VARIA

Keenakan Char Kuey Teow Sentap

Keenakan Char Kuey Teow Sentap


MOHD. NAZRI (kiri) dan Maisarah menunjukkan dua variasi char kuetiau yang menjadi signatur di Restoran Char Kuey Teow Sentap di Pasir Gudang, Johor.


Sekali cuba pasti mahu lagi. Itu keistimewaan char kuetiau disajikan Restoran Char Kuey Teow Sentap yang membawa resipi khas dari Sungai Petani, Kedah untuk penggemar hidangan tersebut di selatan tanah air.

Terletak berhadapan pasar raya Econsave, Jalan Rasa, Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor, restoran tersebut turut menyajikan pelbagai variasi masakan utara.

Pada kebiasaannya, char kuetiau dimasak dengan bahan seperti kerang dan udang, namun restoran milik jurutera industri minyak dan gas, Mohd. Nazri Othman, 32, itu menampilkan kelainan pada hidangan digemari ramai tersebut.

Pelanggan yang berkunjung ke restoran berkenaan, boleh mencuba merasai keenakan char kuetiau ketam bersaiz besar dan segar dengan harga berpatutan.

Inovasi

“Restoran kami turut membuat inovasi dengan menyediakan char kuetiau sosej, bebola daging dan full spect (campuran isi kerang, udang serta telur goreng).


NASI goreng udang bersama telur merupakan antara menu kegemaran ramai.


“Selain char kuetiau, kami turut memenuhi selera pelanggan dengan menawarkan pelbagai minuman dan masakan panas seperti nasi, mi, bihun goreng, sate serta nasi lemak ayam sentap,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

Harga yang ditawarkan sangat berpatutan kerana set menu makanan boleh didapati pada harga serendah RM4 sehingga RM13 manakala harga minuman pula bermula RM1 hingga RM3.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia yang merupakan anak jati Ledang dan isterinya, Maisarah Abu Bakar, 32, memulakan bisnes menyediakan makanan sejak November 2014.

Berkongsi cerita mengenai nama restoran tersebut, Mohd. Nazri berkata, sebelum mendirikan rumah tangga, dia tidak pernah menikmati char kuetiau.

“Pada hari kedua selepas melangsungkan perkahwinan, isteri membawa saya makan di restoran char kuetiau milik bapa mertua di Sungai Petani, Kedah.

“Pertama kali mencuba, saya terus terpesona dan memberitahu isteri, sedap kuetiau ini. Saya dan isteri telah mempelajari membuat char kuetiau daripada keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Nazri bercadang membuka sebuah lagi restoran pada penghujung tahun ini di Masai atau Seri Alam.

Rencana Utama!»

Gedung lebih 3,000 karya seni tempatan

Bangunan BSN terletak di Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak bersebelahan Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Varia!»

Mengimbau sejarah seni bina negara

Chee Cheong berharap pameran ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan arkitek dalam membangunkan negara satu ketika dahulu.

Process time in ms: 47