PESONA

Bermula daripada kebersihan mulut

Bermula daripada kebersihan mulut

AHMAD SHAOFIE memberi tunjuk ajar cara memberus gigi yang betul kepada sekumpulan kanak-kanak.


TATKALA mata bertemu mata, hanya sekuntum senyuman menjadi penghubung komunikasi pertama. Senyuman manis yang ditawarkan itu tidak sempurna jika ia tidak datang bersama sepasang gigi yang cantik, bersih dan putih.

Bukan untuk tujuan kosmetik semata-mata, kesihatan gigi sebenarnya merupakan tunjang untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan manusia. Begitupun ia jarang diberi keutamaan terutama sekali di dunia yang terlalu obses dengan kecantikan berasaskan kosmetik.

Bagi Nurul Asyikin Yahya, 42, dia amat menitikberatkan kebersihan dan kecantikan giginya. Malah, ia menjadi suatu penjagaan wajib bagi diri dan keluarganya.

Katanya, dia memberi penekanan terhadap penjagaan gigi dan mulutnya sejak kecil lagi.

“Terima kasih kepada ibu yang banyak membimbing saya. Beliau sangat tegas dalam hal menjaga dan membersihkan mulut. Tiap kali selepas makan, menjadi amalan wajib untuk saya membersihkan mulut,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah ibu kepada empat cahaya mata itu, kedatangannya ke hospital berkenaan adalah untuk membawa anak-anaknya membuat pemeriksaan gigi percuma yang dilakukan oleh doktor gigi di situ.

“Saya mendapat tahu di hospital ini ada melakukan pelbagai aktiviti bersempena menyambut Hari Penjagaan Mulut Sedunia yang diraikan 20 Mac setiap tahun.

“Jadi, apa salahnya pada hujung minggu begini saya membawa keluarga meluangkan masa bersama sambil mendapatkan pemeriksaan gigi dan kesihatan di sini,” tuturnya.

Sementara itu, Konsultan Pergigian Prostodontik KPJ Tawakkal, Dr. Natasya Ahmad Tarib berkata, penjagaan mulut yang baik bukan sekadar memberikan senyuman yang manis dan bernafas segar, sebaliknya mempunyai kaitan yang penting antara kesihatan mulut dan badan secara keseluruhan.

“Kesihatan mulut boleh memberi kesan kepada pelbagai penyakit kronik dan berjangkit yang menunjukkan simptom di dalam mulut dan pada masa sama boleh menyebabkan jangkitan, keradangan serta kesan-kesan serius yang lain terhadap kesihatan diri keseluruhannya.

Pendidikan


Pemeriksaan gigi diberikan secara percuma kepada para pengunjung.


“Tidak dapat dinafikan kesedaran tentang isu ini amat rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, sebanyak 90 peratus daripada populasi dunia mengalami penyakit mulut yang mana penyakit itu sebenarnya boleh dicegah melalui penjagaan gigi yang baik,” ujarnya.

Tambah beliau, pendidikan yang berterusan adalah penting untuk memastikan lebih ramai orang menjaga mulut mereka untuk menghindari pelbagai masalah kesihatan yang lain.

“Kesihatan mulut yang tidak dijaga boleh memburukkan penyakit gigi dan kencing manis serta menyebabkan luka lambat sembuh.

“Bukan itu sahaja, wanita yang mempunyai penyakit gusi juga berisiko untuk melahirkan bayi pramatang,” tegasnya.

Ujarnya lagi, memberus gigi hanya membersih sebanyak 25 peratus daripada mulut dan sebenarnya tidak mencukupi bagi memastikan mulut bersih secara keseluruhan.

Rutin

“Mengabaikan rutin penjagaan mulut yang lengkap akan menjejaskan kesihatan, perhubungan peribadi, pekerjaan dan penampilan kita di hadapan orang ramai.

“Di Malaysia, peratusan kanak-kanak yang mengalami pereputan gigi sangat tinggi iaitu kira-kira 70 peratus,” katanya.

Selain itu, Natasya memberitahu, Hari Kesihatan Mulut Sedunia merupakan saluran penting untuk pendidikan awam supaya masyarakat sentiasa mempunyai kesedaran dan peka tentang kesihatan mulut.

“Sempena dengan acara tersebut, pelbagai aktiviti diadakan untuk para pengunjung yang datang. Malah, ia juga berfokuskan terhadap aktiviti pendidikan secara interaktif dengan objektif untuk meningkatkan tahap kesedaran tentang kepentingan kebersihan mulut dan cara hidup sihat.

“Antara aktiviti lain ialah pemeriksaan kesihatan asas, pemeriksaan gigi, kaunter khidmat nasihat berhenti merokok, demonstrasi mencuci tangan dan promosi istimewa yang terdapat di hospital ini,” kongsinya.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran KPJ Tawakkal, Ahmad Shaofie Amir Shah berkata, peningkatan minat orang awam tentang isu gigi dan kesihatan mulut mendorong pihaknya untuk mewujudkan sebuah laman khusus untuk perkhidmatan pergigian di KPJ Tawakkal.

Informasi


MOHD. MUZAFAR (tengah) ketika pelancaran laman web rasmi Pusat Pakar Pergigian KPJ di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Katanya, informasi berkaitan pergigian akan dikongsikan dan menjawab segala persoalan berkaitan gigi dan kesihatan mulut.

“Sehubungan dengan itu, kami mengambil langkah inisiatif untuk mewujudkan platform komunikasi dengan pesakit dan orang awam melalui pelancaran laman web rasmi Pusat Pakar Pergigian KPJ iaitu www.kpjdental.com dan Instagram kpjsmile,” katanya.

Pusat Pakar Pergigian KPJ merupakan sebahagian daripada Pusat Kesihatan KPJ Tawakkal. Malah, Pusat Kesihatan KPJ Tawakkal ini juga merupakan pusat penjagaan ambulatori yang memberikan perkhidmatan kesihatan secara komprehensif seperti pusat pakar pergigian KPJ, pusat rehabilitasi KPJ, pusat penjagaan warga emas KPJ, klinik-klinik pakar dan pusat hemodialisis.

Bagi salah seorang pengunjung cilik, Nur Qaseh Qistina Mohd. Fadlee, 8, berkata, dia begitu teruja kerana dapat menemani ibunya ke hospital tersebut untuk melakukan pemeriksaan sama seperti pengunjung yang lain.

“Kami ditunjukkan demonstrasi memberus gigi yang betul. Kemudian kami diberikan hadiah percuma seperti berus dan ubat gigi serta tip penjagaan gigi yang sihat,” katanya.

Process time in ms: 31