SUKAN

Kim Swee mahu keputusan positif

Kim Swee mahu keputusan positif


SKUAD Harimau Malaysia perlu menang ke atas Filipina di Manila esok dalam misi untuk mengubah kedudukan pasukan negara dalam ranking dunia.


KETUA jurulatih Skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee memburu keputusan positif apabila skuad kebangsaan turun berdepan Filipina pada aksi sulung persahabatan antarabangsa kelas A di Stadium Memorial Rizal, Manila esok.

Beliau menegaskan, kemenangan ke atas skuad The Azkals itu penting dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan Malaysia yang menghuni tangga ke-161 dalam ranking FIFA pada bulan Mac.

“Ini perlawanan pertama kita pada tahun ini dan saya harap skuad negara dapat bermula dengan baik. Saya telah memaklumkan kepada para pemain bahawa keputusan perlawanan amat pen­ting dan mereka juga faham mengenai perkara tersebut,” kata Kim Swee ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang sebelum berlepas ke Manila semalam.

Pengendali kelahiran Me­laka itu bagaimanapun mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki seperti kerap kehilangan bola di kawasan tengah selain kelonggaran barisan pertahanan ketika skuad kebangsaan menang tipis 1-0 ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia pada aksi persahabatan di Komplkes Sukan Panasonic, Shah Alam, Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Kim Swee menegaskan, beliau akan te­rus menjalankan tugasnya selaku jurulatih kebangsaan walaupun kedudukannya dijangka berubah selepas pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diadakan serentak dengan Kongres Tahunan ke-53 badan induk itu, Sabtu ini.

“Kalau ikutkan, sudah tentu saya ingin menghabiskan kontrak saya bersama FAM, lagipun masih banyak lagi perkara yang belum di­selesaikan bersama pasukan kebangsaan.

“Apa sekalipun keputusannya nanti, saya harus menerimanya secara terbuka, jadi saya harap kedua-dua pihak (saya dan FAM) dapat berbincang dan saya pasti keputusan itu akan dibuat selepas kongres nanti,” kata Kim Swee.

Kontrak Kim Swee bersama skuad negara yang bermula pada Januari 2016 akan berakhir Januari 2018.

Process time in ms: 31