RENCANA UTAMA

Terjun udara bebas tertutup di Warsaw

Terjun udara bebas tertutup di Warsaw


TERJUN bebas dari pesawat memerlukan kos yang tinggi.


Mengenakan pakaian sut ketat berwarna putih, lengkap berserta topi keledar, Maja Kuczynska, 17, berputar di udara sebelum meluncur laju sambil membuat aksi gimnastik penuh elegan.

Sambil terapung di udara, gayanya itu tidak ubah seperti seorang penari balet dengan membuat aksi gelek dan libas belakang (backflip) mengikut koreografi akrobatik.

Persembahan ekspresif dua minit itu mencuri perhatian orang ramai yang duduk menyaksikan di bahagian luar terowong udara sambil disusuli sorakan gamat.

Kuczynska yang masih menuntut di salah sebuah sekolah tinggi di Poland merupakan salah seorang daripada 20 peluncur terbaik dalam pertandingan terjun udara bebas tertutup antarabangsa yang kemudiannya menjadi pelopor sukan gaya bebas solo tersebut di Warsaw.

“Sukan terbang ini lebih menumpukan pendekatan artistik peluncur.

“Disebabkan sukan ini masih belum begitu popular, jumlah jurulatih masih tidak banyak menyebabkan latihan saya terpaksa bergantung pada disiplin yang ketat semata-mata,” tutur gadis bertubuh langsing itu ketika ditemui AFP semasa sesi latihan di terowong udara menegak Warsaw, Poland.

Terowong udara menegak merupakan kolum mengandungi laluan angin berdiri setinggi 20 meter yang pada asalnya dicipta bagi tujuan ujian aerodinamik.

Ia kemudiannya dijadikan pusat rekreasi, sekali gus meraih populariti hampir sedekad lalu oleh para penerjun udara.

Golongan tersebut memilih untuk ke terowong udara tersebut kerana disifatkan sebagai alternatif paling selamat berbanding membuat terjunan dari pesawat.

Difahamkan, kelajuan angin dalam terowong itu boleh mencecah sehingga 300 kilometer sejam.

Biarpun melihat aksi penerjun bebas tertutup dalam terowong itu nampak mudah, hakikatnya ia memerlukan tenaga yang kuat, fleksibiliti dan juga ketepatan kerana perlu menongkah arus angin yang laju.

Menariknya, tiada had bagi kebebasan untuk beraksi secara kreatif.

“Membuat aksi terjunan bebas tertutup sangat berbeza dengan meluncur ais kerana setelah sekian lama, aksi luncur ais tetap sama dan tidak ada pembaharuan.

“Bagaimanapun, beraksi di dalam terowong angin memberi peluang kepada penerjun untuk mencipta aksi-aksi baharu yang sebelum ini tidak pernah disaksikan,” katanya yang menjadi pereka disiplin sukan terjunan bebas tertutup.

Kuczynska memenangi pingat gangsa dalam sukan solo gaya bebas dalam pertandingan terjunan bebas tertutup, The Wind Games 2017 bulan lalu di Empuriabrava, Sepanyol.

Penilaian dibuat berdasarkan skor hasil aksi-aksi yang dilakukan di dalam terowong angin.

Persembahan bertenaga Kuczynska mengikut rentak koreografi lagu bertajuk Powerful tular di laman Facebook dengan lebih 30.5 juta tontonan dalam masa hanya sebulan.

Dia ditewaskan oleh penerjun gaya bebas sensasi dari Singapura, Kyra Poh, 14, yang memperoleh pingat emas dalam kategori gaya bebas dan juga pemenang pingat perak dari Republik Czech, Jakub Harrer.

Populariti

Biarpun sukan yang dipertandingkan pada peringkat antarabangsa itu masih ‘hijau’, pengurus terowong udara Fly Spot, Bartosz Wiecek berpendapat, sukan tersebut wajar dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.

“Disiplin dalam sukan terjunan udara tertutup merupakan satu-satunya sukan aerobatik yang mencapai kriteria dalam disiplin Sukan Olimpik.

“Ia sama seperti sukan papan luncur salji yang begitu bebas dan hanya dipertandingkan secara underground.

“Akhirnya, perjanjian telah dicapai dan ia menjadi salah satu acara Sukan Olimpik disebabkan populariti sukan itu yang semakin meningkat,” katanya.

Kewujudan terowong angin seperti Fly Spot di Warsaw, Poland semakin diterima masyarakat setempat kerana ia lebih murah, selamat dan mudah berbanding membuat terjunan udara dari pesawat.

Bahkan, tiada had umur bagi individu yang mahu membuat terjunan udara tertutup di terowong angin tersebut.

Ia menyebabkan peningkatan jumlah penerjun serta atlet profesional dalam kalangan kanak-kanak sejak sukan tersebut mula dipopularkan sekitar enam tahun lalu.

Kuczynska akan bersama seorang atlet penerjun udara profesional kanak-kanak berusia sembilan tahun, Olga Lubak untuk Kejohanan Terjunan Udara Tertutup Dunia di Montreal, Kanada, Oktober nanti.

Rutin latihan intensif sedang dilakukan Olga selama berjam-jam lamanya di dalam terowong udara untuk memantapkan aksinya.

“Saya sangat tertekan kerana takut mendapat tempat terakhir dalam kejohanan itu tetapi saya yakin ia tidak akan berlaku,” katanya sebelum meluncur membuat aksi terbang gaya bebas. – AFP

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47