SUKAN

Chong Wei sah tidak beraksi di Terbuka India

Chong Wei sah tidak beraksi di Terbuka India


CHONG WEI membuat keputusan untuk tidak beraksi pada Terbuka India.


JAGUH perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sah tidak akan beraksi pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka India yang akan berlangsung di New Delhi bermula 28 Mac ini hingga 2 April depan.

Keputusan tersebut terpaksa dibuat bagi memberi laluan kepada pemain No. 1 dunia itu menjalani proses pemulihan memandangkan dia belum pulih 100 peratus daripada kecederaan MCL (Media Collateral Ligament).

Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock menjelaskan, Chong Wei akan terus mengikuti proses pemulihan dan anak didiknya itu akan mengalihkan fokus kepada persediaan menghadapi Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak bulan depan.

“Buat masa ini, kami akan fokus kepada proses pemulihan terlebih dahulu. Selepas itu, kita akan mula memberi tumpuan kepada Terbuka Malaysia. Keadaan lututnya sudah tidak sakit, namun perlu berwaspada bagi mengelakkan kecederaan tersebut berulang,” kata Seu Bock ketika dihubungi semalam.

Difahamkan, selain Chong Wei, beberapa nama besar termasuk pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Chen Long serta juara dunia lima kali, Lin Dan turut tidak menyertai kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai AS$350,000 (RM1.5 juta) itu.

Sebelum ini, Chong Wei hampir melupakan kejohanan Seluruh England (All England) apabila me­ngalami kecederaan MCL pada lutut kirinya selepas terjatuh ketika menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara bulan lalu.

Bagaimanapun, Chong Wei membuktikan kejaguhannya apabila menjuarai kejohanan badminton tertua di dunia itu buat kali keempat selepas menewaskan pemain muda China, Shi Yuqi biarpun tahap kecergasannya tidak berada pada tahap terbaik.

Terdahulu, pemain berusia 35 tahun itu memberi bayangan untuk tidak beraksi pada Terbuka India kerana kecederaan lutut yang dialami masih belum pulih, selain mahu fokus kepada persiapan untuk memburu gelaran ke-12 Terbuka Malaysia.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 31