HORIZON

Kembara solo ke Pulau Samosir, Danau Toba

Kembara solo ke Pulau Samosir, Danau Toba


MASJID Raya Medan menjadi ikon kebanggaan Kota Medan.


KEMBARA kali ini agak berlainan daripada sebelumnya kerana saya berseorangan ke bumi Sumatera Utara, Indonesia.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Kualanamu, Medan hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Pastinya, Danau Toba menjadi pilihan saya untuk beristirehat kerana keindahan alam semula jadi yang sering menjadi bualan ramai.

Bagi yang pertama kali ke lokasi itu, jangan risau kerana sejurus tiba di lapangan terbang, pasti ada orang yang akan bertanyakan ke mana destinasi yang mahu anda tuju.

Bagi perjalanan menuju ke Danau Toba, anda boleh menaiki bas transit ke Terminal Amplas terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke jeti Tiga Raja, Parapat.

Perjalanan dari Terminal Amplas menuju ke Parapat mengambil masa lebih kurang lima jam. Di sini, anda boleh mendapatkan bot atau feri untuk ke Pulau Samosir di Danau Toba.

Bagi saya, anda boleh menikmati suasana seperti masyarakat tempatan selain dapat melihat keadaan sekitar jika menaiki bas.

Sepanjang perjalanan menuju ke Parapat, anda akan melalui kawasan berbukit dan kampung di pedalaman Medan.

Ia pasti menjadi satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan selain berpeluang berbual dengan beberapa orang penduduk tempatan.

Setibanya di Parapat, anda dapat menyaksikan panorama indah kawasan sekitar tasik Danau Toba.

Saya telah membuat tempahan untuk duduk di sebuah hotel di kawasan Pulau Samosir.

Sewa basikal

Sepanjang perjalanan ke Pulau Samosir dengan menaiki bot yang mengambil masa sekitar 45 minit, anda boleh merakam gambar sekitar kawasan tasik tersebut.

Terdapat penduduk yang menjual makanan dan minuman secara terus kepada pengunjung di atas bot atau bas.

Hotel-hotel di sekitar Pulau Samosir ini juga mempunyai keunikan tersendiri antaranya, seni bina yang mengekalkan ciri-ciri rumah suku kaum Batak.

Bagi mengisi masa petang, saya cadangkan anda menyewa basikal, berkayak ataupun bermain jet ski di kawasan itu.


BATU Persidangan tempat yang menjadi tarikan pelancong di Danau Toba.


Dengan kadar sewaan 100,000 rupiah (RM30), anda boleh menyewa skuter untuk meronda kawasan di sekeliling Pulau Samosir yang terletak di tengah-tengah Danau Toba itu.

Sepanjang perjalanan, anda pasti teruja melihat pemandangan kawasan sekeliling Danau Toba yang menghijau dengan langit dan lautan membiru.

Destinasi pertama yang wajib anda singgah ialah di Ambarita iaitu tempat terdapatnya Batu Kursi Raja Siallagan atau lebih dikenali Batu Persidangan.

Terletak kira-kira lima kilometer daripada kawasan hotel, pusat pelancongan itu menyajikan sesuatu yang menarik.

Setibanya saya di sana, beberapa kumpulan pelancong sedang bersiap-siap memakai kostum masyarakat Batak untuk menari tarian sigale-gale atau sambutan kedatangan.

Antara yang menarik ialah susunan batu-batu yang membentuk kerusi dan meja ibarat mahu mengadakan satu persidangan atau mesyuarat.

Menurut pemandu pelancong saya, kawasan persidangan atau perbincangan itu adalah untuk mengadili pesalah yang melakukan kesalahan atau melanggar adat.

Saya meneruskan perjalanan ke lokasi seterusnya yang terletak lebih 40km ke Pangururan.

Di sana terletaknya Air Terjun Efrata. Disebabkan oleh keadaan laluan yang berbukit, saya berpeluang berhenti di tepi jalan untuk merakamkan gambar pemandangan yang indah.

Setelah lebih dua jam perjalanan, saya tiba di kawasan Air Tejun Efrata.

Menurut penjaga kawasan air terjun itu, biasanya kawasan tersebut akan dipenuhi pengunjung pada hari Ahad atau cuti umum.

Saya melepaskan seketika kepenatan sebelum pulang ke Pulau Samosir. Bagi yang ingin berkunjung ke sana, jangan lepaskan peluang untuk mandi-manda.

Antara tempat menarik di kawasan ini ialah Menara Tele untuk menyaksikan keindahan Danau Toba dari aras tinggi dan kawasan air panas.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, saya singgah di Tomok iaitu sebuah lagi pelabuhan berdekatan dengan kawasan hotel.

Di sana, anda boleh mengenali masyarakat Batak melalui muzium. Jika anda ingin mendapatkan buah tangan atau cenderamata, ia adalah tempat paling sesuai.

Setelah dua malam di Pulau Samosir, keesokan harinya saya ke Berastagi iaitu sebuah lagi kawasan yang menjadi tumpuan pelancong.


SALAH satu resort menarik yang terdapat di Danau Toba.


Perjalanan ke sini mengambil masa lebih kurang tiga atau empat jam. Sebelum sampai ke Berastagi, pastikan anda singgah di Air Terjun Sipiso-Piso iaitu sebuah lagi tempat menarik di Sumatera Utara.

Air terjun setinggi 120 meter itu merupakan yang tertinggi di Indonesia. Bagi pengembara solo, anda boleh menaiki teksi untuk ke sana atau menaiki angkutan kota yang jauh lebih murah.

Restoran

Pasar Buah Berastagi merupakan antara destinasi popular kerana anda boleh mendapatkan buah-buahan segar dengan harga murah.

Taman Awam iaitu Bukit Kubu juga menjadi tumpuan ketika hujung minggu. Kembalinya dari Danau Toba dan Berastagi, pastikan anda bermalam di Medan.

Bagi yang mencari restoran dan kedai makanan, anda harus berkunjung ke Merdeka Walk di tengah kota raya Medan.

Daripada masakan tradisional hingga ke masakan Barat semua boleh dapatkan di sana. Usai makan malam, anda boleh berkunjung ke Menara Air di kota Medan antara mercu tanda Kota Medan.

Di Kota Medan ini, antara pengangkutan utama yang terdapat ialah beca dan angkutan kota iaitu van penumpang.

Kunjungan ke Medan pasti tidak lengkap jika anda gagal berkunjung ke Istana Maimun iaitu istana lama kesultanan Melayu Deli yang dibina sejak tahun 1888.

Rata-rata pengunjung yang datang ke sini akan menyarung busana tradisional Melayu Deli yang disewakan untuk mengambil gambar sebagai tanda kenang-kenangan.

Tidak jauh dari Istana Maimun itu berdiri teguh Masjid Raya yang turut menjadi ikon kebanggaan Kota Medan.

Masjid itu juga adalah peninggalan Kesultanan Melayu Deli yang dibina sejak tahun 1906.

Antara bangunan lama yang masih kekal sehingga kini ialah Kantor Pos Indonesia atau Pejabat Pos Indonesia di tengah Kota Medan.

Kota Medan dan Danau Toba merupakan destinasi yang pasti meninggalkan 1,001 kenangan buat saya. Insya-Allah, jika umur panjang, saya pasti akan datang semula ke lokasi ini.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 31