VARIA

Budaya kemas, angkat dan buang lepas makan

Budaya kemas, angkat dan buang lepas makan

KAWASAN medan selera juga sering tidak dijaga kebersihannya oleh masyarakat kita.


KITA sering dimomok-momokkan dengan ‘kejahatan’ masyarakat Barat. Budaya Barat juga kerap diterjemahkan sebagai ‘kurang sesuai’ untuk masyarakat di negara ini.

Budaya seks bebas, mabuk, menghisap dadah, berpakaian mencolok mata, melantunkan kata-kata kesat dan pelbagai lagi perlakuan negatif sering disinonimkan dengan mereka.

“Jangan terikut sangat budaya Barat, tiada yang elok,” kata majoriti rakyat di negara ini.

Ya, tidak pula menafikan mana-mana budaya serong dan mampu memesong akhlak wajar ditentang atau ditolak bulat-bulat.

Namun, mengapa perlu meniru yang jahat sedangkan banyak lagi yang baik boleh diteladani?

Pernahkah melihat mat saleh mengemas meja sendiri, angkat talam, lap meja dengan tisu dan buang sampah serta sisa makanan dalam tong yang disediakan selepas makan di mana-mana restoran?

Banyak lagi nilai murni yang diamalkan mereka, yang pastinya langsung tidak menjadi budaya dan amalan di Malaysia.

Contohnya, memastikan tandas awam bersih dan kering selepas digunakan, meletak semula troli pasar raya di tempat yang disediakan selepas digunakan, tidak merokok di tempat awam, memberi peluang orang keluar daripada tren terlebih dulu.

Kesusilaaan


MENINGGALKAN pinggan dan sisa makanan terutamanya di restoran yang mengamalkan konsep layan diri boleh dikatakan sikap majoriti rakyat Malaysia.


Bukan sahaja masyarakat Barat seperti di Eropah dan Britain, negara-negara maju lain seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura lebih keterhadapan dalam kesusilaan dengan rakyatnya menuju ke arah mentaliti kelas pertama.

Kita yang kononnya masyarakat yang penuh santun dan adab pula tidak mengerti mengemas meja sendiri yang dikotorkan selepas makan.

“Kan ada tukang cuci, ada tukang kemas, buat apa mereka dibayar gaji, kalau aku yang nak kemas sendiri.”

Itu antara pemikiran sesetengah anggota masyarakat kita.

Meninggalkan pinggan, tisu kotor, sampah dan segala sisa makan di atas meja selepas perut kenyang terutamanya di restoran makanan segera, medan selera atau kafe yang mengamalkan konsep layan diri boleh dikatakan sikap majoriti rakyat Malaysia.

Itu belum lagi meja bersepah dan makanan berterabur bagaikan tongkang pecah dan kemudian ditinggalkan begitu sahaja.

Wakaf atau bangku rehat di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) turut menerima nasib yang serupa.

Kita juga menganggap merokok di tempat makan sebagai sesuatu yang lazim walaupun ia kurang menyenangkan kepada individu yang lain.

Kita tidak kisah dengan perokok yang selamba membuang abu dan puntung rokok atas meja atau lantai. Malah, ada yang meninggalkannya di atas pinggan mangkuk.

Sedihnya, perkara seperti ini sudah dianggap lumrah. Lebih menyedihkan, mana-mana individu yang rela membersihkan meja sendiri pula dipandang sinis dan kadang-kadang ditertawakan.

Mungkin kerana sudah menjadi kebiasaan selepas makan di mana-mana tempat sekalipun, kita meninggalkan semuanya di atas meja atau campak ke lantai meskipun tong sampah serta tempat letak pinggan mangkuk hanya beberapa langkah daripada kita.

Dalam otak kita, kerja mengemas meja bukan tanggungjawab kita tetapi tanggungjawab petugas restoran atau tukang cuci yang dibayar gaji.

Benar, ada pekerja yang akan membersihkan tetapi di mana ketamadunan kita sebagai manusia? Memang kita bayar bagi makanan itu tetapi adakah itu lesen besar untuk kita menjadi pengotor dan pemalas?

Jika anda boleh melayan diri anda dengan membuat pesanan sendiri dan mengangkat dulang makanan ke meja sendiri, mengapa tidak mengutip sisa makanan yang anda sendiri sepahkan.

Bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai sensitiviti dan mentaliti terpuji, mungkin kita sentiasa perlu diingatkan meskipun masing-masing sudah punya akal.

Lihat sahaja gedung kelengkapan rumah dari Sweden, IKEA yang terkenal dengan bebola dagingnya. Meskipun sudah ditampal notis besar yang meminta dulang dan pinggan diletakkan di sudut khas selepas makan, berapa kerat sahaja yang melakukannya.

Budaya

Di dinding, IKEA menyatakan, mereka dapat meminimumkan harga makanan dengan cara tidak perlu menggajikan ramai atau membayar pekerja yang digajikan khas untuk mengemas meja makan sekiranya pengguna sendiri dapat berbuat demikian.

Namun, bukan sahaja IKEA tetapi mana-mana restoran makanan segera terpaksa akur kepada budaya sesetengah rakyat Malaysia yang terlampau sukar hendak membudayakan tabiat ini.

Kalau masyarakat Barat yang kononnya ‘jahat’ boleh buat, tidakkah itu memberikan tamparan buat kita masyarakat yang santun dan berbudi bahasa?

Di rumah pun selepas makan, kita angkat pinggan dan kemas meja sendiri bukan? Maka kenapa tidak kekalkan sikap seperti itu ketika berada di luar? Ia juga melambangkan kita sebagai anggota masyarakat yang berpekerti mulia.

Selain para pekerja, individu yang hendak menggunakan meja selepas itu pun pasti gembira.

Jadi, selepas ini kita mulakan tabiat kemas, angkat dan buang. Tidak susahkan? – BERNAMA

Rencana Utama!»

Lubuk barangan terpakai berkualiti dari Singapura

PRODUK- PRODUK elektrik dan elektronik terpakai sering menjadi perhatian pelanggan di Pasar Karat Rengit.

GenK»

Minat menulis sejak kecil

Hobi menulis pada masa lapang akhirnya membawa Mikael Sahaja dan Aneff Bahrom sebagai penulis muda genre alternatif apabila idea kreatif mereka dijilidkan menjadi novel.

Varia!»

Gabungan tiga generasi artis seni

Mahzurah (kanan) bergambar bersama rakan-rakan seperjuangan yang menjayakan pameran Simula di Galeri B Artistic, Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 16