INFINITI

Earth Hour komitmen orang ramai lestari Bumi

Earth Hour komitmen orang ramai lestari Bumi


Earth Hour disambut selama 60 minit pada hari Sabtu terakhir setiap bulan Mac sejak tahun 2007.


PADA 25 Mac lalu, genap sedekad sambutan Earth Hour sejak dilancarkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) di Australia pada tahun 2007.

Acara yang diraikan pada hari Sabtu terakhir pada bulan Mac itu menyaksikan jutaan penduduk dan organisasi di 178 buah negara menutup lampu selama sejam mulai 8.30 malam hingga 9.30 malam. Malah, ia turut disambut di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Ribuan mercu tanda dan bangunan ikonik menyertai acara bergelap tersebut antaranya, bangunan pencakar langit Empire State, New York, Amerika Syarikat; Menara Eiffel di Paris, Perancis; Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur, Sydney Opera House, Australia serta Istana Buckingham dan Olympia London di Britain.

Tidak ketinggalan Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) seperti Acropolis di Athens, Greece di samping stadium bola sepak ternama seperti Liverpool dan Arsenal.

Mungkin ada yang mempersoalkan bagaimana satu tindakan yang paling mudah pada waktu agak terhad itu dapat membantu menyelamatkan Bumi pada masa depan?

Jurnal Penyelidikan Alam Sekitar yang diterbitkan April tahun lalu mengatakan, 97 peratus daripada saintis iklim bersetuju manusia bertanggungjawab secara langsung terhadap perubahan suhu dunia.

Perubahan iklim secara drastik dapat menjejaskan corak kehidupan warga Bumi. Penjagaan kesihatan akan lebih mencabar dalam suasana persekitaran tercemar ditambah situasi gelombang haba berpanjangan.

Disebabkan itu, diramalkan satu daripada enam spesies hidupan liar berdepan risiko kepupusan saban tahun akibat kemusnahan habitat.

Ramalan


WWF India terlibat secara langsung dalam usaha pemasangan panel solar di tiga desa di negara tersebut yang tidak mempunyai bekalan elektrik tahun lalu.


Pakar ramalan iklim dari Pejabat Meteorologi Pusat Hadley, Britian, Doug Smith berkata, secara purata dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2016 hingga 2020 mencadangkan corak ramalan cuaca menunjukkan peningkatan pemanasan Bumi.

“Begitupun, terdapat beberapa petunjuk melihat fenomena sejuk berkekalan di Lautan Selatan dan Atlantik Utara. Kebelakangan ini juga orang ramai beranggapan pemanasan global tampak perlahan dan ia akan berhenti. Itu tidak benar.

“Menurut data yang dikumpul, haba lautan meningkat setiap masa,” ujarnya seperti dilaporkan The Guardian baru-baru ini.

Earth Hour bukan sekadar sambutan simbolik yang berlaku pada satu hari. Sebaliknya, ia membawa pengertian mendalam dan sepatutnya dilihat daripada kerangka yang lebih meluas sekali gus meningkatkan rasa tanggungjawab setiap orang dalam menjaga Bumi.

Sebagai contoh di Argentina, Earth Hour telah membantu gerakan mendapatkan sokongan bagi mewujudkan kawasan perlindungan hidupan marin seluas 3.4 juta hektar sementara WWF India memasang 10 panel solar di tiga kampung yang tiada bekalan elektrik di negara itu.

Uganda pula berjaya mewartakan hutan Earth Hour pertamanya meliputi keluasan 2,700 hektar dan menanam kira-kira 500,000 pokok asli di kawasan tersebut.

Pengarah Eksekutif, Global Earth Hour, Siddarth Das berkata, sambutan itu bukan sekadar melihat berapa banyak tenaga yang dapat dijimatkan pada waktu tersebut, malah bertujuan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menjalani kehidupan yang mampan.

“Kami memulakan Earth Hour untuk menunjukkan kepada pemimpin bahawa perubahan iklim adalah isu besar dan orang ramai mengambil berat mengenainya kerana ia memberi impak kepada kehidupan mereka.

“Idea utamanya adalah untuk menunjukkan apakah pilihan dan tindakan yang diambil rakyat selepas sambutan Earth Hour membantu mengurangkan impak perubahan iklim demi kesejahteraan planet ini, hidupan liar dan generasi akan datang,” ujarnya.

Process time in ms: 63