimat dijalankan satu jam 30 minit sebelum penerbangan. IFS akan melihat sama ada pramugari atau pramugara mana yang layak untuk berkhidmat di kelas itu,” jelasnya

Dzulhelmey turut memberitahu, mana-mana kru yang menyertai kelas tambahan seperti kelas tata rias diri akan diberikan markah tambahan untuk bekerja di kelas pertama itu. Semuanya bergantung kepada rupa paras, kredibiliti dan tingkah laku pramugari atau pramugara tersebut.

Dzulhelmey sendiri membuat rawatan muka dan kuku di salun pada setiap bulan bagi memastikan dirinya sentiasa kemas.

Mengakui tidak banyak perbezaan tanggungjawab antara ketiga-tiga kelas penerbangan itu, anak jati Kuala Lumpur tersebut menegaskan, setiap jawatan pasti ada cabaran yang tersendiri.

Bertugas di kelas perniagaan atau kelas pertama memerlukan fokus yang lebih serta komitmen yang cukup tinggi.

Rata-rata penumpang di kelas pertama lazimnya berprofil tinggi dan inginkan lebih privasi serta rehat yang secukupnya bagi mengharungi penerbangan jarak jauh.

“Cabaran paling besar adalah bagaimana anda perlu berhadapan dengan penumpang daripada orang kenamaan utama (VVIP).

“Terdapat protokol yang perlu diikuti seperti menggunakan nama gelaran penumpang antaranya Tuanku, Tun, Puan Sri dan Datuk Seri. Malah, layanan yang diberikan pun berbeza dengan kelas ekonomi.

“Ada antara golongan itu yang memerlukan perhatian khusus dan sempurna. Saya mempunyai pengalaman melihat golongan VVIP membawa makanan mereka sendiri.

“Walaupun ruang kerja agak terbatas, segala keinginan penumpang dapat disediakan dengan lancar,” kata anak kedua daripada lima adik-beradik itu.

Meninggal dunia

Selain itu, Dzulhelmey juga mempunyai pengalaman penumpang meninggal dunia di dalam pesawat.

Katanya, semasa melakukan penerbangan ke London pada Mac 2016, seorang wanita telah meninggal dunia disebabkan oleh faktor kesihatan.


KERUSI kelas pertama yang boleh dibaringkan sehingga menyerupai katil.


“Kami perasan wanita itu kerap ke tandas, apabila maklumat kesihatan diperiksa, dia didapati mempunyai gastrik tetapi mendapat surat doktor untuk terbang.

“Semua anak kapal dilatih untuk mengendalikan situasi krisis di udara mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” ujarnya sambil memberitahu, pramugari dan pramugara juga bertindak sebagai pembantu perubatan jika berlaku sebarang kecemasan.

Oleh yang demikian, setiap pramugara atau pramugari perlu lulus ujian pertolongan cemas.

Individu yang ingin menjadi pramugari atau pramugara perlu lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Mereka juga perlu menjalani latihan selama empat bulan. Antara ujian dan latihan yang dilalui adalah belajar cara memadamkan kebakaran, berenang menggunakan pakaian seragam, belajar cara menyajikan makanan, latihan kecemasan, cara turun gelongsor dengan betul dan peperiksaan berkomputer.

Sementara itu, IFS, Karen Chan, 51, yang sudah berkhidmat di MAB sejak tahun 1985 memberitahu, kakitangan yang berkhidmat menjaga penumpang mesti sentiasa peka dengan persekitaran.

Jika boleh, semua pramugari atau pramugara tidak mahu butang memanggil berbunyi.

Setiap penumpang kelas pertama akan dibantu oleh seorang kru. Apabila terdapat sebarang masalah, kru yang ditugaskan perlu membantu penumpang itu dengan kadar segera.

“Sementara itu, mereka perlu mencuci tandas dengan segera selepas penumpang keluar bagi menjamin kebersihan dan peralatan tandas terletak pada tempat asal.

“Malah, apabila penumpang sudah menukar baju tidur, mereka perlu segera menukar tempat duduk kepada katil dan menyediakan tempat tidur dengan bantal serta selimut,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

Pengalaman manis

Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan Karen adalah menjaga kelancaran operasi pramugara dan pramugari sepanjang penerbangan itu.

Jika terdapat masalah atau memerlukan bantuan sokongan, Karen akan ke depan demi memastikan keadaan dan persekitaran berada dalam keadaan baik.

Menyingkap pengalaman manis yang paling tidak dapat dilupakan, Karen memberitahu, dia pernah menerima pasangan penumpang yang berusia dalam lingkungan 60-an yang sedang dalam perjalanan dari London ke Kuala Lumpur.

Sepanjang hidup, mereka tidak pernah menaiki penerbangan kelas pertama.

“Mereka menyimpan duit sejak muda dan apabila anak-anak sudah dewasa, mereka menggunakan duit itu untuk berbelanja besar dengan menaiki kelas pertama.

“Sepanjang saya menguruskan mereka, kedua-duanya sangat baik hati, bersopan santun dan penuh dengan pemikiran positif. Saya tidak pernah berjumpa dengan pasangan seperti mereka. Mereka juga boleh mengingati nama kami satu persatu,” ujarnya sambil mengingati kembali momen berkenaan.

Process time in ms: 31