VARIA

Beralih kepada makanan organik untuk sihat

Beralih kepada makanan organik untuk sihat


PEGAWAI Jabatan Pertanian selalu turun melakukan pemantauan di ladang organik.


GAYA pemakanan banyak menyumbang kepada masalah obesiti dan ia juga dikenal pasti sebagai salah satu faktor risiko diabetes serta sakit jantung dalam kalangan rakyat negara ini.

Kepelbagaian resipi makanan yang enak di negara ini menyebabkan seseorang itu sukar untuk menolak daripada menikmati keseronokan makanan tersebut.

Salah satu cara yang paling mudah untuk menghindari dan mengurangkan faktor serta risiko ini ialah dengan cara menukar kepada makanan organik serta memperbanyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet harian.

Namun, makanan organik masih terlalu asing bagi masyarakat Malaysia.

Pendedahan mengenai makanan ini masih kurang jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia.

Makanan organik bukan sahaja boleh mengubah gaya hidup dan kesihatan seseorang tetapi mampu menyelamatkan bumi daripada terus tercemar dengan bahan kimia.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) khususnya Jabatan Pertanian (DOA) sangat prihatin dan menggalakkan penghasilan produk organik. Mereka memberi pengiktirafan kepada pengusaha ladang tanaman organik dengan mengeluarkan sijil-sijil myOrganic.

Ladang organik merupakan ladang yang bebas daripada penggunaan racun makhluk perosak dan bahan kimia sintetik sepanjang proses pengeluaran tanaman.

Ladang organik menjalankan aktiviti pertanian dengan mengaplikasikan teknologi pertanian, menggunakan kawalan perosak dan penyakit yang menggabungkan beberapa cara kawalan seperti mekanikal, biologi serta secara semula jadi.

Bebas racun


LADANG organik merupakan ladang yang bebas daripada penggunaan racun perosak.


Kesedaran tinggi untuk memastikan produk makanan yang dihasilkan itu bebas daripada racun perosak dan pencemaran sisa baki kimia juga antara faktor penanaman secara organik yang dijalankan oleh sesetengah petani di Malaysia.

Biarpun menghadapi kesukaran dalam melaksanakan tanaman secara organik ini, ia tidak mematahkan semangat sesetengah petani yang berasakan pentingnya mengeluarkan produk makanan selamat untuk pengguna.

Walaupun harga pasaran bagi produk dihasilkan daripada organik agak mahal, ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat yang mementingkan penjagaan kesihatan.

Kejayaan menjalankan projek tanaman sepenuhnya secara organik merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh para petani yang mengamalkan penanaman secara organik.

Penanaman secara organik berskala besar memerlukan pemerhatian dan pemantauan yang penuh dalam proses pengeluaran produk.

Daripada pemilihan kawasan, penyediaan tanah, baja sehinggalah penuaian hasil perlu sentiasa dilaksanakan dengan betul dan teliti agar hasil tanaman yang dituai mencapai piawaian sepatutnya.

Pengeluaran hasil tanaman organik ini mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran.

Pengguna yang mengetahui akan kepentingan makanan yang selamat untuk dimakan akan memilih makanan organik sebagai menu penting dalam kehidupan.

Di pasaran, permintaan produk makanan organik ini sangat mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kini yang mementingkan kesihatan.

Selain produk tanaman organik yang segar, ia juga menjadi bahan asas dalam penghasilan sesuatu produk kesihatan seperti kapsul kesihatan, gel rawatan dan sebagainya.

Pengiktirafan


CENDAWAN di tanam secara organik di Seven Star Agriculture di Semenyih, Selangor.


Pengeluaran tanaman organik ini juga bukan sahaja mendapat permintaan tinggi dalam pasaran di tempatan tetapi di luar negara.

Antara ladang-ladang organik yang berjaya mengusahakan dan mendapat pengiktirafan sebagai pengeluar serta pengusaha organik ialah Seven Star Agriculture dan Ladybird Organic Farm.

Kedua-dua pengusaha ini mengeluarkan tanaman cendawan dan sayur-sayuran di Semenyih, Selangor yang memasarkan produk mereka di sekitar Lembah Klang.

Selain itu, Pink Energy Sdn. Bhd. juga berjaya mengeluarkan keperluan sayuran organik di sekitar Yan, Kedah; Sri Cemerlang Vege di Seremban, Negeri Sembilan dan Pusat Pembangunan Komoditi Melor, Kelantan.

Process time in ms: 31