HORIZON

Menjejak rahsia Gua Son Doong

Menjejak rahsia Gua Son Doong


Antara formasi batu kapur yang muncul dari bawah sungai dalam Gua Son Doong.


KEWUJUDAN banjaran Annamite yang terletak di kawasan terpencil di Vietnam sejak berjuta tahun lalu tidak pernah dipedulikan.

Bagaimanapun, seorang petani tempatan, Ho Khan menemui sebuah gua dan menjadikan ia sebagai tempah berteduh dalam satu kejadian ribut pada tahun 1991.

Selepas kejadian itu, Khan kembali ke lokasi tersebut untuk mencari gua berkenaan tetapi gagal menemuinya.

Kegagalan itu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk melupakan hasrat tersebut, sekali gus meneruskan tugas hakikinya sebagai seorang petani.

Beberapa tahun selepas itu, sekumpulan peneroka gua dari Britain meminta bantuan Khan untuk menjejaki semula lokasi gua tersebut.

Pada tahun 2009, tuah menyebelahi Vietnam selepas gua yang dikenali sebagai Son Doong yang mempunyai jarak sejauh kira-kira 8.9 kilometer dan 200 meter tinggi itu telah diumumkan secara rasmi sebagai gua terbesar di dunia.

Keluasan Gua Son Doong dikatakan lima kali ganda lebih besar daripada Gua Rusa di Malaysia yang sebelum ini memegang rekod sebagai gua terbesar dunia.

Nama Son Doong diambil daripada bahasa tempatan yang membawa maksud gua sungai dari gunung.

Kawasan gua itu dipercayai terbentuk sejak dua hingga lima juta tahun lalu dengan aliran air mengalir daripada kawasan gunung ke dalam celah-celah batu kapur di gua tersebut.


Tasik yang terbentuk di dalam Gua Son Doong.


Apabila dinding batu kapur menjadi semakin lemah, bumbung gua turut menerima kesannya sehingga ia runtuh dan membentuk lubang besar yang membawa masuk cahaya daripada langit.

Paling mencabar

Untuk sampai ke Gua Son Doong, pengunjung perlu masuk jauh ke dalam hutan di Taman Negara Phong Nha Ke Bang yang terletak di wilayah Quang Binh yang sememangnya terkenal sebagai salah satu lokasi pengembaraan paling mencabar di dunia.

Bertemankan pengiring yang bertugas menjaga keselamatan, pengunjung memerlukan enam hari perjalanan untuk meneroka keseluruhan jarak gua termasuk berkunjung ke perkampungan puak minoriti suku Ban Doong.

Dengan keluasan yang boleh memuatkan sebuah pesawat Boeing 747 itu, Gua Son Doong memiliki keunikan yang tersendiri iaitu landskap yang menarik termasuk pembentukan stalagmit dan stalagtit di lantai serta bumbung gua yang seolah-olah menyerupai makhluk asing.

Antara pemandangan indah yang pasti tidak akan dilupakan oleh pengunjung ialah hutan yang terdapat di dalamnya.

Kabus tebal yang menutupi sebahagian hutan itu menjadi bukti bahawa gua tersebut memiliki sistem iklim yang tersendiri.

Selain hutan, terdapat juga tasik dan sungai yang terbentuk secara semula jadi.

Sebaik masuk ke dalam hutan itu, pengunjung boleh menikmati keunikan Gua Son Doong termasuk Hand of Dog iaitu pembentukan stalagmit yang kelihatan seperti kaki hadapan seekor anjing.

Keadaan di dalam gua itu juga sangat gelap dan pengunjung hanya berpandukan cahaya yang masuk menerusi lubang pada bumbung gua tersebut.


Formasi batu kapur yang sangat unik ini turut ditemui di dalam Gua Son Doong.


Situasi itu menyebabkan perjalanan yang biasanya dilakukan dalam tempoh 20 minit boleh berlarutan sehingga dua jam untuk tiba di satu-satu lokasi.

Namun, sebaik tiba di kawasan tasik di dalam gua, pengunjung akan memperoleh pengalaman yang sangat berharga kerana dapat menghayati suasana kawasan itu dalam keadaan gelap dan sunyi sepi tanpa ada sebarang gangguan.

Selain sungai dan tasik, pengunjung juga boleh melihat pelbagai formasi batuan yang terbentuk daripada batu kapur yang sangat unik dan mungkin tidak terdapat di gua-gua lain.

Namun, satu perkara yang mungkin akan mengecewakan ialah pakej penerokaan Gua Son Doong yang ditawarkan syarikat pelancongan Oxalis kepada pengunjung bagi seluruh tahun ini dikatakan sudah habis dijual.

Ini bermakna, anda mungkin perlu bertindak awal dengan membuat tempahan sekiranya ingin menikmati keindahan gua itu tahun hadapan.

Process time in ms: 32