SUKAN

Mourinho mahu menang Liga Europa sebab pulangan lumayan

Mourinho mahu menang Liga Europa sebab pulangan lumayan


MOURINHO (kanan) menyembur air ke arah para pemainnya ketika aksi Manchester United menentang Middlesbrough di Stadium Riverside malam kelmarin.


MIDDLESBROUGH – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menegaskan, beliau lebih rela memenangi Liga Europa berbanding menamatkan sai­ngan Liga Perdana England di kedudukan keempat selepas menewaskan Middlesbrough 3-1 malam kelmarin.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Riverside itu, United memperoleh tiga gol menerusi Marouane Fellaini, Jesse Lingard dan Luis Antonio Valencia, manakala gol sagu hati tuan rumah dijaringkan oleh Rudy Gestede.

Ujar Mourinho, beliau gembira dengan kemenangan tersebut, namun menegaskan, kejuaraan Liga Europa lebih penting memandangkan ia menjanjikan pulangan lebih lumayan berbanding menamatkan saingan liga di kedudukan keempat.

“Kemenangan ini sangat penting kerana membolehkan kami bersaing merebut tempat keempat. Sebenarnya, saya lebih memilih untuk menjuarai saingan Liga Europa kerana ia menjanjikan slot pada Liga Juara-Juara, trofi serta peluang ber­aksi dalam Piala Super UEFA.

“Sekiranya kami gagal memenangi Liga Europa, kami perlu berjuang habis-habisan untuk menamatkan saingan liga di kedudukan keempat dan kami tampilkan semangat itu pada hari ini (kelmarin) dengan ketiadaan beberapa pemain utama,” kata Mourinho.

Terdahulu, bekas pengendali Chelsea itu menyatakan kegembiraannya memandangkan United memiliki dua pilihan bagi melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

“Kami ada banyak pilihan pada musim ini. Amat menakjubkan apabila kami me­langkah ke suku akhir Liga Europa serta hampiri kelompok empat teratas liga dalam suatu masa. Sekarang kami ada dua pilihan ke Liga Juara-Juara,” ujarnya.

Process time in ms: 31