KESIHATAN

Tulang patah setiap kali terbatuk

Tulang patah setiap kali terbatuk

FAHRI dikenal pasti menghidap penyakit OI ketika usianya empat tahun.


“KALAU begini baik saya mati sahaja mak.” Begitulah rintihan sayu Muhammad Fahri Asidiq, 11, kepada ibunya, Sri Astati Nursani, 32.

Kata-kata itu diucapkan Muhammad Fahri sambil membelek-belek gambar semasa kecil ketika mampu berjalan serta bergerak secara normal.

Sebagai ibu, Sri Astati pasti berasa sedih apabila mengenangkan nasib anaknya yang didapati menghidap penyakit osteogenesis imperfekta (OI) itu.

Menurutnya, Muhammad Fahri yang mesra dipanggil Fahri dikenal pasti menghidap penyakit berkenaan ketika usianya empat tahun.

“Akibat penyakit itu, tulang Fahri menjadi rapuh secara mendadak sehingga ia tidak lagi kuat untuk menampung berat tubuhnya sendiri.

“Penyakit ini juga menyebabkan Fahri tidak mampu berjalan seperti kanak-kanak normal lain,” katanya seperti dipetik portal Kompas.

Lebih memilukan hati, Sri Astati yang berasal dari Bandung, Indonesia berkata, setiap kali anaknya terbatuk, tulangnya pasti akan retak atau patah sehingga dia sudah tidak tahan menanggung rasa sakit yang teramat sangat.

“Tulang-tulang Fahri mudah patah sehingga tidak terhitung jumlah tulangnya yang patah sama ada disengajakan atau tidak,” ujarnya.

Hentakan nafas

Bercerita lanjut, Sri Astati berkata, antara tulang Fahri yang patah termasuklah enam di bahagian tulang rusuk depan, empat di tulang betis, beberapa kali di bahu kiri dan kanan, rusuk belakang, tangan kiri dan kanan, siku kiri dan kanan serta tulang bahagian paha.

“Kalau ada tulangnya yang patah, Fahri pasti menangis. Pernah sekali dia hanya terlanggar mainan tetapi bunyi tulangnya yang patah kedengaran cukup kuat,” ceritanya.

Sri Astati memiliki kesabaran yang cukup tinggi untuk merawat anaknya seorang diri setelah diceraikan suaminya ketika usia Fahri baru empat tahun.

Setiap hari, dia akan menjaja tisu di lokasi-lokasi pelancong di sekitar Bandung dengan pendapatan kira-kira 200,000 Rupiah (RM66.54) sehari. Separuh daripada hasil jualannya digunakan untuk pembiayaan perubatan termasuklah terapi dan ubat-ubatan.

Sementara itu, Pakar Bedah Pediatrik Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Rumah Sakit Hasan Sadikin, Bandung, Dr. Yoyos Dias Ismiarto berkata, hentakan nafas untuk mengeluarkan benda asing dari dalam saluran pernafasan diperlukan ketika seseorang batuk.


SRI ASTATI (kanan) menjaga Fahri seorang diri selepas diceraikan suaminya kira-kira tujuh tahun lalu.


Bagaimanapun, menurutnya, hentakan terlalu keras boleh mengakibatkan tulang patah jika situasi tersebut berlaku kepada pesakit OI.

Gangguan OI merupakan penyakit keturunan yang mengakibatkan kerapuhan tulang berikutan gangguan pada kolagen sebagai salah satu struktur pembentukan tulang.

“Tulang pesakit OI keras seperti tulang individu normal kerana kehadiran kalsium serta fosforus, namun ia mudah patah berikutan kekurangan kolagen,” katanya.

Masalah pernafasan

Menurut Yoyos, terdapat lapan jenis penyakit OI dengan Jenis I merupakan yang paling biasa, manakala Jenis VII digambarkan sebagai sangat teruk sehingga boleh membawa maut.

“Kebanyakan pesakit khususnya Jenis II mati dalam tempoh pranatal disebabkan kegagalan pernafasan atau pendarahan intraserebral. Ada pun yang hidup mengalami gangguan lain seperti masalah pernafasan akibat paru-paru tidak terbentuk dengan sempurna.

“Pesakit OI Jenis III pula mengalami kecacatan tulang teruk sehingga terbantut pembesaran (kerdil),” jelasnya.

Gangguan OI juga dikategorikan sebagai penyakit ganjil dengan nisbah 1 per 20,000 orang bagi setiap kelahiran. Di Amerika Syarikat, kira-kira 20,000 hingga 50,000 orang dikenal pasti menghidap penyakit berkenaan.

Buat masa ini, masih tiada rawatan untuk menyembuhkan penyakit OI. Pesakit bagaimanapun boleh menjalani kaedah fisioterapi yang antara lain berupaya meningkatkan kekuatan tulang secara keseluruhan bagi mengelakkan keretakan selain merangsang mobiliti tubuh.

“Diet kaya vitamin D dan kalsium juga amat digalakkan untuk mengurangkan risiko osteoporosis atau masalah tulang rapuh selain melambatkan masalah kesihatan lain berkaitan OI,” kata Yoyos.

Rencana Utama!»

Sambal bilis ibu juadah istimewa Mohd. Faiz

MOHD. FAIZ SUBRI menerima ucapan tahniah daripada bintang bola sepak Brazil, Ronaldo selepas memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland,malam kelmarin. – AFP

Horizon!»

Kolam mandi kanak-kanak pertama DBKL

Kolam mandi kanak-kanak mampu memuatkan sehingga 100 orang dalam satu-satu masa.

Process time in ms: 31