HIBURAN

Zulin berani ambil risiko

Zulin berani ambil risiko


BERMULA sebagai pelakon, kemudian penyampai radio, kini Zulin Aziz mencuba nasib sebagai penyanyi.


TIADA sedikit perasaan bimbang yang terlintas dalam kotak fikiran penyampai radio Suria FM, Zulin Aziz sewaktu mahu merakamkan single perdananya, Terbiar sekitar tahun lalu.

Menyedari hakikat bahawa lagu ciptaan Aiyad Sakti dan Ijoo Omar itu barangkali tidak dimainkan di stesen radio lain, Zulin atau nama lengkapnya, Farah Azleenda Abd. Aziz bagaimanapun tidak gentar dengan risiko tersebut.

Menurut Zulin, 28, penerbitan single Terbiar dianggap sebagai hadiah buat peminat. Lantas, bekas peserta program realiti Pilih Kasih itu tidak menyasarkan sebarang fokus terhadap buah tangan pertamanya.

“Saya tidak kisah jika lagu ini enggan dimainkan oleh stesen radio lain dan tidak memasuki carta lagu-lagu popular. Alasan saya mudah, peminat zaman sekarang tidak lagi seperti dahulu yang perlu menunggu lagu seseorang penyanyi dimainkan di radio.

“Jika mereka mahu mendengar lagu saya, mereka boleh terus mendapatkannya di iTunes atau mendengar secara strim menerusi Spotify dan beberapa platform digital lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Terbiar di Warner Music Malaysia, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Zulin, syarikat radio tempatnya bertugas iaitu Suria FM juga memberi sokongan terhadap percubaannya untuk bergelar penyanyi.

“Saya berasa terharu apabila bos-bos besar di Suria FM memberi sokongan penuh kepada saya.

“Biarpun tidak seberapa tetapi ia memberi semangat untuk saya berusaha dan memperbaiki mutu nyanyian pada masa depan,” ujar Zulin yang turut menerima kunjungan daripada beberapa penyampai radio Suria FM seperti Halim Othman, Fizi Ali dan DJ Lin pada hari pelancaran singlenya.

Bercakap mengenai lagu Terbiar, idea untuk penghasilan single tersebut muncul selepas komposer, Aiyad dan Ijoo mendengar Zulin menyanyi di sebuah pusat karaoke.

“Sejak menyertai Pilih Kasih, saya memang ada memasang niat untuk menyanyi. Namun pada waktu itu, saya berasa agak keberatan kerana bimbang dilabel syok sendiri.

“Justeru, apabila menerima tawaran daripada Aiyad dan Ijoo, saya terus bersetuju,” katanya.

Menyentuh mengenai proses rakaman, lagu tersebut berjaya disiapkan selepas setahun melalui pelbagai proses penambahbaikan.

Tutur Zulin, pelbagai perkara dititikberatkan oleh komposer dan salah satunya adalah gaya nyanyian.

“Agak lama masa diambil kerana tabiat saya yang gemar meniru suara orang lain telah terbawa-bawa sewaktu merakamkan lagu ini.

“Selepas beberapa kali melalui proses memasukkan vokal, mereka akhirnya berpuas hati,” ujar Zulin sambil menyifatkan lagu berentak bossa tersebut sebagai karya yang agak santai dan mudah dinikmati setiap lapisan umur.

Beralih mengenai perkembangan terkininya, Zulin mengakui sedikit sibuk memandangkan portfolio seninya kini bertambah dengan profesion baharu sebagai penyanyi.

“Tidak dinafikan, jadual saya sedikit sibuk. Selain mengendalikan slot pagi di Suria FM, saya juga ada komitmen memenuhi undangan untuk mengacarakan majlis-majlis tertutup.

“Ditambah dengan penerbitan single sulung, saya perlu lebih teliti dalam mengaturkan rutin harian agar tidak mengganggu tugas sebagai penyampai dan tawaran kerja sampingan,” katanya menutup perbualan.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 31