HIBURAN

Kesinambungan cinta, seni Alyah

Kesinambungan cinta, seni Alyah



TEMPOH hampir empat tahun melayari bahtera rumah tangga telah banyak mendewasakan hati dan kehidupan penyanyi yang terkenal dengan lagu Sesal Separuh Nyawa, Datin Noor Hasliah Abu Hasan atau lebih dikenali sebagai Alyah.

Bermula dengan pernikahan secara diam-diam dengan pengarah muzik terkemuka tempatan, Datuk Ramli MS pada Mac 2013, hubungan mereka pernah dilanda beberapa siri kontroversi sehingga mengecohkan seluruh industri hiburan tempatan.

Itu kisah lama, ketika usia perkahwinan masih baharu dan jiwa wanita Alyah masih belum belajar menyesuaikan diri dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Dia mengakui, situasi dan pengalaman pahit yang dilalui telah membuka mata serta fikirannya untuk lebih terbuka, malah semakin tenang berdepan asam garam menjadi pasangan suami isteri.

“Bagi saya, beberapa siri kejadian tidak manis yang pernah terjadi sepanjang perkahwinan membuatkan saya belajar daripada kesilapan dan kelemahan diri sendiri.

“Lagipun, tiada guna mengenang perkara yang sudah lepas kerana ia sudah berlaku. Apa yang penting, saya dan suami sama-sama cuba menjadi lebih baik. Kehidupan kami juga lebih bahagia sekarang,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Fashion, Health & Beauty Exporia di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, baru-baru ini.

Tambah wanita kelahiran Gelang Patah, Johor Bahru itu lagi, walaupun secara zahirnya mereka tidak kelihatan mesra atau romantis sebagaimana pasangan suami isteri lain tetapi situasi tersebut tidak bermakna mahligai cinta mereka tidak dibumbui bahagia.

Cara mereka menunjukkan kasih sayang dan sokongan antara satu sama lain berbeza. Mereka tidak setiap masa memuat naik gambar di laman sosial atau sering menemani antara satu sama lain ke majlis-majlis hiburan.

“Saya sudah diajar berdikari sejak awal kami bersama, jadi ia sudah menjadi tabiat untuk bekerja sendirian walaupun sesudah bernikah.

“Jika ada majlis yang memerlukan kami hadir bersama, ia tidak menjadi masalah. Cuma, biasanya Ramli akan bertolak dulu kerana saya mengambil masa untuk bersiap dan membawa banyak barang yang tidak sesuai dimasukkan dalam kereta dua pintu miliknya,” cerita Alyah sambil bergurau.

Zuriat


SENTUHAN RAMLI MS: Single terbaharu Alyah bertajuk Menunggu Bayangmu merupakan satu-satunya single penyanyi berkenaan yang menerima sentuhan muzik daripada suami sendiri, iaitu Ramli MS.


Saat soalan mula menyentuh tentang perancangan keluarga, wajah Alyah masih tenang dan mampu tersenyum sambil menghela nafas panjang. Dia seolah-olah mencari sedikit kekuatan untuk menjawab soalan berhubung anak.

Tiada istilah merancang, itu jawapan juara Bintang Hiburan Minggu Ini tersebut berkenaan zuriat. Selama empat tahun berkahwin, sehingga ke hari ini, mereka belum dikurniakan rezeki untuk memperoleh anak sendiri.

Menurut Alyah, pada usianya yang sudah mencecah 36 tahun manakala suami, 58, mereka sememangnya mahukan anak tetapi peluang serta rezeki belum tiba.

Alyah bagaimanapun reda dan enggan membebankan fikiran apabila sering ditanya tentang anak. Dia sebaliknya mahu terus berfikiran positif dan tidak putus berdoa kepada Allah S.W.T agar anugerah terindah itu tiba jua ke pangkuannya kelak.

“Awal dahulu, memang saya akui agak tertekan sehingga sering bertanyakan diri sendiri, kenapa belum dikurniakan anak. Saya tidak mahu lagi situasi itu berlaku kerana ia seolah-olah saya mempersoalkan kerja Tuhan.

“Saya dan suami sudah membuat pemeriksaan kesihatan dan ternyata kami berdua sihat tetapi mungkin belum ada rezeki. Jadi, saya hanya mampu bersabar dan berdoa sahaja,” tuturnya lagi.

Tambah Alyah, dugaan belum dikurniakan anak tidak sehebat ujian yang dilalui ketika awal berkahwin. Atas alasan itu, dia masih bersyukur jodohnya dengan Ramli MS masih bertahan.

Alyah juga dalam proses melatih diri untuk menjadi hambaNya yang reda dan tidak merungut, meskipun ada antara doanya termasuk soal zuriat belum dikabulkan Ilahi.

“Saya mahu menjadi hamba yang ikhlas.

“Hampir semua orang tahu peristiwa perit yang pernah saya lalui dahulu. Sekarang, saya hanya mahu belajar bersyukur dan terima seadanya apa yang ditentukan Tuhan,” jelasnya lagi.

Muzik


LALI: Empat tahun mendirikan rumah tangga dengan maestro muzik, Ramli MS, Alyah sudah lali dengan pandangan umum tentang hubungan mereka yang tidak kelihatan romantik sebagaimana pasangan lain.


Realitinya Alyah merupakan isteri kepada pengarah muzik tersohor, Ramli MS. Namun, menurut penyanyi yang sinonim dengan lagu berirama balada itu, dia tidak pernah menerima layanan istimewa apabila melibatkan kerja, khususnya dalam bidang muzik daripada suami sendiri.

“Barangkali, ramai yang berpendapat saya sangat bertuah kerana bergelar isteri kepada maestro muzik tersohor Malaysia.

“Saya masih seperti dahulu, menyelesaikan kerja-kerja rakaman dan apa sahaja yang berkaitan single tanpa bantuan istimewa daripada sesiapa,” katanya.

Sungguhpun tidak menerima bantuan daripada suami untuk menerbitkan muzik, terdapat sebuah lagu Alyah yang struktur muziknya disusun oleh Ramli MS.

Lagu hasil ciptaan Adi 6ixth Sense itu juga mempunyai kisah menarik di sebalik penerbitannya.

“Single Mengejar Bayangmu yang baru sahaja dipasarkan awal tahun ini merupakan satu-satunya lagu dengan susunan muzik oleh Ramli MS. Menariknya, lagu tersebut telah siap disusun muziknya sekitar enam tahun lalu iaitu sebelum gosip antara saya dan suami diperkatakan umum.

“Saya mengambil masa yang agak lama untuk memasarkan Menunggu Bayangmu kerana situasi tidak mengizinkan pada waktu itu. Namun, selepas segalanya kembali reda, saya memutuskan tahun ini adalah waktu yang paling sesuai untuk memasarkan lagu tersebut,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terkini Alyah juga akan melancarkan single terbaharunya, Mengapa Harus Aku tidak lama.

“Single tersebut sungguh istimewa kerana ia menampilkan penyanyi Farawahida sebagai rakan duet.

“Selain itu, saya juga diberi kepercayaan untuk menulis lirik bagi lagu ciptaan Alfie Alwi itu,” katanya yang juga sedang merancang sebuah lagi single baharu bertajuk Jutaan Purnama tidak lama lagi.

Rencana Utama!»

Sultan Muhammad V raja berjiwa rakyat

PELANTIKAN Sultan Muhammad V (depan kanan) sebagai Yang di-Pertuan Agong merupakan keputusan sebulat suara Majlis Raja-Raja.

Process time in ms: 47