PESONA

BGRCAC beri kehidupan baharu kepada masyarakat Bulacan

BGRCAC beri kehidupan baharu kepada masyarakat Bulacan


PUSAT kulinari ini menjadi tumpuan masyarakat setempat untuk menimba ilmu dan mencari rezeki.


DIGAMBARKAN sebagai sebuah universiti, Berjaya Garden Restaurant and Culinary Arts Centre (BGRCAC) di Bulacan, Filipina menjadi hab kepada pelajar kurang berkemampuan di kawasan pedalaman untuk mendalami ilmu masakan dan mengasah kemahiran mereka.

Pertama kali dilancarkan pada 4 November 2013, BGRCAC dibina dengan kos sebanyak AS$90,000 (RM400,000) hasil sumbangan jutawan tersohor negara yang juga pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan.

Selepas tiga tahun, pusat masakan itu dilancarkan semula pada Januari lalu.


VINCENT (empat dari kanan) turut hadir pada majlis perasmian BGRCAC di Bulacan, Filipina baru-baru ini.


Ia dibina semula sebagai pusat makanan utama bagi memenuhi permintaan yang berterusan selepas menerima sekitar 200,000 kunjungan daripada masyarakat setempat, pelajar luar negara dan para usahawan.

Menurut Vincent, beliau mempunyai impian untuk mendermakan separuh daripada hartanya kepada badan amal agar ia dapat dimanfaatkan oleh golongan miskin di kawasan luar bandar.

“Pusat ini adalah sebahagian daripada Gawad Kalinga (GK) Enchanted Farm yang merupakan platform melahirkan usahawan sosial, sekali gus membantu petani tempatan dan mencipta kekayaan di kawasan desa.

“BGRCAC juga disebut-sebut sebagai lokasi yang pertama seumpamanya di Asia.

“Ia mampu memberikan kemudahan latihan kulinari di kawasan ini dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi mereka,” katanya yang ditemui selepas melancarkan BGRCAC di Angat, Bulacan, Filipina baru-baru ini.

Mengulas lanjut, BGRCAC dibangunkan semula dengan kos tambahan sebanyak AS$531,000 (RM2.3 juta) yang dilengkapi ruang makan utama, bilik majlis, dapur, laluan dan taman.

Peluang pekerjaan


SUASANA di ruangan dalam BGRCAC yang menjadi tumpuan orang ramai untuk menjamu selera.


Ia direka untuk menyamai persekitaran alam semula jadi, bukan sahaja kekemasan dalaman tetapi ciri-ciri kelestarian serta reka bentuk sistem yang dimodelkan pada entiti dan proses biologi.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pembangunan Gawad Kalinga Masyarakat, Tony Meloto berkata, pusat masakan itu menjana 300 peluang pekerjaan kepada golongan miskin.

“Kami bekerjasama dengan Berjaya Corporation Berhad untuk membangunkan lokasi tarikan pelancongan yang terbesar di wilayah ini,” kata Meloto.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Danilo Alben, 20, berkata, pusat berkenaan memberikan banyak perubahan dalam kehidupannya sekeluarga yang kini mampu hidup selesa seperti keluarga lain.

“Saya dan keluarga sebelum ini tinggal di bawah jambatan sebelum Meloto membawa saya ke sini untuk mempelajari asas keusahawanan.

“Kini, saya sudah mampu memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarga dengan memasarkan produk minuman yang diusahakan bersama beberapa rakan lain sehingga mendapat sambutan yang baik dalam pasaran tempatan,” katanya.

Turut berkunjung ke BGRCAC ialah seorang sukarelawan dari Malaysia, R. Harsha, 14, yang menyifatkan pusat itu berjaya mengubah kehidupan masyarakat tempatan.

“Saya antara yang terpilih untuk melihat pelancaran BGRCAC. Tidak dinafikan, pusat ini memberi impak besar kepada penduduk setempat sebelum mereka boleh memberi sumbangan sendiri kepada masyarakat di luar sana,” katanya yang bersekolah di Nilai, Negeri Sembilan.

Terdahulu, Vincent memberitahu, beliau telah menderma hampir PHP$300 juta (RM26.7 juta) untuk membina 3,000 unit rumah di kawasan yang dilanda bencana Taufan Sendong pada tahun 2012.

Rencana Utama!»

Kaedah dorsal slit selamat, cepat sembuh

Di negara ini, kebiasaannya kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika berumur antara tujuh hingga 12 tahun. – Gambar hiasan

Varia!»

Khidmat pertapa popular di internet

TOON (kiri) mengikat tali pelindung di anggota badan pelanggannya.

Process time in ms: 31