RUANG

Gabungan ala Inggeris dalam rona pastel

Gabungan ala Inggeris dalam rona pastel

MOHD. AKMAL dan Nur Ilham yang baru mendiami rumah ini sejak awal Januari lalu sepakat untuk menggunakan warna lembut dalam menghiasi kediaman mereka.


HASRAT untuk kru Jurnal mengintai dekorasi kediaman milik sepasang suami isteri di Bandar Rinching, Semenyih, Selangor disambut baik. Mereka menyambut penulis dengan hati terbuka meskipun diterjah pada hari cuti hujung minggu.

Walaupun pasangan suami isteri itu pada awalnya segan untuk menerima pelawaan kru Jurnal berikutan kediaman yang didudukinya masih belum lengkap sepenuhnya, namun mereka akhirnya beralah jua.

Pasangan tersebut, Mohd. Akmal Arif, 29, dan isteri tercinta, Nur Ilham Mohd. Rofi, 28, mengakui, kediaman mereka masih belum cukup sempurna untuk ‘diselongkar’ berikutan ia baru diduduki selepas berpindah ke situ pada awal Januari lalu.

Sebaik daun pintu dikuak, terpampang di depan mata dekorasi dengan sentuhan Inggeris moden menjadi pilihan dalam melatari keseluruhan ruang dalam kediaman jenis teres dua tingkat itu.

Bingkai gergasi

Berada di ruang tamu, anak mata kru Jurnal ligat memerhati setiap sentuhan yang diberikan merangkumi pemilihan warna dan susun atur perabot dalam kediaman.

Sejuk mata memandang tatkala pemiliknya lebih galak bermain warna-warna pastel dalam menghiasi kediaman tiga bilik itu agar tidak tampak terlalu garang, sekali gus mengganggu mood isi rumah.

Menurut Ilham, dia memilih warna-warna lembut dalam menghiasi kediamannya kerana ia membuatkan seseorang itu berasa tenang dan selesa.


RUANG dapur menjadi kemas dan bersih dengan penggunaan rona putih sebagai subjek utama.


“Saya sendiri gemarkan warna-warna lembut seperti biru dan ia diserlahkan pada muka dinding ruang tamu ini,” ujar Nur Ilham yang bertugas sebagai seorang jururawat.

Ternyata pemilihan warna biru lembut yang tercalit pada dinding di ruang tamu tersebut membuatkan suasana keseluruhan kediaman kelihatan sejuk dan selesa untuk bersantai.

Gabungan warna biru dan putih juga tidak kurang menarik apabila melihat pada pemilihan kedua-dua warna tersebut yang disatukan menjadi latar utama pada ruang tamu.

Tambah menarik, Mohd. Akmal telah memasang sendiri tetulang kayu pada dinding bagi membentuk bingkai gambar bersaiz gergasi untuk diabadikan gambar perkahwinan mereka.

“Kami juga mempunyai perancangan untuk memasang kertas dinding pada ruang tertentu dengan menggunakan warna pastel pada masa akan datang,” ujar Ilham.

Pemilihan jenis perabot juga diberi penekanan teliti apabila pasangan itu menggabungkan rona tanah seperti coklat dan kelabu bagi memberi impak berbeza pada suasana.

Olahan perabot-perabot lain seperti meja kecil dan kabinet televisyen dengan warna polos dilihat berupaya mewujudkan keseimbangan agar memberi kesan yang lebih menyerlah.

Warna pastel itu tidak hanya terhad pada rona perabot kerana pemilihan fabrik pada kain langsir juga menggunakan warna kelabu lembut senada dengan rona sofa yang digunakan.

Di satu sudut dalam kediaman, sebuah meja kecil yang dijadikan rak kasut ringkas dan dilengkapi dengan sebuah lampu kaki menjadi antara dekorasi bagi memanfaatkan penggunaan ruang agar tidak terlalu kosong.


MEJA kecil yang dijadikan rak kasut menjimatkan penggunaan ruang yang besar.


Sama seperti mana-mana kediaman, agak janggal jika pemiliknya tidak meletakkan sedikit sentuhan alam dengan menggunakan pokok-pokok hiasan palsu bagi mewujudkan suasana kehijauan di dalam rumah.

Ringkas

Sama seperti Mohd. Akmal dan Nur Ilham, penggunaan pokok-pokok palsu yang gunakan secara minimum mampu mengangkat tema kesegaran alam sekitar pada ruang tamu.

Menjengah ke ruang dapur, sebuah meja dan kerusi berkaki tinggi telah diletakkan di kawasan yang menjadi sempadan antara ruang tamu dengan dapur.

Biarpun nampak ringkas, meja tersebut berfungsi untuk meletakkan makanan apabila tidak dihidangkan di atas meja makan.

Berbicara tentang meja makan, pemilik kediaman tidak terlalu obses untuk mengimpikan ruang makan yang sarat dengan segala perincian dekorasi yang akhirnya akan mengganggu suasana.

Penggunaan meja makan daripada unsur kayu berona coklat lembut dan kerusi putih sudah cukup menampilkan elemen sederhana tetapi masih kelihatan menarik pada mata.

Pemilihan lampu berkonsepkan industri menyuntik sedikit kelainan pada ruang makan agar tidak terlalu bosan dengan konsep utama.

Peluang yang diberikan untuk mengintai kamar beradu utama yang terletak di tingkat atas tidak dilepaskan oleh kru Jurnal.

Sama seperti konsep pada ruang tamu, pemilihan rona putih menjadi subjek utama yang menjadikan bilik tidur mereka kelihatan sejuk.

Bermula dari rona dinding, cadar dan langsir, pemilihan warna putih juga membuatkan ruang bilik kelihatan luas dan selesa.

Banyak menjadikan bacaan majalah sebagai rujukan, Ilham memberitahu, seseorang itu mampu menggubah dekorasi pada kediaman mereka berdasarkan cita rasa sendiri asalkan ia selesa dan mengikut kemampuan bajet masing-masing.

Rencana Utama!»

Sambal bilis ibu juadah istimewa Mohd. Faiz

MOHD. FAIZ SUBRI menerima ucapan tahniah daripada bintang bola sepak Brazil, Ronaldo selepas memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich, Switzerland,malam kelmarin. – AFP

Horizon!»

Kolam mandi kanak-kanak pertama DBKL

Kolam mandi kanak-kanak mampu memuatkan sehingga 100 orang dalam satu-satu masa.

Process time in ms: 31