HORIZON

Kenali biografi hidup Tuanku Ja’afar

Kenali biografi hidup Tuanku Ja’afar



SEKALI imbas, binaan konkrit serba putih itu tidak ubah seperti bangunan lama pentadbiran milik kolonial Barat.

Terletak di Jalan Taman Bunga, Seremban, Negeri Sembilan, monumen tiga tingkat itu mempunyai reka bentuk mirip bangunan-bangunan lama di kota raya London, England.

Begitupun, siapa sangka bangunan yang didirikan di atas tanah seluas hampir 13,000 meter persegi itu merupakan Galeri Diraja Tuanku Ja’afar (GDTJ).

Ia dibina menyerupai bangunan lama yang terdapat di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak sebagai simbolik kepada institusi pendidikan terawal Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman.

Di dalam galeri itu terdapat pelbagai barangan, gambar, darjah kebesaran dan kisah perjalanan hidup Tuanku Ja’afar yang memerintah Negeri Sembilan selama 42 tahun.

Salah seorang pengunjung, Ain Fazirapul Anura Anuar, 21, memberitahu, dia berasa sangat bertuah kerana berkesempatan berkunjung ke galeri itu.

Jelas anak sulung daripada dua adik-beradik itu, kunjungan tersebut membolehkannya mengenali secara lebih dekat biografi hidup Tuanku Ja’afar.

Adat Perpatih


GDTJ dibahagikan kepada lapan ruang pameran.


“Sebagai anak negeri, saya berasa terpanggil untuk berkunjung ke sini dan mengimbau kembali perjalanan hidup baginda.

“Di sini, saya berpeluang melihat gambar-gambar lama baginda sewaktu kanak-kanak, remaja dan semasa menjadi pemerintah. Saya yakin, ini semua tiada di tempat lain,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Ain Fazirapul memberitahu, kunjungan ke galeri itu juga membolehkannya memahami dengan lebih mudah sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan.

Penuntut Kolej Yayasan Pahang di Kuantan, Pahang itu memaklumkan, pihak galeri berjaya menyediakan teks berserta gambar rajah yang mudah untuk difahami oleh golongan muda.

Sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan sangat unik dan berbeza berbanding negeri-negeri lain kerana ia melibatkan proses demokrasi.

“Hari ini baru saya tahu bahawa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dipilih oleh empat orang Undang yang memerintah daerah di negeri ini mengikut Adat Perpatih yang berasal dari Minangkabau, Indonesia.

“Di negeri-negeri lain, anak raja atau sultan secara automatik akan mewarisi tampuk pemerintahan selepas kemangkatan ayahanda baginda,” ujar Ain Fazirapul yang berkunjung ke GDTJ bersama seorang rakannya.

Kurator GDTJ, Nor Hazwani Hembali berkata, galeri itu mula dibuka pada Mei tahun lalu selepas dirasmikan oleh Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin.

Jelasnya, galeri itu dibina hasil ilham Tuanku Ja’afar sendiri sewaktu baginda menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10.

“Galeri ini dibina dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Muzium Malaysia dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan yang bertujuan untuk memperingati sumbangan serta bakti baginda.

“Ia dibina berkonsepkan Perjalanan Biografi Kehidupan Tuanku Ja’afar sejak zaman kanak-kanak sehinggalah menjadi pemerintah negeri dan Yang di-Pertuan Agong ke-10,” katanya.

Terdapat lapan ruang pameran berbeza di galeri tersebut iaitu sejarah dan Raja-Raja di Negeri Sembilan, mengenal baginda ketika zaman membesar, kerjaya awal dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Barangan peribadi


Set kayu golf milik Tuanku Ja’afar turut dipamerkan.


Ruang pameran juga merangkumi sewaktu baginda bergelar Yang di-Pertuan Agong, kisah Tuanku Najihah, koleksi kereta antik baginda dan keluarga diraja.

Menurut Nor Hazwani, setiap ruang pameran diisi dengan pelbagai barangan peribadi Tuanku Ja’afar yang dipinjamkan oleh ahli keluarga baginda.

“Galeri ini tidak hanya mempamerkan gambar-gambar dan teks penerangan, ia turut mengandungi pelbagai barangan peribadi milik baginda.

“Antara barangan yang menjadi tumpuan pengunjung ialah jersi pemain bola sepak Arsenal, set kayu golf dan darjah-darjah kebesaran milik baginda,” terangnya.

Dalam pada itu, Nor Hazwani memaklumkan, galeri tersebut menyediakan tablet yang dilengkapi dengan aplikasi mudah alih untuk kegunaan para pengunjung.

Katanya, aplikasi itu membolehkan pengunjung mendengar audio penerangan lengkap mengenai setiap ruang pameran di dalam galeri tersebut.

“Tidak ramai yang suka membaca teks penerangan. Jadi, menerusi aplikasi ini, pengunjung boleh mendengar penerangan sambil melihat ruang pameran itu.

“Aplikasi ini juga didatangkan dalam bahasa Inggeris untuk kemudahan pengunjung dari luar negara. Aplikasi ini boleh digunakan dalam permainan treasure hunt (mencari harta karun) di dalam galeri,” jelasnya.

Dia memberitahu, pihak galeri menyediakan kemudahan seperti kafe dan kedai cenderamata, pusat sumber dan ruang untuk sewaan kepada orang awam.

Tambahnya, pihak galeri juga sering menganjurkan program-program kemasyarakatan untuk menjadi pusat komuniti bermanfaat kepada orang ramai.

“Selain pengunjung perseorangan, kami juga mengalu-alukan kedatangan pengunjung secara berkumpulan. Namun, tarikh dan masanya perlu dirujuk kepada pihak galeri terlebih dahulu,” katanya.

Pendapat berbeza dilontarkan oleh salah seorang pengunjung, Liza Alip, 59, yang menganggap galeri itu direka dengan sangat cantik dan tersusun.

Wanita berasal dari Johor Bahru, Johor itu menjelaskan, setiap ruang pameran menyediakan maklumat dan material yang mencukupi.

“Ini kali pertama saya berkunjung ke sini. Selepas masuk ke galeri ini, saya terkejut melihat ruang pameran galeri kerana ia sangat moden.

“Antara barangan yang berjaya menarik minat saya ialah lukisan-lukisan pemandangan yang dihasilkan oleh baginda, replika reka bentuk Istana Seri Menanti dan persalinan lengkap diraja Negeri Sembilan,” katanya.

Tambah Liza, sebagai seorang penggiat pelancongan, dia berasakan galeri itu mempunyai kemudahan lengkap untuk para pengunjung seperti parkir, kafe, tandas dan tempat duduk.

Rencana Utama!»

Sultan Muhammad V raja berjiwa rakyat

PELANTIKAN Sultan Muhammad V (depan kanan) sebagai Yang di-Pertuan Agong merupakan keputusan sebulat suara Majlis Raja-Raja.

Process time in ms: 15