VARIA

Penjenayah makin licik memperdaya mangsa

Penjenayah makin licik memperdaya mangsa

KEWUJUDAN media sosial dan internet membuka jalan kepada penipuan sekiranya tidak berwaspada. – Gambar hiasan


SABAN hari ada sahaja kes penipuan yang dilaporkan dan mangsanya terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional serta cerdik pandai.

Ia bagaikan tiada kesudahan apabila penjenayah itu bijak mengatur langkah memperdayakan mangsa sehingga termakan tipu daya serta janji manis mereka.

Pada 15 Mac lalu, Kosmo! melaporkan, seorang wanita kerdil yang mendakwa anakanda Sultan Pahang dijatuhi hukuman penjara selama 74 bulan oleh dua Mahkamah Majistret di Ampang Jaya atas 53 pertuduhan menipu seorang doktor pakar bedah kosmetik membabitkan kerugian RM1.2 juta tiga tahun lalu.

Rohaida Yahlil, 41, didakwa atas 53 pertuduhan menipu Datuk Dr. Abdul Jalil Jidon, 60, dengan memperdaya beliau untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah Yang Amat Mulia Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah.

Tertuduh menggunakan alasan pembayaran cukai kepada Bank Negara bagi membolehkan wang masuk dari luar negara serta untuk kegunaan peribadi Sultan Pahang sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai seperti diminta.

Pakar Kriminologi, Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin berkata, modus operandi yang digunakan oleh wanita kerdil itu sangat berbeza dan unik.

“Dia menyamar sebagai anak sultan dan ia merupakan satu kekuatan untuk memperdaya serta meyakinkan mangsa agar menyerahkan wang tunai dalam jumlah yang sangat besar.

“Modus operandi yang diguna oleh pelaku itu berbeza dan baharu berbanding taktik penipuan sebelum ini menyebabkan mangsa mudah tertipu tanpa sedar dirinya telah diperdaya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambah Mohammad Rahim, sebenarnya ramai yang berpendidikan tinggi dan berstatus menjadi mangsa penipuan tetapi tidak berani tampil ke hadapan membuat laporan kerana risau nama mereka akan tercemar melainkan ia melibatkan kerugian besar.

Ujarnya, yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, dari sudut psikologi, pelaku mempunyai pemikiran yang tidak tepat iaitu pengherotan kognitif dan merasionalkan perbuatan itu dengan pelbagai alasan.

Tamak

“Pelaku merasakan semua orang menipu dan perbuatannya itu bukanlah masalah besar, malah dia hanya mempergunakan orang kaya yang tamak.

“Dia berasa tidak bersalah menipu kerana kurang upaya dari segi fizikal dan mempergunakan orang itu sekiranya dia cukup bodoh serta mudah diperdayakan,” jelasnya.

Tuturnya, penjenayah itu berani melakukan perbuatan tersebut kerana adanya peluang yang sangat baik dan menganggap taktik tersebut sukar dikesan, malah mangsa juga mungkin tidak akan membuat laporan polis kerana takut apabila ia melibatkan kerabat diraja.

Sebagai peringatan dan pencegahan, Mohammad Rahim menyarankan beberapa langkah yang boleh dipraktikkan bagi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa seperti jangan mudah terpedaya dan sentiasa mempunyai perasaan syak wasangka.

“Kita perlu faham penipu dan penjenayah sentiasa memikirkan cara terbaik untuk menipu mangsa, maka mereka juga akan memperbaharui modus operandi setiap masa.

“Selain itu, kita juga perlu peka bahawa dengan kewujudan media sosial dan internet, semua orang boleh menyamar serta merahsiakan identiti sebenar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, sudah menjadi lumrah, manusia mudah terlupa dan terpedaya walaupun kes-kes penipuan sering dipaparkan di media massa.

“Keghairahan manusia untuk mendapatkan sesuatu yang diimpikan membuatkan mereka sanggup mengambil risiko walaupun menyedari bakal ditipu dan menolak pemikiran logik akal.

“Begitupun, ada juga kes-kes yang melibatkan unsur pukau yang menyebabkan mangsa tidak sedar dan menyerahkan wang atau barangan berharga,” katanya.

Ujar Kartini, dalam apa jua keadaan, sikap waspada adalah sangat penting kerana penipu sangat bijak memperdayakan mangsa.

Rencana Utama!»

Jual lebih 300 pinggan mi sotong sehari

Trak makanan digunakan untuk mengangkut barangan dari rumah ke restoran dan menghantar tempahan makanan kepada pelanggan.

Stailo!»

Elemen fesyen dalam bidang hiasan dalaman

Delicado (tiga dari kanan) ketika melancarkan koleksi Baia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Varia!»

Peka perubahan sikap anak-anak elak dibuli

KAUNSELING perlu dilakukan untuk memulihkan semangat mangsa buli agar mereka lebih berkeyakinan. – Gambar hiasan

Process time in ms: 32