GENK

Sasar tawan gunung di Kepulauan Jawa

Sasar tawan gunung di Kepulauan Jawa



“BERDEPAN dengan trek yang curam dan cuaca tidak menentu antara pengalaman menyeronokkan ketika mendaki gunung.

“Setiap cabaran yang dihadapi untuk sampai ke puncak gunung itu melatih mental dan fizikal saya menjadi lebih kuat,” jelas Syaza Adilah Mohamad Roslan, 26.

Wanita bertubuh kecil, Syaza Adilah yang lebih mesra dipanggil Adela antara generasi muda yang obses dengan aktiviti mendaki gunung.

Jika ada waktu terluang, dia pasti pergi ke mana-mana gunung di negara ini untuk melakukan aktiviti yang sudah sebati dengan jiwanya itu.

Bercerita mengenai minatnya itu, gadis dengan ketinggian 151 sentimeter tersebut berkata, dia mula terlibat dengan aktiviti mendaki gunung ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketika di universiti, dia menyertai Kelab Rekreasi UiTM Malaysia (Kresma) dan kelab itu sering menganjurkan pelbagai aktiviti luar.

“Saya mencuba kesemua aktiviti yang dianjurkan kelab itu, antaranya berbasikal, memanjat tembok batu, berkayak dan mendaki gunung.

“Dalam banyak-banyak aktiviti yang disertai, saya berasakan mendaki gunung lebih sesuai dengan diri saya,” jelasnya.

Sejak itu, dia aktif mendaki gunung dan Gunung Rajah di Pahang menjadi cabaran pertama yang dilaluinya.

Jelas Adela, ketika mendaki gunung itu, di pertengahan jalan dia hampir berputus asa kerana terlalu penat.

“Saya kerap bertanya rakan-rakan bilakah akan sampai ke puncak gunung? Apabila sampai ke puncak gunung, rasa penat terus hilang setelah melihat pemandangan yang sangat menarik.

“Bila sampai di puncak, baru saya sedar bahawa tidak semua orang mampu menikmati keindahan tersebut kecuali mereka yang sanggup mencabar diri untuk mendakinya,” jelasnya yang mempunyai berat 43 kilogram.

Berkongsi


AKTIVITI mendaki gunung membolehkan seseorang itu menambah kenalan.


Pengalaman sulung mendaki Gunung Rajah telah mengajarnya survival hidup dalam hutan seperti berkongsi makanan dan air serta bekerjasama antara satu sama lain sepanjang perjalanan atau ketika memasang khemah.

Sejak itu, Adela mula jatuh cinta terhadap aktiviti mendaki gunung.

Sehingga kini, Adela yang berasal dari Gombak, Kuala Lumpur telah menawan banyak puncak gunung di seluruh Malaysia.

Antaranya, Gunung Tahan dan Gunung Yong Belar (Pahang), Gunung Korbu, Gunung Gayong, Gunung Yong Yap (Perak), Gunung Ulu Sepat, Gunung Chamah (Kelantan) dan Gunung Kinabalu (Sabah).

Berbeza dengan sesetengah pendaki, Adela gemar mengulangi pendakian di gunung-gunung yang pernah ditawannya.

“Bagi sesetengah orang, mungkin cukup satu kali menawan puncak sesebuah gunung. Saya pula suka mengulangi pendakian ke gunung-gunung yang pernah ditawan.

“Misalnya, Gunung Kinabalu saya telah menawan puncaknya sebanyak tiga kali,” katanya.

Adela berkata, melalui aktiviti mendaki gunung juga, dia belajar untuk mengawal emosi, terutamanya ketika menghadapi cabaran sepanjang pendakian.

Jelasnya, dalam keadaan penat sewaktu mendaki, bermacam-macam emosi negatif bermain di fikirannya.


ADELA antara generasi muda yang gemar melakukan aktiviti mendaki gunung.


“Sepanjang pendakian, bermacam halangan dan rintangan akan ditempuh dan ia memberi kesan dari segi emosi saya.

“Jadi, saya perlu mengawal emosi agar ia tidak mengganggu pendakian,” katanya.

Dalam pada itu, Adela berkata, dengan terlibat dengan aktiviti mendaki gunung, dia dapat mengenali kawan-kawan baharu yang mempunyai minat sama.

“Kadang-kadang dalam sesuatu trip, saya tidak mengenali kesemua ahli yang mengikuti pendakian itu. Dari situ, kami mengenali antara satu sama lain.

“Sepanjang pendakian, seseorang itu tidak hanya bertanggungjawab terhadap diri sendiri tetapi perlu mengambil berat keselamatan rakan-rakan lain.

Berkongsi pengalaman pahit sepanjang mendaki gunung, Adela berkata, peristiwa tersesat hampir setengah jam ketika mendaki Gunung Semangkuk di Selangor masih diingatinya sehingga kini.


GUNUNG kinabalu, Sabah antara gunung yang pernah ditawan oleh Adela.


“Kami berpusing di lokasi yang sama sebanyak dua tiga kali sebelum mengambil keputusan untuk berehat sebentar. Selepas itu, rakan saya mengambil keputusan untuk azan dan akhirnya kami jumpa laluan sebenar,” katanya.

Selain gunung di Malaysia, Adela juga pernah mendaki beberapa gunung di Indonesia.

Antara gunung di Indonesia yang pernah didakinya ialah Gunung Kerinchi, Gunung Ijen, Gunung Bromo dan Gunung Rinjani.

Tahun lalu, Adela membuat satu misi peribadi untuk mendaki satu gunung dalam satu bulan dan dia berjaya merealisasikannya, manakala bagi tahun ini, dia meletakkan misi untuk menawan 50 gunung.

“Untuk tahun ini, saya telah mendaki lebih 20 gunung dan ada gunung yang diulang pendakiannya bagi melengkapkan misi tersebut,” katanya.

Kepulauan Jawa


ADELA mempunyai hasrat untuk menawan gunung-gunung yang terdapat di Kepulauan Jawa di Indonesia.


Dalam pada itu, Adela berkata, jika ada rezeki, dia mahu menawan gunung-gunung di Kepulauan Jawa di Indonesia.

Menurutnya, jika boleh dia mahu menghabiskan masa selama sebulan dengan mendaki gunung-gunung yang berada di Kepulauan Jawa.

“Saya masih melakukan kajian dengan membaca blog-blog mereka yang telah melakukan pendakian di gunung-gunung di situ.

“Jika diizinkan Tuhan, saya mahu merealisasikan impian itu,” katanya.

Dia berhasrat untuk menulis buku yang menceritakan pengalamannya sepanjang mendaki gunung.

Adela yang merupakan anak ketiga daripada lima adik-beradik berkata, keluarganya memberi galakan dan semangat untuk dia melakukan aktiviti yang disukainya itu.

“Ayah banyak membantu dan dia sanggup membelikan peralatan pendakian, manakala ibu memberi sokongan walaupun saya tahu dia risau memandangkan saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.

“Setiap kali mendaki gunung, saya akan meminta kebenaran mereka terlebih dahulu,” katanya.

Rencana Utama!»

Kongsi karavan bersama peserta tidak dikenali

Karavan boleh diibaratkan seperti rumah bergerak kerana di dalamnya dilengkapi dapur, tempat tidur, alat pemanas dan ruang memandu.

Horizon!»

Tenangkan fikiran di Tasik Pedu

RUMAH Bot Seri Mahawangsa boleh memuatkan seramai 15 orang pada satu-satu masa.

Varia!»

Sekolah venue alternatif majlis perkahwinan

PASANGAN pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan di sekitar Ampang kini boleh menggunakan pakej yang ditawarkan SMK Dato’ Ahmad Razali.

Process time in ms: 47