TERKINI

Duda dijel ugut, pukul wanita OKU

Duda dijel ugut, pukul wanita OKU

21/03/2017 12:52pm


Seorang duda dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut dan memukul seorang wanita orang kelainan upaya.


MELAKA - Seorang duda dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut dan memukul seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) pada dua minggu lalu.

Majistret Mohd. Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Lok How Wah, 41, yang membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah mengugut jirannya, Wong Yoke Ming, 34, yang merupakan seorang wanita OKU dengan mengeluarkan kata-kata "keluar dari kereta atau aku pukul kau sampai mati,".

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didapati telah menyerang mangsa sama dengan menumbuknya pada bahagian kepala dan bahu.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan How Wah kira-kira pukul 1 petang di Pangsapuri Laksamana Cheng Ho, Jalan Bukit Gedong di sini pada 10 Mac lalu.

Tertuduh juga didapati gagal mengemukakan kad pengenalan kepada pegawai polis untuk pemeriksaan kira-kira pukul 3.41 petang di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Mohd. Firdaus menjatuhi hukuman penjara selama tiga bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum. - K! ONLINE

Rencana Utama!»

Kaedah dorsal slit selamat, cepat sembuh

Di negara ini, kebiasaannya kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika berumur antara tujuh hingga 12 tahun. Gambar hiasan

Varia!»

Khidmat pertapa popular di internet

TOON (kiri) mengikat tali pelindung di anggota badan pelanggannya.

Process time in ms: 46