DUNIA

Dubai bina loji solar bekal elektrik kepada 50,000 rumah

Dubai bina loji solar bekal elektrik kepada 50,000 rumah


GAMBAR menunjukkan sebahagian daripada Taman Solar Mohammed bin Rashid Al-Maktoum di Dubai, UAE. - AGENSI


DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) – Dubai semalam selesai membina sebuah loji jana kuasa solar yang boleh membekalkan tenaga elektrik kepada 50,000 buah rumah sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menjana tiga perempat daripada tenaga negara menggunakan sumber yang boleh diperbaharui menjelang tahun 2050.

Loji 200 megawatt itu me­rangkumi kawasan seluas lebih 4.5 kilometer persegi di padang pasir dan melibatkan penggunaan kira-kira 2.3 juta panel solar.

Ia adalah fasa kedua Taman Solar Mohammed bin Rashid Al-Maktoum yang dijangka dapat menjana 1,000 megawatt tenaga elektrik menje­lang tahun 2020, kata Pihak Berkuasa Elektrik dan Air Dubai (DEWA).

Fasa kedua itu yang menelan kos AS$326 juta (RM1.4 bilion), dibina oleh sebuah konsortium yang disertai firma Arab Saudi, ACWA Power dan TSK dari Sepanyol.

Ketua DEWA, Saeed Al-Tayer berkata, taman solar itu akan menjual tenaga kepada syarikat utiliti awam.

“Projek ini merupakan projek tenaga solar terbesar dan pertama seumpamanya di rantau ini (Arab).

“Kerajaan bersiap sedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sumber minyak melalui strategi yang jelas termasuk pelaburan dalam loji jana kuasa menggunakan pelbagai teknologi solar,” kata Saeed.

Fasa pertama taman solar itu siap pada 2013 dengan dilengkapi 152,000 panel solar yang menghasilkan 13 megawatt tenaga elektrik.

DEWA berkata pada Disem­ber tahun lalu bahawa fasa kedua projek itu mencatatkan rekod dunia untuk tenaga solar murah pada harga AS$0.056 (25 sen) untuk satu kilowatt jam.

Dubai merupakan sebahagian daripada UAE yang kaya dengan minyak, namun wilayah itu mempunyai sumber minyak yang sedikit.

Sebahagian besar daripada pengeluaran minyak mentah UAE tertumpu di Abu Dhabi. – AFP

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 31