VARIA

Sensitiviti agama, kaum perkara utama

Sensitiviti agama, kaum perkara utama


Kira-kira 150 ahli Pas berhimpun di hadapan pejabat akhbar Nanyang Siang Pau di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


GERANGAN apakah yang mendorong akhbar harian Nanyang Siang Pau menyiarkan kartun monyet yang menghina Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia?

Kartun yang disifatkan sangat biadab itu jelas berkaitan dengan RUU 355 yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Abdul Hadi pada hari terakhir persidangan minggu lalu.

Kartun itu menggambarkan dua ekor monyet di atas pokok yang ditulis ‘Akta 355’. Di bawah pokok itu sekumpulan monyet sedang berkelahi.

Salah seekor monyet di atas pokok yang memakai songkok ditulis ‘Speaker’ dan seekor lagi memakai serban ditulis ‘Hadi Awang’.

Kartun itu disiarkan dua hari selepas pembentangan RUU 355 yang bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Ekoran penyiaran kartun itu, kira-kira 150 orang ahli Pemuda Pas telah berhimpun di hadapan pejabat Nanyang Siang Pau menuntut akhbar itu memohon maaf kepada Abdul Hadi dan Pandikar Amin.

Nanyang Siang Pau telah menyiarkan permohonan maaf dalam akhbar itu dan ketua pengarangnya pula menyatakan akan menulis surat secara peribadi kepada dua tokoh politik tersebut.

Penghinaan

Perbuatan melampau Nanyang Siang Pau itu sebenarnya bukan sahaja menimbulkan kemarahan ahli-ahli Pas tetapi juga umat Islam yang tidak menyertai parti politik.

Gelaran monyet atau kera adalah penghinaan yang sangat tercela bagi umat Islam. Betapa dalam al-Quran terkandung gelaran ini sebagai celaan Allah terhadap kaum Yahudi yang melanggar larangan-Nya.

“Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina.” - al-Baqarah: 65

Setakat ini, tidak kurang 20 aduan polis telah dibuat terhadap Nanyang Siang Pau.

Kementerian Dalam Negeri telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Nanyang Siang Pau meminta penjelasan kenapa tindakan tidak boleh diambil ke atas permit penerbitannya.

Kenapa Nanyang Siang Pau tergamak menyiarkan kartun bodoh dan melampau itu? Adakah mereka menyangka kartun itu hanya akan ditatap pembaca Cina?

Tidakkah para pengarangnya mempunyai sensitiviti terhadap Islam?

Lupakah mereka peristiwa pejabat akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata api selepas menyiarkan kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW?

Seramai 12 orang terbunuh dan 11 lagi cedera dalam serangan pada 7 Januari 2015 itu.

Tanyalah semua pengarang akhbar di Malaysia, tanpa mengira bahasa, apakah perkara-perkara yang perlu diperhitung sebelum menyiarkan sesuatu dalam akhbar mereka.

Sudah pasti sensitiviti agama dan kaum terletak dalam kategori perkara utama yang perlu diberikan penelitian dan kewaspadaan di samping saman malu.

Selain menghadapi kemungkinan digantung permit penerbitan, pengarang akhbar juga boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 jika tidak berhati-hati dalam aspek sensitiviti agama dan kaum ini.

Adakah para pengarang Nanyang Siang Pau tidak mengetahui atau sengaja melampaui batas dalam keghairahan untuk meningkatkan naskhah jualan?

Edaran akhbar

Persaingan dalam dunia akhbar Cina sangat sengit kerana pasarannya lebih besar daripada akhbar lain-lain bahasa.

Menurut angka Audit Bureau of Circulations (ABC), edaran akhbar berbahasa Cina sepanjang tahun 2015 ialah 838,211 naskhah berbanding akhbar bahasa Inggeris 732,009, Melayu 679,113 dan Tamil 45,037.

Suatu masa dulu Nanyang Siang Pau adalah akhbar Cina No. 1 tetapi sekarang jatuh di belakang Sin Chew Jit Poh dan China Press.

Apakah Nanyang Siang Pau melihat RUU 355 sebagai satu isu yang wajar dijuarai bagi memikat hati kaum Cina untuk menambah edarannya?

Barang kali Nanyang Siang Pau dirangsang oleh ahli-ahli politik bukan Islam yang bersuara lantang menentang RUU 355.

Kemudian beberapa orang ahli Parlimen pembangkang beragama Islam turut celupar membidas Pandikar Amin kerana menangguhkan perbahasan ke sesi Julai akan datang.

Pasti ini juga mempengaruhi Nanyang Siang Pau untuk beranggapan bahawa segala bentuk kritikan boleh dilontar terhadap sesiapa sahaja berkaitan isu RUU 355.

Bagi Nanyang Siang Pau, RUU 355 bukanlah isu agama tetapi hanyalah isu politik dan ini jugalah tanggapan kebanyakan orang bukan Islam.

Tanggapan mereka turut didorong oleh gelagat beberapa pemimpin Melayu pembangkang yang menyifatkan usaha Abdul Hadi membentangkan usul RUU 355 hanyalah bertujuan untuk memperkukuh kedudukan politik Pas yang didakwa sudah malap.

Sebenarnya bukan Nanyang Siang Pau sahaja yang silap perhitungan. Ramai orang munafik dan bukan Islam juga mulai kelihatan berani menjolok kesabaran umat Islam.

Maka pihak berkuasa layak mengambil tindakan keras ke atas Nanyang Siang Pau sebagai satu amaran kepada semua pihak demi mencegah konflik antara agama daripada berlaku di Malaysia yang sekian lama aman tenteram.

Process time in ms: 31