RUANG

Santai, klasik pilihan Kafe Tujoh

Santai, klasik pilihan Kafe Tujoh

PAPAN tanda tertera perkataan Tujoh cukup mudah dilihat dari luar premis ini.


SELESAI sahaja meletakkan kereta di hadapan sebuah taman permainan, kru Jurnal berjalan kira-kira 50 meter sebelum tiba di kafe yang dicari.

Papan tanda tertera perkataan Kafe Tujoh daripada rona hitam dan putih pantas mencuri tumpuan tatkala tiba di hadapan sebuah premis terletak di Jalan 17/10, Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor.

Saat pintu dikuak, kru Jurnal disambut dengan alunan muzik jaz yang begitu santai dan menenangkan.

Selepas memperkenalkan diri, kru Jurnal mengambil tempat duduk bersebelahan dengan pintu masuk utama kafe sambil menunggu ketibaan pemiliknya untuk ditemu bual.

Jam menunjukkan pukul 3.30 petang, dan ketika itu keadaan kafe sudah mulai lengang sementelah waktu makan tengah hari sudah berlalu.

Pemilik kafe, Terrence Ong tiba lima minit kemudian dan mula membuka bicara tentang premisnya itu yang mula beroperasi hampir tiga bulan lalu.

“Kafe ini dibuka secara rasmi pada 7 Januari lalu dan sehingga kini menyajikan masakan fusion, pencuci mulut dan kopi.

“Bercerita tentang konsep kafe, saya sebenarnya tidak meletakkan satu konsep spesifik kerana tatarias Kafe Tujoh ini lebih kepada santai dan menenangkan.

Moden namun klasik

“Tarikannya mungkin kerana saya turut meletakkan beberapa unit barangan klasik seperti televisyen dan radio yang sudah berusia berpuluh-puluh tahun lamanya bagi memberi sedikit suntikan klasik,” ujar lelaki berusia 42 tahun itu dengan ramah.


RUANG penyediaan minuman dihias ringkas dan tidak terlalu sarat dengan dekorasi.


Jika dilihat, kafe itu cukup ringkas namun tetap mempunyai tarikannya tersendiri, sekali gus berjaya memikat hati pengunjung.

Bahagian luar kafe tersebut dicat dengan limpahan rona putih, manakala pintunya pula berwarna hitam bagi menyuntik kesenadaan dengan papan tanda yang juga menggunakan gabungan dua warna tersebut.

Bahagian lantainya pula adalah daripada material simen ringkas, sesuai dengan konsep moden dan santai yang cuba diketengahkan pemilik.

Ruangan kafe juga terang dan sebab itu, pemilik dilihat mengehadkan jumlah lampu yang digunakan bagi mencipta keseimbangan cahaya matahari dan lampu dalam kedai.

Menjengah ke kawasan terbuka di kafe tersebut, ia dihias kemas dengan beberapa unit sofa daripada rona biru terang bagi mengelakkan sudut kafe kelihatan suram.

Barang klasik

Di bahagian tengah pula, Terrence meletakkan sebuah rak kayu setinggi enam kaki yang dipenuhi dengan koleksi televisyen dan radio milik peribadinya.

“Saya dah keluarga sememangnya gemar mengumpul televisyen dan radio dari era 1970-an. Selain memiliki elemen nostalgia, ia juga cantik dan sesuai digunakan sebagai dekorasi.

“Ada pelanggan yang menyedari hakikat itu dan bermurah hati untuk menghadiahkan saya satu unit radio klasik yang turut diletakkan di kafe ini sebagai dekorasi,” jelas Terrence yang mengusahakan kafe itu bersama isteri dan seorang rakan kongsinya.


ANTARA menu istimewa yang disajikan (mengikut pusingan jam) adalah Fettucine Tom Yam berkrim, Mentai Glazed Salmon, Asian Beef Stroganoff yang dihidang bersama salad dan Wafu Hambagu.


Antara sudut yang paling mencuri tumpuan di kafe tersebut adalah tangga konkrit berpilin yang terletak di bahagian paling belakang.

Dicat dengan rona putih dan kelabu cair, tangga tersebut kelihatan mewah dan lain daripada yang lain.

Menurut Terrence, tangga tersebut sememangnya sudah berada di dalam premis itu semasa dia mula-mula menyewanya daripada pemilik asal.

“Tangga itu sudah wujud semasa saya mula-mula menyewa bangunan ini. Oleh kerana bentuknya yang klasik dan cantik, saya memilih untuk mengekalkannya di bahagian tersebut.

“Selain sebagai satu tarikan kafe, ia juga akan menghubungkan pengunjung ke tingkat atas bangunan yang akan mula dibuka tidak lama lagi,” ujarnya.

Tambahnya, idea bagi menata rias kafe tersebut tercetus daripada dirinya sendiri dan tidak terfikir untuk mengupah pereka hiasan dalaman memandangkan kosnya yang agak tinggi.

Idea sendiri

“Saya sudah lama mengimpikan untuk berkecimpung dalam industri makanan dan minuman dan sudah mencari beberapa lokasi yang sesuai untuk dijadikan kafe.

“Memandangkan sudah tahu konsep yang mahu ditonjolkan, saya fikir lebih baik merealisasikannya sendiri tanpa bantuan pereka hiasan dalaman,” jelasnya yang juga merupakan seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Tidak lokek berkongsi, Terrence berkata, kos menata rias keseluruhan premis itu memakan belanja kira-kira RM300,000.

Bagi pemilihan nama kafe pula, ujar Terrence, nombor asal premis tersebut adalah 617.

“Memandangkan angka enam dan satu apabila ditambah akan menjadi tujuh, saya akhirnya memilih untuk menamakannya sebagai tujoh.

“Begitu pun, bagi menjadikan ia kedengaran lebih klasik, perkataan tujuh dieja sebagai ‘tujoh’ kerana huruf ‘o’ cukup lazim digunakan dalam ejaan pada zaman dahulu,” jelas Terrence panjang lebar.

Struktur kafe seluas 174.2 meter persegi itu boleh memuatkan sehingga 90 orang pada satu-satu masa.

Process time in ms: 31