INFINITI

Prestasi unggul Lenovo Air 13 Pro

Prestasi unggul Lenovo Air 13 Pro


REKA bentuk elegan dan nipis model Air 13 Pro memberi nilai tambah menarik kepada produk terbaharu Lenovo.


KETIKA syarikat gergasi komputer, Apple Inc. (Apple) melancarkan komputer riba kompak generasi pertama MacBook Air pada 2008 tidak ramai peminat gajet yang teruja dengan spesifikasi dan harga ditawarkan.

Selepas beberapa tahun, MacBook Air mula menjadi sensasi dalam kalangan peminat gajet disebabkan kombinasi kuasa, mobiliti serta kepantasan sehingga menjadi model Apple paling laris di seluruh dunia.

Malah, ia berjaya menewaskan trend komputer riba jenis ultrabook yang Windows hasilkan.

Kejayaan dicapai Apple telah mendorong gergasi komputer China, Lenovo Group Ltd. (Lenovo) mengikut jejak itu menerusi model Lenovo Air 13 Pro.


Lenovo Air 13 Pro yang didatangkan bersama cip grafik berkapasiti tinggi dapat menarik penggemar permainan video.


Pelancaran Air 13 Pro dilihat sebagai alternatif terbaik kepada mereka memiliki gajet berkuasa tinggi.

Dengan menampilkan reka bentuk nipis dan saiz skrin 13 inci, Air 13 Pro tampak elegan dengan penggunaan sistem operasi Window 10.

Pada masa sama, ia juga dikuasakan dengan cip pemprosesan Intel Core i5/i7 Skylake berkelajuan tinggi beserta kapasiti storan 256 Gigabait (GB).

Tidak cukup dengan itu, empat Gigabait (GB) RAM serta cip grafik Nvidia GeForce GTX940MX yang disertakan memberi kelebihan kepada penggemar permainan video definisi tinggi.

Air 13 Pro juga didatangkan dengan fungsi pengimbas jari terbina pada ruangan pad sentuh. Ia turut didatangkan dengan dua slot port USB, slot fon kepala dan slot kad memori.

Mempunyai berat sekitar 1.29 kilogram, komputer riba ini juga agak ringan dan mudah dibawa ke mana-mana untuk sebarang tugasan penting.

Process time in ms: 15